UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




UMNO DAN BARISAN NASIONAL PENCETUS KEGANASAN

KENYATAAN AKHBAR
PARTI KeADILan NASIONAL

13hb Januari, 2002

UMNO DAN BARISAN NASIONAL PENCETUS KEGANASAN

Kejadian awal pagi ini adalah merupakan satu bukti yang nyata dan jelas bahawa propaganda media yang dikuasai Barisan Nasional selama ini adalah bercanggahan dengan realiti yang sebenarnya berlaku sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN N8 Indera Kayangan. Kejadian memukul, menculik, mengugut, membelasah dan menyerang beberapa orang petugas Parti KeADILan Nasional pada awal pagi ini adalah kemuncak serangan propaganda bersifat ugutan dan samseng jalanan yang selama ini digunakan oleh petugas-petugas BN dalam usaha menakut-nakutkan pengundi dan pekerja parti, terutamanya di kalangan kaum Tionghua, setelah menyedari bahawa kesedaran rakyat, terutamanya di Indera Kayangan semakin meningkat dan menggugat penguasaan BN di DUN Indera Kayangan ini.

Dalam kejadian awal pagi ini, Saudara SD Mohamad Johari Yasin, EXCO Pemuda KeADILan Pusat dan Ketua Pemuda Bahagian Shah Alam serta beberapa orang petugas parti telah diserang oleh kira-kira 100 orang samseng di kalangan petugas parti BN, di hadapan beberapa anggota polis yang hanya melihat dan memerhatikan kejadian tersebut. Kejadian ini bermula apabila beberapa petugas parti KeADILan berjaya menjejaki kira-kira 4 orang pekerja upahan BN yang siap berpakaian seragam BN, sedang mengoyak poster-poster parti KeADILan yang baru ditampal di sekitar Jalan Medan Baru, dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor NAA 5389.

Beberapa anggota polis yang berada di tempat kejadian telah bukan sahaja gagal bertindak pantas, malahan gagal menghalang beberapa orang penyokong dan samseng upahan dari kalangan petugas BN dari menyerang petugas-petugas KeADILan dengan memukul dan menendang kereta Saudara SD Johari, di hadapan mereka, walaupun petugas-petugas BA telah beberapa kali meminta mereka untuk membawa individu-individu yang terlibat ke balai polis. Dalam keadaan tertekan, setelah melihat pihak polis gagal untuk melindungi mereka, petugas-petugas KeADILan telah cuba untuk menyelamatkan diri.

Saudara SD Johari telah dikejar oleh penyerang-penyerang beliau dan terus dipukul berhampiran dengan tempat kejadian, oleh beberapa puluh orang petugas BN. Beliau seterusnya diculik dan dibawa ke bilik gerakan UMNO Wilayah Persekutuan berdekatan oleh samseng-samseng BN dan terus dibelasah, ditumbuk, ditendang di kepala serta disepak oleh mereka selama kira-kira setengah jam sebelum diambil oleh pihak polis dari bilik gerakan tersebut dan dibawa ke balai polis. Beliau mengalami kecederaan yang teruk di seluruh badan dan kepala. Kereta beliau juga mengalami kerosakan yang teruk dengan kemek di seluruh badan kereta dan cermin kereta dipecahkan oleh samseng-samseng tersebut.

Sikap acuh tidah acuh dan tidak professional pihak polis dalam menangani kejadian ini telah menyebabkan beberapa anggota petugas KeADILan mengalami kecederaan yang teruk. Malahan sikap beberapa orang pegawai polis yang bukan sahaja gagal mengawal suasana, lambat bertindak, bahkan bersifat berat sebelah telah memburukkan lagi suasana kempen pilihanraya DUN Indera Kayangan.

Kejadian ini adalah lanjutan dari siri ugutan di bilik gerakan parti KeADILan di UPU Pengkalan Asam pada 11 Jan 2002, serangan memecahkan cermin kereta pimpinan parti seperti yang berlaku ke atas Dr Xavier Jayakumar dan SD Mohamad Johari pada hari yang sama serta serangan terhadap beberapa orang petugas perayu undi parti di kawasan Taman Kemajuan pada 12 Jan 2002 dan provokasi terhadap ceramah-ceramah yang dijalankan oleh parti dengan menggunakan konvoi bermotosikal, yang bertujuan tidak lain dari cubaan untuk menakut-nakutkan pengundi di DUN Indera Kayangan.

Parti KeADILan Nasional dengan ini mendesak agar pihak polis mengambil tindakan segera, cepat dan betul dengan menangkap dan mendakwa petugas-petugas BN yang telah bukan sahaja melanggar Akta Pilihanraya setelah mereka mengoyakkan poster-poster calon, bahkan bertindak ganas dan samseng dengan mengugut, menyerang, membelasah, dan menculik beberapa petugas parti, serta merosakkan harta benda awam, bagi tujuan untuk memastikan kemenangan calon BN di DUN Indera Kayangan. Taktik menakut-nakutkan pengundi tempatan ini bukanlah satu taktik baru tetapi suatu taktik lapuk yang sudah digunakan sejak sekian lama oleh mereka.

Parti juga menuntut pihak polis bertindak pantas dan lebih bersikap professional tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam mengawal keadaan, dan tidak hanya menumpukan usaha untuk menggagalkan ceramah-ceramah umum anjuran Barisan Alternatif. Kami khuatir sekiranya kejadian-kejadian seperti ini dibiarkan berlanjutan tanpa sebarang tindakan tegas, keadaan akan menjadi lebih tidak terkawal, dan mungkin akan mencetuskan suasana huru-hara sebagaimana yang sering dicetuskan oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini.

Sekian, terima kasih.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Timbalan Ketua Pemuda
Parti KeADILan Nasional

SAHRI BAHARI
Setiausaha Agung
Parti KeADILan Nasional

13 Januari 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com