UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Indera Kayangan - MCA, Keadilan hanya buah catur

Oleh : Aman Rais

Dua calon yang bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Perlis adalah keturunan Cina. Kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Cina yang hampir sama jumlahnya dengan pengundi Melayu. Sekilas pandang ia seperti pertarungan antara Cina dengan Cina tetapi hakikat sebenarnya ia menguji pengaruh politik Melayu.

Walaupun wakil MCA, Oui Ah Lan dan calon Parti Keadilan Nasional Khoo Yang Chong yang bertanding namun yang diperhatikan sebenarnya ialah sejauh mana kuatnya pengaruh Umno dan PAS di kalangan orang Melayu.

Indera kayangan mempunyai pengundi seramai 7,948 orang dengan 47.7 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, 47.2 peratus Cina dan empat peratus India.

Indera Kayangan secara tidak langsung menjadi medan pertempuran antara PAS dan Umno walaupun kedua-dua parti tidak meletakkan calon mereka. Dengan mengggunakan calon proksi masing-masing kedua-dua parti Melayu itu berharap dapat membuktikan sesuatu - siapa lebih berpengaruh selepas dua tahun pilihanraya umum ke-10 berlalu.

Umno yang kecundang dalam pilihanraya umum November 1999 lalu mahu membuktikan bahawa imej dan pengaruhnya telah pulih selepas ia berjaya mecalar imej PAS dengan isu pengganas, Kumpulan Militan Malayasia (KMM) dan Taliban.

PAS pula yang tertekan dengan pelbagai provokasi politik dari kerajaan - termasuk larangan berceramah, tangkapan terhadap beberapa ahlinya yang didakwa menjadi anggota KMM dan diconteng dengan imej taksub dan ekstrim, mahu membuktikan kepada Umno bahawa pengaruhnya di kalangan orang Melayu tetap utuh walaupun di kalangan bukan Islam pengaruhnya mungkin sudah lenyap.

Lantas Umno yang dikepalai oleh naib-presidennya, Muhammad Mohd Taib dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terus melabel PAS sebagai Taliban Malaysia bagi terus menjauhkan pengundi bukan Islam daripadanya di samping mengingatkan orang Melayu supaya jangan terpengaruh dengan imej sederhana yang ditonjolkan oleh kepimpinan parti itu sekarang.

Empat parti, empat agenda

Walaupun calon Keadilan yang bertanding dalam pilihanraya ini, namun pentas politik negara sejak beberapa hari ini dikuasai oleh PAS. Kenyataan politik pemimpin PAS berhubung isu Al-Maunah menjadi isu utama dan terbawa-bawa dalam kempen di Indera Kayangan.

Komitmen PAS untuk membantu Keadilan memenangi Indera Kayangan di mana ramai tokoh-tokoh utamanya termasuk menteri besar Kelantan dan menteri besar Terengganu dijangka akan turut berkempen membuktikan betapa pentingnya pilihanraya kecil ini kepada parti itu.

PAS berharap sekurang-kurangnya keputusan pilihanraya ini akan menyebelahinya - kalaupun Khoo tidak menang, memadailah dengan mengurangkan majoriti undi. Dalam pilihanraya umum lalu, calon Keadilan tewas dengan majoriti undi sebanyak 1,974.

Apa yang mahu dibuktikan oleh PAS ialah segala kempen kerajaan untuk memburuk-burukkannya selama ini tidak meninggalkan bekas, khususnya pada orang Melayu. PAS mahu Umno tahu bahawa untung nasibnya sekarang hanya bergantung pada MCA atau undi Cina.

Oleh itu, kalau Oui tewas, yang akan senyum lebar ialah PAS, bukannya Keadilan. Kalau Khoo pula tewas, Umno yang akan mendabik dada, bukannya MCA kerana parti Cina yang sedang berpecah-belah itu bergantung pada jentera dan undi penyokong Umno untuk mempertahankan Indera Kayangan.

Bagi Keadilan dan MCA yang menjadi buah catur dalam pertempuran ini, kemenangan di Indera Kayangan juga agak penting. Keadilan mahu mencipta upset sekali lagi sebagaimana yang dilakukan di Lunas. Ia juga berharap kejayaan di sini dapat memulihkan semangat dan moral parti setelah tewas di Likas dan pilihanraya umum negeri Sarawak.

Dan yang paling penting, pucuk kepimpinan Keadilan mahu membuktikan konflik dalaman yang dialaminya pada November lalu tidak menjejaskan parti ini.

Orang kampung ditinggalkan sepi?

MCA pula mahu melihat sejauh mana konflik dalaman parti itu menjejaskan pengaruhnya di peringkat akar umbi. Dr Ling Liong Sik dan Lim Ah Lek patut bersyukur kerana DAP memutuskan untuk tidak campur dalam kempen di sana. Jika tidak, luka mereka akan menjadi lebih parah.

Walaupun Team A dan Team B dalam MCA ‘berdamai’ namun sandiwara mereka itu gagal menutup retak yang menanti belah itu. Ketua Pemudanya Ong Tee Kiat, walaupun berada di Kangar sejak seminggu lalu, hanya terus bersama Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Hussein Onn atau Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim

Menurutnya, beliau berkempen di atas tiket Barisan Nasional, bukannya selaku pemimpin MCA.

Kesimpulannya Indera Kayangan menjadi medan untuk parti-parti politik mengukur populariti masing-masing dan menjadi ‘kayangan’ bagi ahli-ahli parti dan orang kampung untuk menikmati kemewahan ‘kilat’ yang ditabur oleh kerajaan negeri.

Realitinya orang kampung di Indera Kayangan akan ditinggalkan sepi selepas pilihanraya ini berakhir - janji akan tinggal janji untuk diulang semula pada tahun 2004 nanti.

...............................
Malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com