UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pelajar ‘spy’ dan ceramah senyap

Oleh : Aman Rais

Perang ke atas para pelajar institusi pengajian tinggi yang tidak pro-aspirasi kerajaan nampaknya belum berakhir. Dendam kerajaan dan Umno terhadap golongan yang mempunyai akal untuk berfikir ini nampaknya masih membara. Pengaruh PAS dan Anwar Ibrahim di pusat pengajian tinggi perlu dilenyapkan segera sebelum 2004.

Kita menyangkakan selepas terbakarnya Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya dan tertangkapnya dua orang pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, kerja-kerja pembersihan ini sudah berakhir. Nampaknya tindakan ini belum sampai pada nokhtahnya, malahan semakin galak dilakukan sama ada oleh pihak berkuasa kerajaan dan pihak berkuasa kampus.

Kejadian terbaru yang berlaku di Kangar, Perlis baru-baru ini di mana kononnya lapan orang pelajar universiti ditangkap kerana mengintip bilik gerakan Barisan Nasional adalah drama terbaru gerakan memerangi dan memusuhi para pelajar pusat pengajian tinggi awam.

Kononnya mereka telah mengaku mereka adalah ahli-ahli parti Barian Alternatif. Lantas dari kejadian itu pihak berkuasa Universiti Sains Malaysia tanpa membuang masa membuat keputusan untuk membubarkan Persatuan Mahasiswa Islam USM.

Atas alasan apa dan apa kaitannya PMI dengan para pelajar itu tidak diketahui. Tetapi pihak USM telah menggunakan isu di Kangar itu untuk menghalalkan tindakannya itu. Mungkinkah institusi pengajian tinggi awam lain akan mengikut jejak USM itu?

Kemungkinan besar ini akan berlaku kerana sudah menjadi trend di kalangan pentadbir universiti untuk berlumba-lumba menonjolkan diri "akulah penyokong utama kerajaan".

Lebih sudu dari kuah

Sebahagian besar pentadbir institut pengajian tinggi am sekarang ini suka bertindak ‘lebih sudu dari kuah’ semata-mata kerana mahu membodek kerajaan bagi memastikan pangkat dan jawatan tinggi di kampus menjadi milik mereka.

Oleh itu jangan terkejut jika PMI Universiti Malaya, PMI Universiti Kebangsaan Malaysia dan persatuan seumpamanya yang begitu berpengaruh dan aktif membimbing dan mengembeling tenaga dan minda para pelajar dibubarkan sedikit masa lagi dalam usaha untuk mengekang kemaraan pelajar-pelajar yang tidak pro-aspirasi kerajaan.

Langkah membubarkan PMIUSM itu ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kalau benar ada pelajar USM yang menjadi spy atau berkempen untuk BA di Indera Kayangan, mengapa tidak hanya bertindak ke atas mereka? Mereka mungkin pergi ke sana sebagai individu bukannya mewakili persatuan berkenaan. Mengapa mesti dimangsai sebuah persatuan yang tiada kena-mengena dengan ideologi politik ahli-ahlinya. Atau mungkinkah kerana persatuan itu menggunakan nama ‘Islam’ maka ia perlu dihapuskan?

Pihak berkuasa kampus perlu lebih rasional dan berfikiran cendiakawan dalam menangani isu-isu seperti ini. Jangan biarkan diri diperkudakan.

Disamping itu kerajaan sedar kemenangan kumpulan pro-aspirasi kerajaan di lapan buah IPTA baru-baru ini tidak membawa makna apa-apa kerana IPTA yang terkemuka seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan USM terus dikuasai oleh kumpulan tidak pro-aspirasi kerajaan.

Di empat buah IPTA lama ini berkumpulnya pengaruh PAS dan Anwar dan para pelajar dari sinilah yang aktif membantu kempen parti pembangkang dalam mana-mana pilihanraya kecil.

Kemungkinan ada agenda yang besar tersirat di sebalik dakwaan kononnya para pelajar berkenaan menjadi spy BA. Tidak mungkinkah apa yang berlaku di Indera Kayangan itu satu sandiwara? Mana perginya para spy itu sekarang?

Sudah dihantar balik ke kampus, sudah dihalau balik kampung atau mungkin sedang berehat selepas menerima habuan masing-masing kerana berjasa mengaku sebagai pelajar IPTA dan menjadi spy?

Perang yang tiada akhirnya

Nampaknya perang ke atas para pelajar IPTA ini tiada hujungnya kerana selagi mereka berakal dan tahu membeza antara yang benar dan batil, selagi itulah mereka akan terus menjadi duri dalam daging kepada mana-mana pihak yang menindas dan menyeleweng.

Kerajaan sedar para pelajar adalah agen perubahan yang sangat berkesan dan berpengaruh. Mereka ini boleh menjadi perayu atau tukang kempen yang sangat berkesan walau di mana mereka berada. Mungkin mereka tidak berceramah secara terbuka tetapi sekurang-kurangnya setiap kali pulang bercuti mereka boleh menyedarkan ibu bapa mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam negara ini.

Selaku golongan yang berpelajaran dan bermaklumat, para pelajar ini boleh berhujah untuk mempengaruhi cara berfikir orang tua atau saudara mereka di kampung. Mungkin ceramah terbuka boleh disekat tetapi ceramah senyap oleh anak-anak muda di rumah sendiri tidak mungkin boleh dihalang.

Inilah yang berlaku dalam pilihanraya umum 1999 dulu. Selain daripada dipengaruhi oleh pendedahan demi pendedahan yang dibuat dalam ceramah-ceramah politik, orang Melayu terutamanya golongan tua di kampung-kampung enggan memangkah BN kerana berjaya disedarkan oleh anak-anak mereka yang mungkin antaranya pelajar IPTA atau lepasan pusat pengajian tinggi yang sudah bekerja.

Tentunya ibu bapa lebih mudah mempercayai anaknya sendiri daripada tukang kempen Umno yang menjengah ke rumah mereka lima tahun sekali.

Kerajaan sedar hakikat ini, lantas cara berfikir para pelajar perlu dikawal dan dibentuk supaya mereka tidak menjadi perayu senyap kepada BA. Dendam kerajaan pada para pelajar akan terus membara walaupun selepas persatuan-persatuan seperti PMI dan seumpamanya dibubarkan.

..............................
Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com