UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Apa relevannya kes Khir Toyo dibentangkan di Perlis?

Oleh BAHARUDIN MOHD NOOR

Apa kepentingan isu rasuah Khir Toyo dengan pilihan raya kecil Indera Kayangan Perlis? Kalau isu rasuah Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis didedahkan, tentulah ada hubungan yang mudah difahami kerana dalam kempen yang diadakan, gambar Shahidan lebih banyak ditampal berbanding poster calon BN. Tapi, bila Lutfi turun membongkar skandal rasuah MB Selangor, apakah Lutfi hanya mahu melepaskan dendamnya?

Persamaan antara Khir dengan Shahidan, antara lain, mereka berdua adalah MB daripada Umno. Sistem dan gaya pemerintahan mereka sama saja. Walaupun Khir belum lagi dilantik Ketua Perhubungan Umno Selangor, seperti Shahidan di Perlis, tetapi kedua-duanya sama saja caranya untuk mengekalkan pengaruh, kuasa dan populariti di kalangan ahli-ahli Umno.

Kalau Khir ada kuasa mutlak mengagihkan tanah di Selangor kepada kroni dan suku-sakatnya, Shahidan juga sama di Perlis, begitu juga dengan Ghani Othman (Johor), Isa Samad (Negeri Sembilan), Syed Razak (Kedah), Adnan Yaakob (Pahang), apatah lagi kuasa menjolok mata Taib Mahmud (Sarawak).

Kalau Khir dibuktikan memberikan projek membina jalan di tengah-tengah bendang Sekinchan kepada kroninya (dengan pungutan ufti berpuluh juta kepadanya), menganugerahkan balak di kawasan Hutan Simpan Hulu Langat kepada kenalannya (dan mendapat saguhati darinya), meluluskan permohonan mendapatkan tender membekal dan memasang paip air kepada syarikat yang sanggup membayarnya ‘yuran perundingan’ (rasuahlah tu!), maka itulah juga yang dilakukan Shahidan di negerinya, Perlis.

Membentangkan segala fakta kes dan dokumen lengkap mengenai Khir di Kangar adalah bagi menunjukkan satu gambaran jelas tentang mekanisme pemimpin-pemimpin Umno dalam kerajaan membolot segala kemewahan yang tiada taranya, atas nama projek pembangunan yang dijalankan demi kepentingan rakyat.

Sedangkan sekali projek pembangunan dilancarkan, misalnya membuat jalan untuk kemudahan di sesuatu kawasan, maka bagi pemimpin Umno, yang menjadi pertimbangan mereka yang pertama dan utama ialah bagaimana mahu mengutip keuntungan maksimum untuk diri sendiri dan kelompok terdekat daripada projek itu?

Kalau kos projek itu, misalnya jalan sepanjang 20.5km di Sekinchan, menurut taksiran JKR hanya RM40-50 juta, maka Menteri Besar boleh menggunakan kuasanya untuk menaikkan kos itu sehingga dua kali ganda, seperti dalam kes jalan B44 itu, telah menjadi RM92.5 juta. Maka keuntungan lebihan sebanyak RM40 juta itu akan dikongsi antara kontraktor dengan MB, dan selalunya MB mendapat persen lebih kerana dalam peruntukan asal RM40-50 juta itu pun, kontraktor sudah untung besar.

Kuasa mutlak MB ini ada kalanya melebihinya kuasa menteri-menteri pusat yang lain. Dan MB dengan sewenang-wenangnya boleh memberi kontrak kepada kontraktor yang dikehendakinya, walaupun Pengarah JKR mencadangkan nama kontraktor lain yang lebih layak. Inilah yang cuba Lutfi tunjukkan kepada pengundi Indera Kayangan.

Rakyat jangan terpukau dengan pembohongan pemimpin BN yang apabila melancarkan projek pembangunan akan selalu mendakwa bahawa ia adalah untuk kepentingan rakyat. Walhal, yang sebenarnya, projek-projek itu adalah untuk menebalkan poket masing-masing dengan keuntungan lumayan hasil projek itu.

Dalam kes pembinaan jalan bendang di Sekinchan dan Sungai Panjang, ia bukan dibuat untuk kepentingan rakyat di kawasan itu, tetapi merupakan cara Khir Toyo mahu mengumpulkan dana politiknya, apabila Pua Kim An, bekas tuan rumah yang disewanya dulu, menghulurkan wang panas antara RM20-30 juta. Pua Kim An tentu tidak teragak-agak untuk mencari wang rasuah itu kerana keuntungan yang bakal diperolehinya hampir RM40-50 juta, jadi apa salahnya mengagihkan keuntungan besar itu kepada Khir sama. Dalam kempen pilihan raya 1999, keluarga Pua menyumbangkan wang yang banyak untuk Khir berbelanja, dan inilah masanya jasa baik itu dibalas, dan Khir pun sama-sama mendapat labanya.

Rasuah paling hebat berlaku dalam proses kelulusan tanah-tanah milik kerajaan negeri. Dalam setiap mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, agenda yang paling penting ialah mengagihkan tanah bernilai tinggi kepada kroni masing-masing, atau perkataan yang lebih tepat ialah suku-sakat Menteri Besar.

Di Selangor setiap ekar tanah cukup berpotensi tinggi. MB tidak perlu memberikan projek, cukup dengan menghadiahkan tanah kepada kroninya, yang kelak hasilnya akan dinikmati bersama. Misalnya tanah di Bukit Cherakah, 1 ekar tanah di sini boleh mencapai harga sehingga RM1 juta untuk seekar.

Jadi, apabila Khir memberikan tanah kepada empat syarikat berbeza yang mempunyai seorang pengarah yang sama, nilai tanah di kawasan ini sudah menjadi RM400 juta, iaitu hampir setengah billion. Sedangkan premium yang patut dibayar kepada kerajaan negeri, dalam kes ini, hanya RM68 juta. Ini bermakna untung yang diperolehi lebih RM330 juta. Dengan itu, kalau Khir atau komplotnya yang diketuai Dr Karim Mansor mahu mendapat lebih RM150 juta, pemilik tanah itu tidak akan keberatan untuk mendermakannya kepada Khir!

Itulah juga yang ingin ditekankan oleh Lutfi apabila membuat pendedahan baru di Indera Kayangan, iaitu projek membekal dan memasang paip air dari Semenyih, melalui Bandar Baru Bangi, Dengkil dan akhirnya berhenti di Pekan Banting, sejauh 37 km.

Bayangkan kos projek itu boleh mencapai RM83 juta, iaitu lebih RM2.3 juta untuk 1 km! Sedangkan menurut kontraktor berpengalaman dalam kerja-kerja memasang paip air selama lebih 30 tahun, kos untuk membekal dan memasang paip air seumpama itu tidak boleh melebihi RM1 juta bagi 1km, itu pun sudah begitu banyak mendapat keuntungan lumayan.

Lutfi mendakwa Khir melalui iparnya dirasuahkan lebih RM20 juta oleh kontraktor LBH Engineering Sdn Bhd. Kalau kontraktor boleh mendapat untung hampir RM50 juta untuk projek memasang paip air itu, takkan mereka tak boleh bagi RM20 juta kepada Khir! Bukankah ini cara kerjasama yang sama-sama menguntungkan. Khir sapu RM20 juta, kontraktor dan gengnya yang lain dapat RM30 juta?

Kesimpulannya, rakyat mesti berhati-hati apabila sesuatu projek pembangunan dicurahkan ke kawasan mereka. Betullah mereka mendapat jalan baru, bekalan air yang lebih baik, tetapi secara tidak sedar, negara menghadapi kerugian besar dari jangka panjang.

Bayangkan untuk satu projek jalan di Sekinchan, sejauh 20km, kerajaan telah rugi lebih RM40 juta kerana kosnya dengan sengaja ditingkatkan bagi memudahkan rasuah berlaku. Ini baru satu projek bina jalan.

Begitu juga dengan projek memasang paip sejauh 37 km, kerajaan negeri rugi lebih RM50 juta. Cubalah kira berapa banyak wang yang diperuntukkan untuk projek pembangunan tetapi mengalir ke poket-poket MB dan segala kroninya!

Analisis mengenai hubungan projek pembangunan ini dengan rasuah akan dikemukakan dari masa ke semasa, bagi membuktikan bagaimana korup dan buruknya pemerintahan BN, tidak kira sama ada Khir Toyo ataupun Shahidan Kassim yang menjadi Menteri Besarnya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com