UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Penyelamatan kembar MAS oleh kerajaan sebanyak RM6.1 bilion

Hari ini, rakyat Malaysia membaca tentang suatu program penyusunan semula MAS sebanyak RM6.1 bilion yang melibatkan penjualan aset-aset bagi membolehkan syarikat nasional tersebut melangsingkan sebahagian hutangnya dan membekalkan RM820 juta sebagai modal bekerja untuk mempercepatkan pemulihannya kembali mengaut keuntungan.

Penelitian cadangan-cadangan penyusunan semula MAS RM6.1 bilion itu menunjukkan bahawa ianya adalah satu lagi tindakan penyelamatan oleh kerajaan – satu tahun selepas pembelian balik sangat mengejutkan 29.09 peratus saham MAS bernilai RM1.79 bilion oleh kerajaan untuk menyelamatkan Naluri Bhd kepunyaan Tan Sri Tajudin Ramli pada harga amat tinggi sekali, iaitu RM8 setiap syer yang melebihi sekali ganda harga pasaran RM3.68 apabila urusan berkenaan ditandatangani pada 20 Disember 2000.

Program penyusunan semula MAS RM6.1 bilion itu akan membabitkan dua unsur penting:

· Syarikat nasional tersebut mengumpul RM3.9 bilion daripada suatu pakej kewangan yang melibatkan cadangan penjualan dan pajakan balik lapan pesawat (lima baru dan tiga lama) kepada sebuah jentera khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan, iaitu Aircraft Business Malaysia Bhd (ABMB); dan

· Pelupusan hartanah bernilai RM2.2 bilion kepada sebuah SPV kerajaan. Hartanah tersebut termasuk ibu pejabatnya di Jalan Sultan Ismail; 34 pejabat dan bangunan bengkel yang membentuk kompleks pejabat MAS di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, kompleksnya di Kelana Jaya yang menempatkan Akademi MAS; dan 21 bangunan yang membentuk Kompleks MAS yang bertempat di Lapangan Terbang KL.

Memandangkan RM6.1 bilion bagi pembelian lapan pesawat MAS dan pelbagai hartanah MAS sudah tentu akan datang daripada kerajaan, dalam bentuk SPV milik penuh Kementerian Kewangan, ini akan bermakna berlakunya penyelamatan kembar MAS oleh kerajaan selepas penyelamatan RM1.8 bilion pada bulan Disember 2000 untuk membeli semula saham MAS Tajudin, lantaran membolehkan Tajudin senyum lebar sambil menuju ke bank tatkala menjejaskan kepentingan pembayar-pembayar cukai!

Ini barangkali adalah kes pertama di dunia di mana sebuah syarikat gagal atau bermasalah diselamatkan dua kali oleh kerajaan – membayar RM1.8 bilion pada nilai melebihi sekali ganda harga pasaran untuk menjadi pemegang syer MAS yang paling besar dan satu tahun kemudiannya, membekalkan RM6.1 bilion lagi untuk menyuntik dana ke dalam syarikat nasional berkenaan dengan menggunakan pelbagai jentera kerajaan untuk membeli sebahagian daripada aset-aset MAS.

Langkah ini merupakan suatu penyelamatan kembar yang amat kreatif, tetapi adakah ianya dilakukan bagi kepentingan para pembayar cukai Malaysia?

Sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menyuntik RM6.1 bilion bagi menyelamatkan MAS, apakah sebabnya ia harus membazirkan RM1.79 bilion pada bulan Disember 2000 untuk mengganjar Tajudin dan melepaskan beliau daripada pegangan saham MAS beliau pada harga melebihi sekali ganda harga pasaran?

Sebelum penghujung tahun lepas, berlakunya satu lagi skandal korporat yang besar, iaitu pengampunan korporat paling besar dalam sejarah Malaysia apabila opsyen Put (‘put option’) United Engineers Malaysia Bhd (UEM) RM3.2 bilion Tan Sri Halim Saad dibatalkan secara sewenang-wenangnya tanpa apa-apa akauntabiliti!

Pembatalan opsyen Put UEM RM3.2 bilion itu menimbulkan banyak soalan membimbangkan.

Pada masa lalu, ‘tindakan penyelamatan’ sama ada melalui ‘pembelian aset’ atau ‘suntikan’ kewangan ke dalam syarikat-syarikat korporat, adalah diniatkan untuk syarikat dan tidak sekali-kali untuk individu – seperti dalam kes pengampunan korporat paling besar Halim Saad yang mana pada perkiraan terakhir, melibatkan pembatalan hutang peribadi yang timbul daripada kontrak komersial persendirian.

Pembatalan tersebut tidak dalam apa-apa cara pun membantu UEM atau Renong tetapi Halim sendiri – itu sahaja. Penggunaan dana awam yang melampau ini adalah tidak bermoral dan merupakan suatu pecah amanah awam.

Selain itu, seperkara yang dipersoalkan juga adalah sama ada Lembaga Pengarah UEM dan Renong yang sebahagiannya dimiliki oleh Kementerian Kewangan melalui Khazanah (sayap pelaburannya) telah melaksanakan tugas fidusiarinya kepada pemegang-pemegang saham dalam membatalkan opsyen Put RM3.2 bilion dan hutang peribadi Halim Saad!

Sudahkah pengarah-pengarah tersebut yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang syarikat semasa mempunyai hak untuk membatalkan obligasi hutang RM3.2 bilion Halim Saad tanpa terlebih dahulu membuat peruntukan bagi suatu pembatalan hutang sedemkian (‘write-off’)? Atau adakah Kementerian Kewangan, melalui satu lagi penyelamatan kreatif, terpaksa akhirnya memikul tanggungjawab bagi pengampunan korporat paling besar seorang individu dalam sejarah Malaysia dengan menggunakan wang pembayar cukai?

Penyelamatan kembar MAS oleh kerajaan sebanyak RM6.1 bilion dan pengampunan korporat paling besar sebanyak RM3.2 bilion bagi hutang opsyen Put UEM RM3.2 bilion Halim Saad membuktikan bahawa pemerintahan baik, akauntabiliti dan integriti tetap menjadi masalah-masalah utama sungguhpun Tun Daim Zainuddin telah meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Ini barangkali adalah sebab sebenar mengapa setelah usaha mencari yang giat dilakukan selama lebih sembilan bulan, Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad masih belum berupaya mencari seorang Menteri Kewangan yang cekap, tidak kontroversial dan ‘bersih’, dan beliau terpaksa meneruskan diri sebagai Menteri Kewangan pada masa yang sama.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com