UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Pilihanraya Indera Kayangan penentu kejayaan

Oleh : PENYOKONG REFORMASI

Pilihanraya kecil Indera Kayangan merupakan satu pilihanraya kecil yang penting kerana ia adalah yang pertama akan berlangsung sepenuhnya selepas keluarnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari Barisan Alternatif (BA), pakatan pembangkang yang ditubuhkan sejurus sebelum pilihanraya 1999 (walaupun DAP keluar sebelum pilihanraya di Sarawak berlangsung, sebahagian perbincangan masih dijalankan menurut framework BA). Pilihanraya kecil ini menyaksikan pertarungan antara MCA dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Secara umum, kedua-dua parti ini sedang bergelut dengan masalah masing-masing.

Kayu ukur populariti

Indera Kayangan penting kerana ia antaranya menjadi pengukur kepada populariti parti pemerintah, ujian kepada Keadilan selepas menghadapi pelbagai masalah, petunjuk sama ada isu negara Islam menghalang elektorat bukan Islam mengundi BA, petunjuk kekuatan BA yang kini hanya terdiri dari parti dikuasai Melayu dan banyak lagi. Ada yang mendakwa parti pemerintah akan menjadikan Indera Kayangan sebagai satu faktor penentu dalam menentukan pilihanraya umum berikutnya.

Indera Kayangan akan menyaksikan pertarungan sengit kerana jumlah pengundi Melayu dan Cina yang hampir sama. Walaupun keluarnya sejumlah ahli Keadilan menyertai Umno baru-baru ini akan memberi impak negatif kepada Keadilan (dan isu ini mendapat liputan meluas media arus perdana), banyak isu lain seperti kes Anwar, pembelian Nanyang dan China Press dan masalah melibatkan sekolah Cina di Damansara boleh dieksploit. Ini pasti akan dilakukan oleh Keadilan kerana parti itu menghadapi MCA, parti yang dipersalahkan dalam hal Nanyang dan China Press serta sekolah Cina di Damansara.

Politik ialah persepsi

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dilihat menjauhkan diri dari Indera Kayangan. Ini mungkin disebabkan persepsi negatif terhadap parti itu yang dibimbangi menakutkan pengundi Cina terutamanya. Walaupun MCA tidak berada dalam keadaan yang baik hari ini, hubungan Keadilan yang rapat dengan PAS memungkinkan pengundi bukan Islam mencurigai Keadilan, yang masih dilihat sebagai parti orang Melayu. Kelihatan pembangkang lebih mengharapkan kelemahan pihak lawan dari kekuatan sendiri dalam hal ini. Ini ada benarnya kerana pembangkang memang dalam keadaan yang lemah hari ini. PAS boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana sering membicarakan soal negara Islam secara terbuka dan tidak menjawab kebimbangan masyarakat bukan Islam mengenainya. PAS sememangnya sering gagal untuk membicarakan apa-apa berkenaan rancangannya secara terperinci (walaupun mendakwa disertai ramai golongan akademik dan profesional), dan negara Islam hanya satu darinya.

Tewasnya BA boleh dilihat sebagai isu militan dan negara Islam telah mengurangkan sokongan kepada pakatan itu dan disebabkan tiga parti komponen berkenaan ialah parti dikuasai Melayu, sukar untuk BA membina atau menarik semula sokongan.

Tetapi DAP juga perlu memberi perhatian kepada Indera Kayangan. Kemenangan BA dikawasan seimbang, iaitu jumlah pengundi Melayu dan Cina yang hampir sama boleh memperlihatkan DAP semakin dipinggirkan masyarakat Cina. Walaupun ia hanyalah satu pilihanraya, kesan yang besar akan dirasai oleh DAP yang sering menilai secara simplistik.

Makin matang

Keadilan dilihat semakin matang kerana tidak lagi banyak bergantung kepada isu Anwar Ibrahim. Ia semakin hampir menjadi parti berbilang kaum, seperti yang didakwa. Ini turut berpotensi memberi tamparan kepada DAP, kerana isu masyarakat Cina yang ditangani Keadilan merupakan isu besar yang turut ditangai secara agresif oleh DAP sebelum ini. Walaubagaimanapun, Keadilan dilihat sebagai agak gelojoh kerana dari awal lagi telah mengumumkan untuk bertanding di Indera Kayangan, sebelum perbincangan sesama pimpinan BA dilakukan.

Individu yang dipersalahkan, atau dipandang agak negatif dalam hal ini ialah Azmin Ali, yang turut dipertanggungjawabkan dalam kekalahan teruk di Sabah tidak lama dulu. Keadilan, atas desakan beberapa pimpinan yang berambisi besar ghairah untuk bertanding dalam hampir semua pilihanraya selepas pilihanraya umum 1999. Ini dikatakan telah menimbulkan perselisihan dikalangan pimpinan parti itu.

Kepentingan Indera Kayangan tidak boleh direndahkan tetapi tidak juga boleh diperbesarkan. Kedua-dua pihak perlu menang untuk membuktikan mereka dan kumpulan mereka masih diterima rakyat, walau setipis mana pun undi yang membezakan yang menang dan yang kalah.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com