UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




BA Memang Patut Kalah!

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

Apabila dimaklumkan oleh seorang teman dari Kangar, jam 7.00 malam, 19 Januari, bahawa Keadilan kalah dalam pilihan raya kecil N8 Indera Kayangan, perasaan saya berbaur antara sedih, kecewa dengan disulami rasa puas!

Sedih kerana calon BA kalah dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya 1999. Kalah memang sudah dijangka, tetapi banyak pihak mengharapkan majoriti kemenangan BN dapat dikurangkan. Puas kerana kekalahan BA ini boleh menyuntik peringatan keras buat Barisan Alternatif bahawa berdepan pilihan raya 2003 nanti, jalannya tidak mudah, malah perit dan berkerikil tajam.

Dari awal lagi kita nampak BN memberikan fokus besar kepada Indera Kayangan berbanding pilihan raya kecil lain sebelum ini. Akhbar-akhbar utama, radio dan TV menjadi alat propagandanya untuk menyebarkan fitnah dan dakyah. Videoklip 90 saat yang cuba mengaitkan PAS dengan keganasan dan Taleban diulang tayang pada waktu perdana. Malah, Shahidan Kassim yang mendapat pengajaran paling bermakna di Arau pada 1998 dulu, bekerja keras sejak ADUN Indera Kayangan masih tenat lagi.

Memanglah faktor utama kekalahan ini kerana melampaunya BN mempergunakan apa saja kemudahan kerajaan, media dan menabur wang kepada pengundi, di samping taktik menakut-nakutkan. Beberapa kejadian ganas oleh petugas BN seolah-olah menjadi fenomena biasa sepanjang kempen.

Bagaimanapun, saya lebih tertarik untuk melihat kelemahan diri dalam Keadilan dan juga PAS, yang membentuk BA bersama PRM, lama sebelum pilihan raya kecil ini diadakan:

1. Kekalahan calon Keadilan juga bermakna kekalahan PAS. Ini kerana PAS adalah parti tonggak kepada BA. Jika BN kalah, yang hebat menerima tamparan ialah Umno, bukannya MCA walaupun calon BN adalah daripada MCA. Justeru, PAS patut bermuhasabah secara jujur bagi mengenal pasti kelemahannya, jika ingin terus mengetuai BA.

2. Sejak selesainya pilihan raya 1999, pembangkang di negara ini menghadapi tekanan cukup hebat. Bagi PAS, mulanya ialah pengurangan kekerapan Harakah, lidah rasminya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Ramai beranggapan, peranan asal Harakah sebenarnya telahpun berakhir apabila kekerapannya dikurangkan. Malang sekali, penentangan PAS terhadap tindakan ganas KDN itu berada di peringkat paling lembut sekali. Beberapa media alternatif lain, yang pro-PAS seperto Detik, Wasilah dan Eksklusif turut diharamkan.

3. Selepas penghubung antara PAS dan rakyat dimusnahkan, beberapa tindakan zalim yang mendera penyokong pembangkang dimulakan oleh beberapa negeri, antara yang paling ketara ialah Melaka, Pahang dan Selangor. Mimbar masjid dicabul, kuliah-kuliah agama dihentikan, senarai pendakwah yang dilarang memberi ceramah agama di masjid dan surau makin bertambah panjang, manakala AJK masjid tidak lagi dipilih oleh anggota kariah. Seperti juga pengurangan kekerapan Harakah yang tidak mendapat respons sewajarnya daripada PAS, pencabulan masjid oleh Umno ini juga tidak mendapat tentangan yang kuat.

4. Di Terengganu, keadaan menjadi lebih parah apabila kerajaan BN bertindak nekad dengan menghentikan bayaran royalti petroleum yang bernilai lebih RM1,000,000,000. Memang ada aksi protes terbuka dibuat, termasuk mengadakan demonstrasi di depan Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur dan siri road-show penerangan di seluruh Terengganu, tetapi ia terhenti setakat itu saja.

5. Kemuncak tekanan kepada pembangkang ialah apabila majlis tradisi pembangkang berhubung dengan rakyat, iaitu program ceramah dilarang terus, bukan saja dari diadakan di tempat-tempat terbuka, tetapi juga tidak dibenarkan dalam kawasan persendirian. Awalnya nampak ada usaha untuk membantah arahan tidak demokratik ini, dengan terus mengadakan majlis ceramah walaupun dilarang. Tapi, setakat manalah stamina untuk menentang larangan ini dapat bertahan apabila polis menyuraikannya secara kekerasan dan kegansan. Sayang sekali, apabila media pembangkang, khususnya Harakah, tidak dapat menyebarkan maklumat dan berita tentang keganasan polis ini kepada umum. Saya tidak faham mengapa Harakah tidak memanfaatkan banyak perkembangan menarik tentang kezaliman BN bagi menghalang pembangkang daripada bertemu dengan rakyat!

6. Barisan Alternatif nampak seperti pakatan yang rapuh apabila DAP keluar kerana tidak berpuas hati dengan penegasan PAS untuk terus mempertahankan idealisme memperjuangkan Negara Islam. Dalam hal ini, saya lebih tertarik untuk menyalahkan PAS kerana tidak memberikan penerangan sejelas mungkin bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada sekutunya dalam BA. Cabaran Mahathir kepada PAS pada mulanya tidak dilayan, tetapi kemudiannya diberikan respons juga. Ramai penyokong PAS sendiri kecewa dalam hal ini. Mereka menyifatkan PAS lambat bertindak, malah seperti teragak-agak dalam membuat sesuatu keputusan.

7. Dan apabila berlaku tragedi 11 September ke atas WTC dan Pentagon di Amerika, serta peperangan di Afghanistan, BN mengeksploitasi isu ini untuk memburuk-burukkan PAS di kalangan bukan Islam. PAS digambarkan seperti Taleban, dan keadaan menjadi lebih kronik apabila Kumpulan Militan (Mujahidin?) Malaysia dan Al-Maunah turut dikaitkan dengan parti Islam itu. Tidak kurang pula yang tidak berpuas hati dengan sikap dua pemimpin utama PAS yang menyifatkan tragedi di Sauk masih suatu sandiwara. Hairan juga apabila PAS tidak memulakan tindakan undang-undang untuk menghalang RTM dan TV3 daripada menyiarkan terus propaganda murahan mereka mengaitkan PAS dengan Taleban pada waktu perdana.

8. Sikap bertahan PAS dan pembangkang selepas 11 September sebenarnya mengundang padah. Tiada lagi isu-isu besar tentang salahguna kuasa dan penyelewengan pemimpin BN dikemukakan kepada rakyat secara menyeluruh (kecuali di peringkat negeri hanyalah isu rasuah MB Selangor, Dr Khir Toyo. Satu lagi saluran maklumat alternatif, iaitu internet, sudah mula hilang wibawanya, malah lebih terik lagi bila sebahagian besarnya sudah tidak dikemas-kinikan lagi. Mood rakyat terhadap perkembangan semasa dapat dilenturkan dengan mudah.

Lalu, tentulah tidak mungkin dalam suasana tertekan itu, di kala rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai pembangkang dan isu-isu semasa, dan komitmen petugas pembangkang berada di bawah paras yang sepatutnya, kita mengharapkan keputusan luar biasa di Indera Kayangan.

Sebab itu, saya menegaskan sebelum ini bahawa hanya satu keajaiban yang diharap dapat mengubah suasana muram ini. Pemimpin pembangkang mesti memulakan satu tindakan lebih pro-aktif dan dapat mengadakan hubungan lebih intim lagi. Sebarang percakaran dalaman, khususnya dalam Keadilan dan DAP, mestilah dihindarkan. Jika tidak pilihan raya 2003 akan mengulangi nasib malang pembangkang pada 1995!

Saya akan membuat analisis tentang punca kekalahan semasa kempen dijalankan dalam bahagian berikutnya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com