UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Siapa nak siasat korupsi pembangkang?

Oleh : PENYOKONG REFORMASI

Sejak bermulanya reformasi yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim, terlalu banyak korupsi pemimpin-pemimpin BN, Umno terutamanya, didedahkan kepada umum. Dalam usaha memenangi sokongan rakyat, pihak pembangkang dengan agresif melemparkan pelbagai tuduhan kepada tokoh-tokoh Umno. Sudah semakin ramai rakyat yang percaya bahawa korupsi dan Umno tidak dapat dipisahkan lagi.

Walaupun begitu, terdengar juga tuduhan mengenai korupsi yang dilakukan oleh pembangkang, seperti isu konsesi balak di Kelantan dan Terengganu. PAS telah memerintah Kelantan selama lebih sepuluh tahun, satu tempoh yang cukup untuk melahirkan lebih dari sepuluh orang jutawan. Di Terengganu, timbul juga cerita mengenai perbuatan mungkar ini, malangnya, sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang tampil untuk menjelaskannya.

Umum mengetahui bahawa orang dalamlah yang paling berkemampuan untuk mendedahkan kejahatan ini kepada umum, kepada rakyat yang melantik pemimpin berkenaan ke tampuk kekuasaan. Ini telah terjadi kepada ramai pemimpin Umno, dan baru-baru ini MB Selangor Khir Toyo menjadi mangsa orang dalam yang semestinya bukan terdiri dari orang pembangkang.

Mereka yang bekerja dengan kerajaan Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi yang berjawatan tinggi atau rapat dengan sumber, perlu menyedari perkara ini. Sekiranya mereka mengetahui apa-apa korupsi yang dilakukan oleh pemimpin PAS yang memerintah, mereka perlu tampil memberikan bukti supaya rakyat tidak tertipu dengan pemimpin-pemimpin yang korup.

Sukar untuk mempercayai setelah lebih sepuluh tahun, tidak ada satu pun kejahatan dilakukan oleh mereka yang berkuasa. Di kalangan ahli PAS sendiri ramai yang sudah mula memperkatakan isu ini, tetapi lebih di antara mereka sahaja tanpa ada tindakan lanjut. Tidak sepatutnya ahli-ahli sebuah jamaah Islam membiarkan pemimpin mereka melakukan kemungkaran. Jika mereka benar-benar berpegang pada prinsip, pemimpin yang korup perlu mereka jatuhkan, seperti yang ingin mereka lakukan kepada pemimpin Umno.

Rakyat perlu disedarkan dari persepsi bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang, terutamanya PAS dan Keadilan adalah mereka yang paling bersih. Mereka memang lantang bercakap mengenai korupsi pemimpin Umno tetapi, pemimpin Keadilan semasa di dalam Umno juga melakukan perkara yang sama dan hasil ganjarannya masih ada lagi pada hari ini. Ini mungkin boleh dimaafkan kerana mereka telah berpaling dari Umno dan menyertai pembangkang tetapi ia tetap menjejaskan kredibiliti mereka, kerana persepsi rakyat terhadap mereka telah beubah. Salahuddin Ayub, pemimpin pemuda PAS pernah menyatakan perkara ini dalam sebuah akhbar tidak berkala, "Sama ada sindrom ini benar atau tidak dalam PAS, ia mestilah dimuhasabah. Dalam sejarah tamadun Islam analoginya cukup mudah: "Apabila rumah pemimpin sama tinggi dengan rumah rakyat di masa itulah tumbangnya kerajaan Rom dan Parsi, tetapi apabila rumah pemimpin lebih tinggi daripada masjid, di saat itulah runtuhnya Kerajaan Islam Cordova (Sepanyol) dan Abbasiyah."

Pembangkang berpotensi untuk memerintah negara atau pun setidak-tidaknya beberapa buah negeri. Penyokong pembangkang dan kakitangan kerajaan negeri pimpinan pembangkang hendaklah mendesak supaya apa sahaja dakwaan salah laku pemimpin pembangkang disiasat, supaya ia tidak akan menjadi isu yang melemahkan. Seorang pemimpin sebuah parti pembangkang pernah menyuarakan perkara ini; "Sukar untuk berbicara mengenai korupsi hari ini kerana kita sendiri melakukan perkara yang sama."






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com