UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




PM perlu tunjuk teladan jika beliau benar-benar serius nak banteras rasuah!

Oleh : BAHARUDIN MOHD NOOR

Saya rasa pandangan Ayah Chik tentang perlantikan Khir Toyo menjadi Pengerusi Perhubungan Selangor ada benarnya. Umum akan beranggapan Dr Mahathir sebagai Presiden Umno memang suka orang-orang di bawah telunjuknya mempunyai masalah peribadi kerana ia boleh diperalatkan bila sampai masanya nanti.

Ataupun dari sudut lain, orang ramai akan merasakan soal rasuah dan penyelewengan, seperti yang dilakukan Khir Toyo bukan merupakan perkara utama dalam Umno. Yang diutamakan ialah kesetiaan kepada pemimpin no. 1. Buktinya, bukan tidak ada pemimpin yang dituduh rasuah, malah ada yang sudah dipersiapkan kertas pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara, tetapi atas kuasa mutlak Perdana Menteri, segala-galanya beres pak!

Ini bermakna wibawa Badan Pencegah Rasuah di mata rakyat semakin menurun. Orang ramai tidak akan menghormati lagi badan-badan penting yang menjaga amanah dan kepentingan rakyat. Tertanamlah dalam pemikiran rakyat bahawa tidak menjadi kesalahan bagi seseorang menteri besar contohnya untuk menggunakan kedudukan peribadi untuk mengaut kekayaan, asalkan sokongan dan kesetiaannya kepada PM tetap tidak berganjak.

Isu Anwar Ibrahim membuatkan rakyat mempercayai dakwaan pembangkang bahawa Dr Mahathir boleh memaafkan apa saja kesalahan, baik kecil mahupun besar, yang dilakukan menteri-menterinya kecuali satu kesalahan, iaitu menderhaka kepadanya. Dan Anwar dipecat, dibelasah, dipenjara bukan kerana kesalahan rasuah dan liwatnya, tetapi kerana Anwar nampak berbahaya kepada kedudukan Mahathir.

Sedangkan dalam hati kecil saya, Perdana Menteri kita tidaklah seburuk yang disangka. Beliau sering mengingatkan ahli-ahli Umno tentang buruknya kesan amalan rasuah kepada parti dan juga negara. Beliau juga minta agar perwakilan Umno menolak calon-calon MT yang korup.

Tapi, segala gesaan dan rayuan PM itu tidak memadai. Mahathir perlu menunjuk jalan bagaimana rasuah mesti dibanteras sehingga ke akar umbi. Antaranya ialah memeriksa kembali kuasa penuh yang ada pada Menteri-menteri besar untuk menganugerahkan tanah, projek dan balak kepada mana-mana syarikat yang dikehendakinya. Tidak pernah diberitahu apakah kriteria yang perlu ada pada syarikat yang memohon tanah bagi menepati syarat-syarat kelulusan.

Sebab itulah kita nampak ada pengarah syarikat yang berulang kali mendapat tanah dalam waktu singkat, dan bila diperiksa mereka ada hubungan saudara dan kenalan rapat menteri besar, seperti yang dibuktikan dalam kes rasuah Khir Toyo ini.

Cubalah kita bayangkan dalam kes membekal dan memasang paip air, sepanjang 37 km, dari Semenyih ke Banting, boleh menelan belanja lebih RM82 juta, sedangkan menurut kontraktor berpengalaman (seperti didedahkan oleh Ahmad Lutfi Othman), kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran dan kepakaran itu tidak boleh melebihi RM37 juta, yakni untuk jarak 1 km tidak melebihi RM1 juta.

Jika ruang diberikan seluas mungkin untuk seseorang MB itu melakukan rasuah, maka PM hendaklah memastikan ruang itu ditutup serapat-rapatnya. Saya tidak percaya kalau ada orang kata PM tidak dapat mengesan lubang-lubang bagaimana rasuah boleh merebak.

Bagi saya, PM perlu dibantu dalam hal ini. Untuk mengharapkan pembangkang membuat perubahan, saya tidak nampak mereka boleh menang. Sesama sendiri pembangkang bertelagah. Jadi, walaupun saya penyokong kuat reformasi, saya lebih mendoakan agar reformasi dapat dilakukan melalui dalaman Umno sendiri.

Dan antara yang perlu direformasikan pada peringkat awal ialah mengurangkan kuasa besar MB dengan memastikan setiap kelulusan projek, tanah, balak atau apa saja harus dibuat secara telus dan terbuka.

Dan perlaksanaan pemberian projek secara rundingan terus hendaklah dihentikan, kecuali kerja-kerja mendadak yang perlu disegerakan. Masakan PM susah untuk melakukan perkara ini.

Kalau tidak orang ramai akan terus beranggapan bahawa Perdana Menteri kita selalu bersandiwara dalam hal rasuah dan orang tidak lagi mempercayai titisan air mata PM pada setiap kali perhimpunan Umno adalah jujur. Jadi, jangan kita marah kalau orang menuduh itu adalah tangisan air mata buaya!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 30 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com