UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




PRM AKAN BERKEMPEN SEPENUH TENAGA UNTUK MEMASTIKAN KEJAYAAN CALON keADILan

Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyokong penuh calon dari keADILan yang telah dipilih untuk mewakili BA dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan. Kami akan menghantar anggota-anggota dari semua negeri, yang sudah berpengalaman dan juga yang belum berpengalaman (dari angkatan muda yang mahu belajar berkempen), untuk membantu dalam kempen pilihanraya ini. Mereka akan berkempen dengan sepenuh tenaga bagi memastikan kejayaan calon tersebut.

Harapan kami ialah agar calon BA mendapat kemenangan, akan tetapi kami akan menganggap kemenangan juga sekiranya majoriti BN dapat dikurangkan. Pilihanraya ini bukan saja akan mengukur sokongan pengundi kepada BN, yang pasti akan menakutkan rakyat dengan menggunakan isu KMM dan keganasan. Bahkan ia akan menguji juga sejauh mana sokongan yang dapat diperolehi BA daripada kaum Tionghua selepas DAP meninggalkan BA.

Para pemimpin dan anggota PRM akan berkempen di kawasan-kawasan Melayu dan Tionghua. Kami tidak akan mengabaikan pengundi-pengundi India serta Thai. Akan tetapi, anggota-anggota Tionghua kami akan berkoordinasi rapat dengan anggota-anggota Tionghua keADILan untuk bertumpu di kawasan-kawasan pengundi Tionghua. PRM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk tujuan ini dan akan mendirikan sebuah Pusat Kempen di kawasan bandar di Indera Kayangan.

Sehubungan ini saya, bagi pihak PRM, ingin menyeru supaya aktivis-aktivis lama yang berpengalaman dalam kempen pilihanraya dari bekas Fron Sosialis, khususnya bekas tahanan ISA dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, supaya keluar beramai-ramai untuk berkempen. Seruan ini dibuat memandangkan bahawa isu-isu keadilan, demokrasi, hak asasi, korupsi dan pilih kasih, selain daripada isu-isu tempatan, adalah antara isu-isu yang bakal diketengahkan dalam pilihanraya kecil ini. Isu-isu ini juga pernah diperjuangkan dulu oleh aktivis-aktivis lama itu.

Dalam Pilihanraya Kecil Lunas ramai di antara mereka telah keluar membantu. Mereka berkempen dari awal hingga tamat, dan bukan datang di saat akhir saja, apabila tanda-tanda kemenangan kelihatan. Semua pihak mengakui bahawa usaha gigih mereka memberi sumbangan besar kepada kemenangan di Lunas. Saya berharap kawan-kawan lama ini sekali lagi akan turun padang beramai-ramai untuk memastikan kejayaan bagi calon BA dari keADILan.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

6hb Januari 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com