UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




AMALAN FITNAH BN MENGANCAM KEAMANAN

Oleh Dr Syed Husin Ali

Pucuk pimpinan Barisan Nasional sering menyeru rakyat supaya bersyukur kerana negara ini sentiasa dalam keadaan aman damai. Mereka selalu membuat dakwaan atau memberi gambaran seolah-olah keadaan itu wujud semata-mata oleh kerana kebijaksanaan dan kecekapan pemerintahan BN.

Tidak ada salahnya kita bersyukur. Akan tetapi bukanlah kepada pemerintah

BN. Tidak siapa menafikan pemerintah mempunyai peranan. Akan tetapi, pada hakikat sebenarnya faktor penentu paling penting bagi keadaan aman damai ini ialah rakyat. Pada umumnya majoriti rakyat negeri ini mempunyai sikap mudah memberi dan menerima serta hormat-menghormati.

Begitu juga, walaupun kadang-kadang ada provokasi daripada segelintir orang, namun pada umumnya juga majoriti rakyat tidak suka melihat ketegangan, pertentangan dan apatah lagi keganasan berlaku di kalangan masyarakat.

Mereka tidak mempunyai sifat suka mencari musuh dan gaduh.

Sebilangan rakyat merupakan anggota dan penyokong parti-parti politik, sama ada dalam atau luar pemerintahan. Parti-parti di luar pemerintahan, atau lebih dikenali sebagai pembangkang, memainkan peranan yang tidak kurang penting jika dibanding dengan parti-parti pemerintah bagi menegakkan keamanan. Akan tetapi, peranan atau sumbangan parti pembangkang mudah saja dinafikan atau diperlekeh oleh pucuk pimpinan pemerintah.

Sebenarnya, jikalau pihak pembangkang hendak memuat kacau dengan menimbulkan pergaduhan atau kacau belau, mudah saja mereka berbuat demikian. Mengapakah mereka tidak berbuat begitu? Sebabnya ialah kerana mereka pada dasar dan amalan adalah komited kepada perjuangan politik secara aman mengikut perlembagaan. Boleh dikatakan semua aktiviti yang mereka lakukan, termasuk ceramah dan perhimpunan, adalah secara aman.

Akhir-akhir ini lebih acap pucuk pimpinan pemerintah BN menuduh bahawa parti-parti pembangkang hanya pandai membuat fitnah dan tidak pandai memberikan pandangan yang membina. Begitu juga mereka menuduh bahawa parti-parti pembangkang lebih cekap membuat kacau daripada menyumbang kepada keamanan negara. Sebenarnya pucuk pimpinan pemerintah yang lebih teruk membuat tuduhan dan menyebar fitnah.

Sekarang ini saluran bagi pembangkang memberi penerangan semakin terbatas.

Berita benar mengenai pembangkang melalui televisyen, yang ditanggung dengan wang rakyat itu, jarang sekali keluar. Begitu juga dengan akhbar-akbar aliran perdana. Selain itu, sekatan ke atas parti-parti pembangkang untuk mengadakan ceramah adalah lebih ketat.

Selanajutnya, akhbar-akhbar parti pembangkang, yang dihadkan penerbitannya, kadangkala dirampas, walaupun ada permit, dengan tujuan menakut-menakutkan pengedar. Dengan segala sekatan dan ugutan yang ada, peluang untuk pihak pembangkang menyebarkan fitnah, seperti yang dituduh oleh pucuk pimpinan pemerintah BN itu, sangat terbatas.

Sebaliknya, pihak pemerintah boleh menggunakan media yang mereka miliki dan mempengaruhi media yang mereka kuasai untuk mengeluarkan dengan panjang lebar berita-berita baik mengenai parti atau pemimpin mereka, hampir 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 52 minggu setahun. Pada masa yang sama mereka boleh menyebarkan berita palsu atau fitnah terhadap parti-parti atau pemimpin-pemimpin pembangkang. Ertinya, peluang untuk pihak pemerintah menabur fitnah lebih luas dengan tidak terbatas.

Kita tentu masih ingat apa yang telah berlaku semasa kempen pilihanraya umum pada tahun 1999 dulu. Bukankah BN telah menggunakan segala media cetak dan elektronik untuk menabur fitnah terhadap BA dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat bukan Melayu? Bukankah melalui media tersebut BN mendakwa bahawa jikalau BA berkuasa, bahasa, kebudayaan dan perayaan mereka akan disekat dan kekacauan serta mala petaka akan berlaku? Sebaliknya, ruang bagi pihak pembangkang untuk menjawab ditutup sama sekali.

Sebelum dan selepas Anwar Ibrahim ditahan, berbagai-bagai fitnah ditaburkan terhadapnya. Berdasarkan fitnah ini pucuk pimpinan telah berjaya mengenakan hukuman yang zalim ke atasnya. Perkara ini boleh berlaku kerana pemimpin besar pemerintah, yang paling banyak mengeluarkan fitnah-fitnah tersebut, sudah menguasai media, polis dan hakim.

Dengan penguasaan itu, mudah saja bagi beliau memastikan hukuman yang berat boleh dikenakan ke atas siapa saja yang melawan. Jikalau tidak melawan, seperti dalam kes bekas Menteri Kewangan, maka hukuman yang zalim tidak dikenakan. Seandainya Anwar dulu meletakkan jawatan saja tanpa “melawan taukeh”, sudah tentu tidak apa tindakan akan diambil ke atasnya. Akan tetapi, Anwar tahu bahawa jikalau beliau tidak melawan, maka umum akan menganggap bahawa segala fitnah terhadapnya itu benar belaka.

Sehubungan ini, ada juga tuduhan bahawa Anwar adalah seorang agen Amerika.

Sehingga ini, tidak ada bukti yang telah dikemukakan. Pihak pemerintah mungkin takut juga hendak membawa tuduhan ini ke mahkamah. Boleh jadi tuduhan ini dibuat atau fitnah ini ditaburkan kerana Anwar semasa berkuasa dulu kelihatan lebih rapat daripada sesetengah menteri yang lain dengan pemimpin-pemimpin Barat.

Anehnya, sekarang ini selepas Peristiwa 11 September, Perdana Menteri yang menonjolkan dirinya dulu sebagai jaguh anti-Amerika sekarang ini kelihatan bersungguh-sungguh sekali dalam usaha hendak merapatkan diri dengan pemerintahan serta pucuk pimpinan AS. Adakah ini sudah menjadi bukti yang cukup untuk kita membuat fitnah bahawa pucuk pimpinan BN kini ingin menjadi agen kepada AS pula?

Begitu juga, pada masa yang sudah-sudah Perdana Menteri Mahathir mengecam AS syarikat kerana kononnya menggunakan “double standards” tentang soal hak asasi. Selepas September 11 kita dapati Presiden Bush telah meluluskan beberapa undang-undang serta peraturan yang zalim. Antaranya ialah yang membenarkan orang yang disyaki sebagai pengganas atau mempunyai hubungan dengan pengganas, boleh ditahan dan kemudian dibicarakan oleh sebuah mahkamah yang menyerupai tribunal tentera, dengan orang yang disyaki tidak dibenarkan memilih peguam bela sendiri.

Apabila ini berlaku, dengan gembira Perdana menteri dan Menteri Undang-undang mengumumkan bahawa AS sekarang ini sudah meniru ISA, akta zalim yang sudah lama digunakan di negeri ini. Sangat pelik sekali bahawa mereka ini seolah-olah hendak membuktikan bahawa ISA itu tidak lagi zalim oleh kerana AS juga sudah mempunyai undang-undang atau peraturan-peraturan yang sama zalimnya.

Nampaknya, ada dua muslihat pucuk pimpinan negara ini “mengalu-alukan” undang-undang dan peraturan baru AS untuk memerangi pengganas antarabangsa itu. Pertama, mereka berharap dengan berbuat demikian mereka dapat merapatkan diri dengan pentadbiran Presiden Bush, yang disebut oleh Perdana Menteri Mahathir sebagai lebih mudah dihubungi daripada pentadbiran yang lalu.

Kedua, jikalau pucuk pimpinan BN berjaya merapatkan diri mereka dengan Presiden Bush, maka diharapkan pentadbiran AS tidak akan mengkritik ISA dan segala penahanan di bawah ISA. Sekiranya ini berjaya, maka akan lebih mudah bagi pucuk pimpinan BN terus melakukan segala kezaliman yang hendak mereka lakukan.

Kini, amalan membuat fitnah serta tuduhan palsu ke atas pembangkang berlaku bukan semasa pilihan umum saja. Bahkan ia terus-menerus dilakukan sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun. Sekarang sudah ada pula percubaan oleh agen-agen polis atau parti-parti pemerintah menyusup masuk ke dalam akhbar cetak atau elektronik bagi mengeluarkan sebanyak fitnah dan pembohongan untuk menimbulkan imej yang buruk terhadap parti pembangkang dan pecah belah di kalangan parti-parti pembangkang.

Perbuatan pucuk pimpinan pemerintah BN untuk menabur fitnah dan memburuk-burukkan pimpinan serta parti-parti pembangkang akan semakin diperluas dan dipertingkatkan. Pada masa yang sama pucuk pimpinan BN akan memastikan bahawa segala ruang bagi pihak BA hendak menjawab akan ditutup atau disekat. Tanda-tandanya sangat jelas bahawa proses membunuh demokrasi semakin diperkuat oleh pemerintahan BN. Ini akan mempercepat lagi proses memunculkan seorang diktator yang mengancam keamanan.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com