UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




BN MENGULANGI SEJARAH KEZALIMAN

Oleh S. Husin Ali

Seminggu sebelum hari penamaan calon Pilihanraya Kecil Indera Kayangan, tidak pasti sama ada secara kebetulan atau rancangan, polis telah menahan 13 orang lagi di bawah ISA atas tuduhan terlibat dengan kegiatan KMM. Yang pasti ialah pihak BN menggunakan isu KMM ini untuk mengaitkannya dengan keganasan dan rancangan untuk menjatuhkan pemerintahan secara kekerasan.

Tujuannya ialah untuk mengugut serta menakut-nakutkan rakyat supaya menyokong calon BN dalam pilihanraya ini.

Ini ialah satu taktik yang sering digunakan oleh BN. Kita telah melihat bagaimana BN menggunakan taktik mengugut dan menakut ini dalam tiap-tiap pilihanraya. Dalam pilihanraya umum 1999, jentera propaganda BN memperalatkan semua media cetak dan elektronik untuk menabur fitnah bahawa jikalau BA menang, maka orang bukan Melayu/Islam tidak akan dibenarkan menganuti agama mereka atau merayakan hari besar mereka. Semua media utama tidak memberi peluang atau ruang untuk BA menjawab.

Dengan taktik kotor ini BN berjaya memenangi lebih daripada dua pertiga kerusi Parlimen, walaupun mereka meraih cuma 56 peratus undi saja. Taktik ini telah dicuba sekali lagi dalam Pilihanraya Kecil Lunas. Akan tetapi, oleh kerana rakyat baru saja belajar tentang taktik kotor ini dalam pilihanraya umum, dan tidak mahu ditipu sekali lagi, mereka telah menyokong calon BA dari keADILan. Namun begitu, taktik kotor ini pasti digunakan di Indera Kayangan.

BN agak bernasib baik, kerana suasana takut telah timbul meluas berikutan kempen Presiden Bush menentang keganasan antarabangsa. Keganasan dan pandangan sempit tentang Islam dikaitkan dengan Taliban. Di negara kita ada usaha dari pihak BN untuk menuduh PAS mempunyai kaitan dengan keganasan dan pandangan sempit ini. Pimpinan BN sudah mulai memfitnah PAS sebagai serupa dengan Taliban dan KMM yang dituduh konon mahu mengganas itu sebagai mempunyai hubungan dengan PAS.

Sepatutnya para pemimpin BN ini berhenti membuat fitnah seperti ini. Alasannya mudah saja. Sebuah penerbitan bernama Jane’s intelligence Review (yang selalu memberikan maklumat rahsia berkenaan senjata dan ketenteraan) baru-baru ini melaporkan bahawa Khalid al-Midhar, seorang penyerang berani mati dan Zacarias Moussaoui, orang pertama yang dibicarakan kerana dituduh terlibat dengan perancangan serangan itu telah datang ke Malaysia dalam tahun 2000.

Bahkan penerbitan itu juga mendakwa peristiwa September 11 mungkin tidak akan berlaku sekiranya pemerintahan Malaysia menahan mereka.Perdana Menteri Dr Mahathir, dengan nada sangat marah menafikan laporan dan dakwaan ini. Beliau menegaskan mereka mungkin datang sebagai pelancong dan pihak pemerintah tidak mempunyai maklumat pada ketika itu bahawa mereka pengganas. Beliau menyatakan semuanya fitnah belaka. Mengikutnya ada pihak-pihak tertentu di luar yang memang sengaja hendak memburuk-burukkan negara.

Jikalau pihak asing dianggap menuduh dan memfitnah Malaysia tanpa bukti, mengapakah kita tidak boleh menganggap bahawa para pemimpin BN juga mengamalkan perkara yang sama terhadap parti-parti pembangkang, terutama sekali keADILan dan PAS?

Apabila aktivis-aktivis muda keADILan ditahan lebih enam bulan lalu, mereka dituduh menggunakan mortar, molotov cocktail dan senjata lain, kerana kononnya hendak menjatuhkan Mahathir secara ganas. Akan tetapi semasa disoal siasat, sedikit pun mereka tidak disoal mengenai ini. Mereka lebih banyak disuruh menerima bermacam-macam cerita buruk dan fitnah tentang parti-parti alternatif dan Anwar Ibrahim serta keluarganya. Itu sebab mereka kini telah mengambil tindakan mahkamah berhubung perkara ini dan penahanan mereka.

Tidak lama selepas itu sekumpulan orang ditahan di bawah ISA kerana dituduh terlibat dengan KMM. Sekarang ini sudah ditahan pula sekumpulan lain yang konon terlibat dengan KMM juga. Tidak ada bukti yang diberi tentang kewujudan badan ini, yang mula-mula dipanggil Kumpulan Mujahidin Malaysia dan kemudian Kumpulan Militan Malaysia pula. Tidak ada bukti mereka merupakan kumpulan bersenjata yang sedang merancang untuk menjatuhkan pemerintahan BN yang dipimpin Mahathir. Jikalau ada bukti-bukti, mengapakah mereka tidak dibawa ke mahkamah?

Kita tidak mengetahui apakah di sebalik tahanan-tahanan terbaharu ini.

Adakah dari segi masa (atau timing) ia dilakukan untuk menjadi modal pilihanraya?

Adakah tindakan itu diambil untuk membuktikan kepada Presiden Bush bahawa Malaysia menyertai rancangan global beliau untuk memerangi keganasan?

Atau adakah ini satu cara terbaik dan kena masanya bagi Mahathir merapatkan dirinya dengan Bush?

Walau apa pun jawapan kepada soalan-soalan ini, ada hal yang membimbangkan.

Dr Mahathir memang terkenal dengan sikap tidak mahu pembangkang menjadi kuat dan pendirian bahawa pembangkang tidak berguna kerana mereka selalu membuat fitnah. Mahathir menyedari bahawa pembangkang yang kuat boleh menyekat cengkaman monopoli kuasa di tangannya, penguasaan ke atas mahkamah, polis serta media, dan amalan rasuah, kronisme serta pilih kasih yang dilakukan olehnya selama ini.

Mahathir melihat bahawa BA, sungguhpun lebih lemah sekarang ini, masih boleh mencabar BN, dan oleh kerana itu perlu dilemahkan lagi dan akhirnya dihancurkan.

Beliau memperalat segala media utama memburuk-burukkan BA dan memecahbelahkan anggota-anggotanya. Di antara parti-parti komponen BA, PAS kini merupakan parti terkuat yang boleh mengancam kedudukan UMNO di kalangan orang Melayu/Islam.

Strategi Mahathir pada masa ini ialah untuk melemahkan PAS, dan kalau boleh untuk melenyapkannya dari arena politik di negeri ini.

Bermacam-macam tindakan telah diambil atau cuba diambil oleh pimpinan BN untuk mencapai matlamat ini. Pengeluaran Harakah dibataskan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Ceramah-ceramah disekat. Pemerintah telah juga mencuba untuk “mengharamkan” penggunaan nama Islam oleh mana-mana parti politik, akan tetapi setakat ini masih belum berjaya dilakukan.

Sekarang ini sudah ada pula isu kumpulan KMM yang dituduh militan itu.

Besar sekali kemungkinan tidak lama lagi KMM dikaitkan dengan PAS.

Sekarang sudah ada tuduhan kononnya ada di kalangan mereka yang menganggotai KMM itu mempunyai hubungan dengan gerakan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden.

Secara kebetulan penerbitan Jane’s Intelligence Review, juga melapor kononnya PAS mempunyai hubungan dengan gerakan tersebut. Kami sangat bimbang bahawa dalam keadaan sangat tertekan atau terdesak (desperate), dan untuk mengelak kejatuhan, Mahathir mungkin mengharamkan sebarang parti yang mengancam pengaruh UMNO dan tidak disukainya.

Sebenarnya, apa yang sedang dilalui dan dialami oleh BA, keADILan serta PAS sekarang pernah dilalui dan dialami oleh Fron Sosialis dan parti-parti komponennya, iaitu PRM pimpinan Ahmad Boesamam, Parti Buruh Malaya (PBM) pimpinan Ishak Hj Muhamad, dan Parti Perhimpunan Kebangsaan (PPK) pimpinan Aziz Ishak. Ia pernah juga dialami oleh PAS pimpinan Dr Burhanuddin Helmy.

Parti-parti ini telah dituduh oleh pemerintahan Perikatan waktu itu sebagai militan dan pro-komunis. Kegiatan mereka, termasuk ceramah dan penerbitan disekat. Ada kumpulan yang dituduh menggunakan senjata untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka ini dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin dan parti-parti ini.

Selain itu mereka dituduh bekerjasama dengan Indonesia, yang ketika itu di bawah Sukarno untuk “mengganyang Malaysia”, dan dituduh juga merancang untuk menubuhkan sebuah kerajaan buangan.

Akhirnya, beribu pemimpin serta anggota parti-parti ini ditahan di bawah ISA. Tekanan begitu kuat sekali sehingga Fron Sosialis berpecah, PPK membubarkan diri, PBM “menutup jendela” kerana sebahagian besar cawangan dan bahagiannya diharamkan, dan PRM menjadi lemah. Setiap Presiden PRM dan ramai pemimpin serta anggota parti itu pernah ditahan di bawah ISA. Ada yang ditahan sampai melebihi 10 tahun.

Sejarah kezaliman serta penindasan kini sedang berulang. Empat puluh atau 50 tahun dahulu, ahli-ahli politik ditahan atas tuduhan kononnya mereka Komunis atau pro-Komunis. Sekarang ini mereka ditahan kerana kononnya terlibat dengan gerakan Reformasi atau Islam militan. Dulu mereka dituduh cuba hendak menggulingkan kerajaan dengan cara bersenjata. Tetapi tidak ada bukti senjata yang dirampas. Yang ditayangkan kepada umum hanya beberapa senapang kayu yang digunakan untuk latihan drama. Sekarang pun mereka yang ditahan dituduh memiliki atau menggunakan senjata api. Tetapi tidak ada bukti.

Dulu mereka yang dituduh ditahan dengan zalim di bawah ISA. Sekarang pun, lebih 40 tahun kemudian, mereka yang dituduh ditahan di bawah ISA juga.

Dulu tidak ada bukti yang cukup dikemukakan sama ada oleh pihak polis atau Kementerian Dalam Negeri. Sekarang pun begitu. Dulu pemerintah takut hendak membawa mereka yang kena tahan ke mahkamah. Sekarang pun begitu. Dulu mereka berjaya memecahkan SF. Sekarang mereka cuba hendak memecahkan BA pula.

Sejarah kezaliman pemerintah BN (dulu Perikatan) berulang semula.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com