UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




KeADILan-BA MUNGKIN MENANG?

Oleh : Syed Husin Ali

Tidak sampai 12 jam lagi (dari masa rencana ini ditulis), pengundi- pengundi Indera Kayangan akan mula keluar untuk menentukan calon mana yang akan menang. Saya baru saja pulang setelah berkempen di sana beberapa hari. Kesan yang saya perolehi setakat ini ialah majoriti kemenangan BN dulu pasti akan dapat dikurangkan.

Walaupun menteri-menteri secara gah mengisytiharkan BN akan menang besar, sebenarnya mereka sedang dalam kebimbangan. Mereka tahu bahawa segala laporan rahsia yang mereka terima menunjukkan sokongan untuk calon keADILan-BA, Cikgu Khoo Yan Chong, meningkat setiap hari. Anggota keADILan yang berjaya dibeli untuk masuk UMNO cuma sembilan orang, bukan beratus-ratus.

Dalam Pilihanraya 1999, calon BA yang dulu mendapat hanya tujuh peratus daripada undi Tionghua. Hasil kerja kuat anggota-anggota Tionghua keADILan serta PRM, dengan sokongan hebat daripada aktivis-aktivis pendidikan Tionghua, anggaran pada hari ini menunjukkan kira-kira 50 peratus pengundi Tionghua sudah menyokong BA. Ada kemungkinan peratusan ini bertambah menjelang pagi esok.

Pengundi-pengundi Melayu di beberapa taman kediaman, seperti Kemajuan, Guar Syed Alwee dan Gandin, yang telah lama dikepong oleh orang-orang UMNO berada dalam keadaan gelisah. Dengan sistem anak angkat yang dipaksakan ke atas mereka oleh organisasi UMNO, mereka merasa terlalu dikawal sehingga tidak boleh menghadiri ceramah BA atau menemui perayu-perayu undi alternatif.

Pada permulaan, petugas-petugas BA yang cuba masuk ke taman-taman ini diugut, dihalau bahkan ada yang dipukul oleh samseng-samseng upahan BN. Akan tetapi, sejak dua hari lalu pemimpin-pemimpin BA, diikuti oleh ramai penyokong, telah berjaya menembusi kawasan-kawasan yang dikepong UMNO itu. Mereka mendapat sambutan hangat dan ternyata bahawa ramai pengundi Melayu masih setia.

Dalam pilihanraya ini pihak BN memperalatkan media dan menggunakan keganasan, pembohongan serta politik wang tanpa batas. Lima buah kereta milik pemimpin atau anggota BA dihentam sampai kemek atau dipecahkan cerminnya. Beberapa orang samseng BN yang mencederakan petugas- petugas BA telah ditahan oleh polis. BN memperalatkan seluas-luasnya televisyen, Jabatan Penerangan dan Majlis Bandaran untuk kempen mereka dan memburuk-burukkan BA.

BN, terutama sekali MCA, cuba menimbulkan ketakutan di kalangan orang bukan-Melayu dengan menggunakan isu Taliban, negara Islam dan keganasan antarabangsa. Saya lihat isu-isu ini tidak mempunyai kesan besar ke atas pengundi-pengundi. Mereka lebih tertarik kepada ketokohan calon, masalah rakyat tempatan, isu-isu ekonomi serta pendidikan, dan amalan korupsi yang meluas di kalangan pemimpin.

Suasana di Indera Kayangan tidak jelas seperti di Lunas. Namun, sekiranya pilihanraya ini bersih daripada penipuan, ugutan dan politik wang, terutama sekali pada saat-saat akhir, tidak mustahil keputusannya akan mengejutkan. Adakah Lunas kedua mungkin berlaku?






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com