UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Mengapa Keadilan-BA kalah teruk di Indera Kayangan

Oleh : DR SYED HUSIN ALI

Calon MCA-BN telah mengalahkan pencabarnya dari keADILan-BA dengan majoriti lebih besar di Indera Kayangan. Berbanding dengan pilihanraya 1999, kali ini BN menambah majoriti dengan kira-kira 700 undi kepada kurang sedikit dari 2,600. Tandanya jelas apabila pengiraan undi pos, daripada pasukan polis yang terkawal rapi, menghasilkan 700 undi bagi BN dan cuma 22 bagi BA. Dari mula-mula, BA mengetahui bahawa untuk menang memang susah, akan tetapi mereka mengharapkan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan majoriti.

Sepanjang masa, sejak sebelum hari penamaan calon lagi, BA jelas sekali tidak dapat melawan BN dari segi propaganda, kewangan dan organisasi. Sesungguhnya keADILan-BA telah berhadapan dengan seluruh kekuatan pemerintahan BN.

Serangan propaganda melalui media elektronik serta cetak mengenai Afghanistan, Taliban, keganasan dan Negara Islam telah dipertingkatkan semasa tempoh berkempen. Walaupun ada yang merasakan Afghanistan serta Taliban berada jauh, namun ramai peniaga Tionghua dan sebahagian kelas menengah di Indera Kayangan merasa tergugat oleh propaganda BN yang diulang-ulang itu. Mereka bimbang kekacauan serta ketidakstabilan akan berlaku dan kontrak atau lesen mereka akan ditarik balik sekiranya BA menang.

Sememangnya wujud juga rasa curiga terhadap PAS dan Islam, terutama di kalangan bukan Islam, yang berterusan disogok dengan propaganda fitnah parti dan pemerintah BN. Serangan dari beberapa anasir di luar pemerintah juga tidak membantu BA. Liputan luas yang diberi kepada penangkapan kumpulan KMM, yang dibuat kena pada masa, menambahkan lagi suasana psikologi ketakutan umum. KeADILan dicap oleh MCA khususnya sebagai dikuasai oleh PAS.

BN menguatkan lagi kesan taktik menakut-nakutkan ini dengan beberapa tindakan ganas oleh anasir samseng. Mereka memecahkan cermin kereta milik penyokong serta pemimpin BA, dan memukul serta mencederakan petugas-petugas BA. Bahkan mereka telah juga membelasah seorang pegawai polis sehingga patah gigi depan. Pegawai itu cuba menyekat tiga buah bas dari Taman Medan, Petaling Jaya, diketuai Norkhaila, anggota Exco Selangor, yang dipercayai membawa undi hantu. Semua bas ini serta penumpang yang ditahan di balai polis telah dilepaskan pada jam 4.30 petang, setelah TPM Abdullah Badawi melawat balai berkenaan.

Setiap hari para menteri, pemimpin BN dan “penganalisis politik” muncul di kaca televisyen. Sebaliknya , keADILan-BA tidak diberikan satu saat pun untuk menjelaskan dasar serta pendirian mereka melalui media itu. Akhbar perdana yang dimiliki atau dikuasai parti-parti pemerintah terus memutar-belit segala tindakan atau kenyataan BA. Berbeza dengan di Lunas, manakala media Tionghua lebih neutral bahkan kadang-kadang menyokong BA, di Indera Kayangan pula akhbar-akhbar ini, yang lebih dikongkong oleh MCA-BN terang-terangan menyokong calon mereka.

Akan tetapi, yang sangat signifikan ialah walaupun propaganda, fitnah dan taktik kotor yang ditujukan terhadap BA sangat hebat, namun undi Tionghua yang diperolehi BA bertambah dari kira-kira 10 peratus pada tahun 1999 kepada lebih 30 peratus kali ini. Didapati lebih banyak golongan muda Tionghua yang mengundi BA berbanding dengan golongan tua dan wanita. Nampaknya mereka tidak tergugat sangat oleh propaganda keganasan berikutan serangan di New York pada 11 haribulan September dulu.

Yang merosot ialah undi Melayu, daripada kira-kira 65 kepada 40 peratus. Ini akibat daripada sumber kewangan BN yang tidak terbatas dan jentera pilihanraya mereka yang berkesan.

Sebelum penamaan calon lagi, MB Perlis mengadakan majlis kenduri tiap-tiap malam. Mengikut laporan yang dipercayai beliau telah memerikan RM100 seorang kepada bakal haji, berjumlah RM83,000. Mengapa dekat pilihanraya? Sesetengah pemimpin PAS pun merasa khuatir kerana beberapa petugas mereka mulai menghilangkan diri setelah diberikan sampai RM500-1000 seorang oleh BN. Semua orang Kangar tahu bahawa pemimpin serta anggota keADILan tempatan yang masuk UMNO ada harga sendiri. Melalui sistem “anak angkat” pula, banyak keluarga pengundi menerima wang dan makanan. BN mampu melakukan pelbagai sogokan.

Boleh dikatakan jentera pilihanraya BN kuat, terima kasih kepada kekayaan BN. Sebelum wakil rakyat yang lalu meninggal, UMNO-BN telah mendirikan pos-pos dan mengupah anggota serta penyokong UMNO untuk menjadi “anak angkat” kepada banyak keluarga di kampung dan taman kediaman. Mereka bertumpu kepada kawasan-kawasan yang telah memberikan banyak undi kepada keADILan dalam pilihanraya lalu. Setelah penamaan calon, lebih banyak lagi “anak angkat” sampai, terdiri daripada Puteri UMNO. Di antara mereka kelihatan pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi, yang kononnya dilarang berkempen oleh pemerintah.

“Anak angkat” bukan saja menjadi saluran bagi sogokan wang serta bekalan makanan dari BN, bahkan digunakan untuk menyekat keluarga angkat mereka daripada menghadiri ceramah atau menemui perayu undi BA. Kawasan-kawasan kampung atau taman kediaman itu dikepung oleh orang BN, dan beberapa orang petugas keADILan-BA yang cuba masuk dihalau dan ada juga yang dipukul oleh anasir samseng BN. Hanya pada dua hari terakhir baru pemimpin serta petugas keADILan BA berjaya masuk, akan tetapi sudah agak terlewat dan terbatas kesannya. Pengundi-pengundi dalam keluarga angkat ini disuruh bersumpah dengan Quran untuk mengundi calon MCA-BN sebagai membalas budi segala “hadiah” yang diterima. Pada hari mengundi, mereka diiringi ke tempat mengundi dengan rapi.

Selain jentera sendiri, UMNO-BN juga menggunakan institusi serta kakitangan pemerintah. Selama beberapa hari kenderaan Jabatan Penerangan terletak di Taman Kemajuan, yang banyak undi Melayu, sedang pegawai-pegawai jabatan itu berkempen untuk BN. Pegawai tinggi Majlis Bandaran Kangar pula telah mengarah pekerja-pekerja menurunkan poster serta bendera BA kerana kononnya melanggar undang-undang. Akan tetapi mereka tidak bertindak terhadap BN pula. Hanya setelah BA membuat aduan, baru pegawai-pegawai majlis bandar ini memulangkan segala milik BA yang telah mereka rampas.

Jelas sekali bahawa sogokan, ugutan dan kawalan BN membantu mereka mendapat lebih banyak undi Melayu kali ini. Akan tetapi, tidak boleh dinafikan pula bahawa keADILan-BA mempunyai kelemahan sendiri juga. Sudah pasti BA tidak akan dapat menyaingi BN dari segi wang dan kuasa di mana dan bila masa saja. Akan tetapi ia boleh dan patut bekerja kuat untuk memperbaiki jentera parti di semua peringkat, terutama sekali di peringkat akar umbi.

Dari segi organisasi keADILan memang lemah di Kangar dan Perlis. Ia ditambah lemahkan lagi apabila beberapa orang pemimpin dan anggota keluar parti. Sungguhpun sebenarnya tidak sampai satu dozen yang keluar, bukannya beratus-ratus sebagaimana yang dibesarkan melalui propaganda BN, ia telah cukup untuk merosakkan imej. Akan tetapi, Anuar Tahir, bekas Setiausaha Agung, menyertai ceramah untuk menafikan tuduhan beliau masuk UMNO. Ruslan Kassim pula telah menerima balik jawatan lama sebagai Ketua Penerangan. Tindakan mereka membantu membuktikan bahawa keADILan masih utuh.

Kebanyakan petugas di bilik-bilik gerakan keADILan serta PRM terdiri daripada orang luar, dan sangat kurang sekali orang tempatan. Kempen rumah ke rumah tidak dapat dilakukan secara berkesan, apatah lagi kerana banyak kampung dan kawasan kediaman Melayu dikepung keras oleh UMNO-BN. Oleh itu keADILan-BA terpaksa bergantung banyak kepada ceramah. Seperti biasa, ceramah ini baik untuk memberi maklumat serta penjelasan, dan menjawab tuduhan. Biasanya ramai yang datang, akan tetapi kebanyakan mereka dari luar dan bukan pengundi. Ramai pengundi dikawal atau disekat oleh “anak angkat” hingga tidak boleh mendengar ceramah BA.

Kini BN lebih berkuasa ke atas media. Sebaliknya, ceramah BA semakin berkurang oleh kerana sekatan polis yang tidak mahu mengeluarkan permit. Semasa di Indera Kayangan pun, polis menafikan permit untuk dua ceramah perdana pada dua hari kempen terakhir. Bahkan pasukan polis bertindak lebih jauh dengan menghantar FRU mengepong tempat-tempat yang dijadualkan untuk ceramah tersebut. BA tidak banyak menggunakan cara-cara lain untuk berkempen bagi menjelaskan pendirian serta dasar BA dan menjawab tuduhan-tuduhan BN.

Memandangkan BN memonopoli media dan polis membatas pengeluaran permit ceramah, BA hendaklah berbincang bagi melaksanakan kaedah-kaedah yang lebih berkesan untuk memenangi hati dan fikiran pengundi. Tetapi bersama ini, dan mungkin lebih penting lagi, kita harus membina dan membaiki jentera parti serta jentera pilihanraya di setiap peringkat, mulai dari sekarang.

20 Januari 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com