UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Keganasan Pembangkang - Rakyat Kecewa

Kejadian petugas-petugas Parti Keadilan Nasional (keADILan) diganasi sehingga mendatangkan kecedaraan serius dalam tempoh kempen pilihanraya kecil Dun Indera Kayangan baru-baru ini sepatutnya mendapat perhatian serius daripada semua pihak di negara ini. Apa yang sangat mengecewakan orang ramai, pihak berwajib seperti Polis (PDRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), mahupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab memantau perjalanan kempen tersebut gagal untuk bertindakbalas mengenai kejadian keganasan ini. Walaupun setakat ini polis telah membuat tangkapan keatas 8 orang yang dipercayai berkaitan dengan insiden tersebut, namun polis sebenarnya dari awal lagi telah gagal untuk menangani keganasan tersebut dengan berkesan. Menurut Timbalan Ketua Pemuda keADILan YB Saifuddin Nasution, beberapa anggota polis yang berada di tempat kejadian telah bukan sahaja gagal bertindak pantas, malahan gagal menghalang beberapa orang penyokong dan samseng upahan dari kalangan petugas BN dari menyerang petugas-petugas keADILan dengan memukul dan menendang kereta Saudara SD Johari, di hadapan mereka, walaupun petugas-petugas BA telah beberapa kali meminta mereka untuk membawa individu-individu yang terlibat ke balai polis. Dalam keadaan tertekan, setelah melihat pihak polis gagal untuk melindungi mereka, petugas-petugas keADILan telah cuba untuk menyelamatkan diri.

Kita juga sudah maklum tentang beberapa kejadian merosakkan harta-benda termasuk kereta para petugas parti tersebut beberapa hari yang lalu. Dengan kegagalan badan-badan ini untuk bertindakbalas terhadap kejadian memalukan ini telah menimbulkan pelbagai tanda-tanya kepada rakyat negara ini yang sentiasa mengikuti perkembangan pilihanraya kecil itu. Seluruh rakyat Malaysia yang membayar gaji kakitangan badan-badan ini layak mempersoalkan, apakah telah menjadi kebiasaan badan-badan ini untuk lambat bertindak apabila sesuatu perkara seperti di atas berlaku. Apakah hanya kerana kejadian ini berlaku keatas parti pembangkang, maka ianya boleh dipandang remeh. Malahan rakyat juga hendak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab melakukan keganasan tersebut.

Selama ini, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian kami telah diberitahu oleh pemimpin-pemimpin negara melalui media tentang niat buruk parti pembangkang untuk mengkucar-kacirkan keamanan negara kami dengan tindakan ganas mereka. Sebagai rakyat biasa sebenarnya kami sudah mula belajar untuk mempercayai fakta-fakta seperti kewujudan Kumpulan Militan Malaysia (KMM), kejahatan Al-Maunah, hubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dangan pertubuhan Al-Qaeda, keADILan adalah agen negara asing dan sebagainya itu. Semua cerita yang kami dengar dan baca setiap hari melalui media ini telah mula meresap ke dalam hati kami. Kami cuba menerima dan mempercayainya secara bulat-bulat.

Bagaimanapun, perasaan ragu mula timbul dalam hati kami setelah mendengar berita tentang kejadian pekerja parti pembangkang pula yang diganasi dan dikasari. Bagaimanakah ahli parti yang ganas itu mengasari dan mengganasi diri mereka sendiri. Sukar untuk kami mempercayai hakikat jika seorang itu perompak dan dia akan merompak harta-bendanya sendiri. Akan adakah orang yang mempercayai cerita perompak itu?

Ramai sebenarnya yang percaya andaian (bukan menuduh) bahawa pelaku keganasan di Indera Kayangan itu datangnya dari pihak yang membuat tuduhan. Sesuailah seperti kata orang tua-tua yang biasa kita dengar “mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Maknanya, pihak pembangkang yang dituduh ganas itu tidaklah seperti apa yang telah digambarkan sebaliknya pihak yang menuduh itulah yang bersifat sedemikian. Sekarang, rakyat yang mempercayai bahawa pihak yang menuduh itulah yang ganas sebenarnya memiliki hujah yang meyakinkan dan mempunyai asas yang kukuh. Pertama, jika diamat-amati sikap berkonfrotasi pemimpin-pemimpin BN yang ditunjukkan terhadap parti pembangkang amatlah keterlaluan sekali samada menjelang dan selepas hari penamaan calon pada 10 Januari yang lalu. Kadangkala, kemarahan yang mereka pancarkan melalui media itu jelas menonjolkan sikap dan tindakan mereka untuk mendorong para penyokong untuk bertindak ganas.

Ini jelas tergambar dalam kenyataan seorang pemimpin Umno yang juga Menteri Besar di dalam kenyataannya kepada media, beliau dilaporkan sebagai berkata, “Saya mungkin dapat bersabar. Tetapi saya tidak pasti dapat menghalang para penyokong saya dari berbuat sesuatu.”

Kenyataan tersebut sudah cukup untuk membakar semangat dan seolah-olah itulah lampu hijau bagi para penyokong untuk melakukan ‘sesuatu’ - tindakan ganas. Bukankah kenyataan seperti itu dapat disifatkan sebagai menghasut yang membawa kepada sikap ganas penyokong beliau itu.

Kedua, mungkin kita sudah lama tidak mendengar slogan yang berbunyi “Kepimpinan Melalui Tauladan”. Tapi saya percaya, slogan ini masih tetap diingati malah menjadi pegangan kebanyakan rakyat negara ini, terutamanya di kalangan pengikut-pengikut parti Umno. Tidak berapa lama dahulu, ketika isu tuntutan oleh Siqui sedang hangat dibicarakan rakyat Malaysia berpeluang melihat bagaimana Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur telah dicerobohi oleh beberapa orang pemimpin Pergerakan Pemuda Umno. Gambar-gambar pencerobohan itu telah disiarkan dengan megahnya di muka hadapan dada akhbar. Tindakan mereka mencerohohi bangunan tersebut dengan memanjat pagar itulah yang telah menonjolkan sikap sebenar mereka yang ganas. Sudah tentu sikap ini menjadi ikutan dan tauladan yang dicontohi oleh pengikut mereka di Indera Kayangan itu.

Kemudian, bukankah masih segar dalam ingatan kita bahawa ada seorang Menteri Besar yang baru dilantik dengan gagah perkasa mengatakan bahawa beliau sanggup “bermandi darah” untuk mempertahankan presiden partinya. Perkataan sedemikian sebenarnya hanya sesuai digunakan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Seperti yang kita sediamaklum, pada zaman tersebut hanya yang kuat akan menjadi penguasa. Kekuatan pula semata-mata bergantung sejauh mana kegagahan fizikal dan kehandalan seseorang itu bermain senjata. Dalam konteks ini, sekali lagi kita dapat melihat kecenderungan pemimpin-pemimpin parti yang menuduh itu sebenarnyalah yang bersifat ganas seperti yang dituduh oleh meraka. Dengan perkembangan mutakhir ini, jangan salahkan kami rakyat biasa negara ini jika keyakinan kami terhadap dakwaan tindak-tanduk negatif pembangkang itu telah berubah. Jadi, adalah tidak keterlaluan jika kami mula mempercayai bahawa media perdana selama ini yang melabelkan parti-parti Alternatif sebagai ganas dan pelampau hanyalah gembar-gembur yang boleh disifatkan sebagai propaganda yang berniat jahat semata-mata.

Bukankah ini merupakan sesuatu yang amat malang bagi seluruh rakyat Malaysia yang percaya kepada sistem politik demokrasi untuk mempercayai bahawa pemikiran mereka telah diracuni. Terlalu malang lagi jika ada di kalangan mereka yang masih dan akan terus menolak - kerana belum menyedari atau tidak mahu sedar - hakikat bahawa berita berbentuk propaganda ala-Hitler telah menguasai mereka.

Enot Sabah
(enotsabah@hotmail.com)

14.01.02






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com