UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Versi 'negara Islam' menurut kacamata ulamak Umno

BERIKUT disiarkan sedutan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brig. Jen. (B) Datuk Abdul Hamid bin Haji Zainal Abidin, berhubung 'negara Islam' versi Umno ketika bangun menggulung perbahasan Belanjawan 2002 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

KONSEP negara Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya telah menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat semasa perbahasan ini. Antaranya Yang Berhormat bagi Pendang, Parit Sulong, Keningau, Parit Buntar, Rompin, Kemaman, Sik, Bukit Mertajam, Setiu, Parit, Batu dan beberapa lagi Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Penjelasan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah menepati dan memenuhi kriteria atau ciri-ciri utama sebuah negara Islam. Ianya telah pun dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Jawapan Lisan di Dewan yang mulia ini.

Dalam hal ini, saya sekali lagi menegaskan kenyataan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam memang tepat dan memenuhi kriteria atau ciri-ciri utama sebuah negara Islam seperti berikut:

(i) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara Malaysia dan baginda beragama Islam; dan

(ii) umat Islam bebas menunaikan ibadat di mana-mana sahaja dalam negara ini, di samping itu agama lain juga bebas mengamalkan agama masing-masing tanpa ada sekatan.

Umat Islam menikmati keamanan dan keselesaan dalam negara ini. Semua rakyat di negara ini merasai keamanan dan keselesaan. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bukan satu perkara baru kerana Malaysia adalah memang sebuah negara Islam sejak dahulu lagi. Apabila kita mencapai kemerdekaan, keislaman itu diperkukuh lagi dengan catatan dalam Perlembagaan Islam sebagai agama rasmi negara. Bahkan seluruh pemimpin dunia dan ulama-ulama di peringkat antarabangsa telah menerima demikian. Ulama-ulama yang tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam hanyalah ulama-ulama PAS. Syariat Islam adalah berhubung dengan pentadbiran hal-ehwal keduniaan dan bergantung kepada pengenalan keadilan, menjaga kepentingan umum, mengambil kira tentang kemampuan manusia dan sebagainya. Konsep negara Islam yang kita laksanakan adalah selaras dengan konsep ibadah dalam Islam dan selaras dengan tuntutan Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Konsep negara Islam kita tidak bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia. Kita tidak boleh menerima konsep negara Islam yang mengetepikan golongan wanita sehingga kepada peringkat menyertai Musabaqah pun diharamkan. Kita juga tidak dapat menerima konsep Islam yang memikirkan hendak mendera golongan bukan Islam. Bagi kita, itu bukan cara Islam.

Malaysia adalah sebuah negara Islam seperti mana konsep dan bentuk yang diamalkan sekarang. Islam adalah agama rasmi negara kita dan kebebasan agama-agama lain adalah sentiasa terjamin di bawah Kerajaan Barisan Nasional....

Tuan Muhamad bin Mustafa: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ada satu soalan tentang negara Islam ini. Soalan pertama ialah Islam itu sendiri memberi makna tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. Tunduk dan patuh itu kita gambarkan melalui ibadah dan melalui syariat. Sebuah negara Islam di dalam sejarah ialah negara yang meletakkan undang-undang Allah dan Rasul itulah undang-undang yang tertinggi di dalam negara itu. Apakah ciri ini berlaku di dalam negara kita sekarang ini di mana Perlembagaan Negara kita mengatakan bahawa undang-undang yang tertinggi sekali ialah Perlembagaan Negara dan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara ini adalah terbatal, sehingga kalau kita hendak laksanakan undang-undang Islam yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara kita, tidak boleh. Apakah kerajaan bercadang untuk merubah halangan-halangan yang menghalang pelaksanaan Islam supaya undang-undang Allah itulah yang tertinggi sekali.

Yang keduanya pula ialah mengenai pelaksanaan undang-undang negara yang berlaku sekarang ini. Saya selalu menerima jawapan sama ada yang bertulis ataupun yang secara lisan ialah kita tidak boleh memaksa undang-undang Islam ini kepada orang bukan Islam, termasuk jawapan daripada Yang Berhormat Menteri sendiri. Kita memang bersetuju tidak boleh memaksa undang-undang Islam kepada orang bukan Islam, kerana mereka mesti kembali kepada agama masing-masing. Kita setuju tetapi yang hairannya, kenapa undang-undang yang bukan Islam, khususnya undang-undang yang bercanggah dengan Islam, undang-undang jenayah misalnya. Undang-undang Inggeris yang diamalkan sekarang ini, yang terang-terang bercanggah dengan Islam, dipaksa kepada orang Islam. Orang Islam dibicarakan dengan tatacara kehakiman yang bukan Islam. Orang Islam dibicarakan dengan undang-undang yang bukan Islam. Jadi, apakah ini suatu perkara yang kecil ataupun ianya dibiarkan begitu sahaja? Jadi, apakah dengan pengisytiharan negara Islam ini kita betul-betul serius untuk melaksanakan Islam, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan sebagaimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang tertentu. Sekian, terima kasih. Brig. Jen (B) Datuk Abdul Hamid bin Haji Zainal Abidin: Terima kasih Yang Berhormat bagi Peringat atas soalan itu. Sebagaimana yang saya nyatakan tadi bahawa Malaysia sebuah negara Islam, ditinjau dari segi apa sekali pun, baik dari segi akademik mahu pun dari segi pernyataan atau realitinya, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Undang-undang Allah dan Rasul, memang sedari awal lagi kita meletakkan peraturan-peraturan Islam dan undang-undang Islam di Malaysia ini teratas sekali. Kalau kita perhatikan dalam pembahagian undang-undang Islam menurut Fikah Islam sebagaimana yang kita semua ketahui bahawa terbahagi kepada empat bahagian iaitu, ibadat, muamalat, munakahat dan seterusnya inayat. Kita perhatikan di tiap-tiap bahagian itu sememangnya telah pun berjalan di negara kita ini sejak dari dahulu sampai sekarang dan seterusnya, baik dari segi ibadatnya, alkhursiah, begitu juga muamalat, kita ada menyediakan muamalah Islamiah dan kita seterusnya munakahat. Selama ini pun, sejak dari dahulu lagi sampai sekarang kita mengikut perundangan Islam dan dalam bab ehwal sahsiah ataupun undang-undang kekeluargaan dan jenayah juga kita ada undang-undang jenayah syariah. Jadi, tidak timbul soal kita membelakangkan ataupun mengesampingkan undang-undang Allah atau undang-undang Islam dalam negara kita Malaysia yang tercinta ini.

Tuan Abd. Rahman bin Yusof: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya hendak tanya mengenai kedudukan, status apabila perbicaraan yang melibatkan seorang Islam apabila ia bercanggah dengan syariat, undang-undang sivil yang dipegang oleh negara mengatasi daripada undang-undang syariat dan sepatutnya boleh dibicarakan juga dalam kes seperti mana yang berlaku terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat mengenai kes ini. Terima kasih.

Brig. Jen. (B) Datuk Abdul Hamid bin Haji Zainal Abidin: Terima kasih kepada Yang Berhormat bagi Kemaman. Saya rasa itu tidak timbul soal percanggahan kerana kedua-dua undang-undang ini atau mahkamah ini, dari segi prinsipnya sama iaitu, soal-soal keadilan baik di Mahkamah Syariah mahu pun di Mahkamah Sivil, soal keadilan itu tidak diabaikan. Kita Malaysia, sentiasa memelihara soal ini, soal keadilan. Apa lagi soal keamanan dan keselamatan. Saya mohon izin. Agama Islam adalah agama yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan sesama manusia tidak kira sama ada yang beragama Islam ataupun bukan Islam. Islam tidak membenarkan keganasan dilakukan kepada sesiapa pun. Islam menggalakkan pengikut-pengikutnya sentiasa menghormati orang lain, bersifat adil kepada semua manusia dan tolong-menolong di antara satu dengan yang lain. Islam mewajibkan kita untuk berusaha maju dalam semua bidang seperti ekonomi, keselamatan, pertahanan, ICT, sains serta teknologi, aerospace pendidikan dan sebagainya. Kerajaan di bawah Barisan Nasional akan terus menjamin hak-hak setiap rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah selaras dengan kehendak agama Islam.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya ingin bertanya, oleh kerana kita sudah lama mengamalkan undang-undang Islam di Malaysia ini, mengapakah baru tahun ini pihak Perdana Menteri mengisytiharkan Malaysia kononnya sebagai sebuah negara Islam, dan apakah logiknya baru sekarang ini diisytiharkan? Sepatutnya perkara ini kalau sudah tidak ada sebarang perubahan di segi undang-undang dan kita mengamalkan sudah lama, sepatutnya sudah lama kita mengisytihar. Itu saya hendak tanya, apakah logiknya?

Brig. Jen. (B) Datuk Abdul Hamid bin Haji Zainal Abidin: Terima kasih kepada Yang Berhormat. Sebenarnya bukan soal pengisytiharan. Apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah menarik perhatian kepada mereka yang lupa bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam. Soal pengisytiharan tidak timbul sebab kita hendak isytihar sesuatu perkara itu ialah perkara-perkara yang belum ada apa-apa. Umpamanya kita belum mencapai kemerdekaan, apabila kita mencapai kemerdekaan, kita isytiharkan negara kita merdeka. Sudah kita mencapai kemerdekaan bertahun-tahun, hendak isytihar apa lagi soal merdeka. Maka begitulah halnya dengan negara Islam; sememangnya sejak dari awal negara Islam tidak perlu diisytihar berkali-kali. Cuma apa yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat adalah menarik perhatian mereka yang lupa bahawa negara ini sebagai sebuah negara Islam.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com