UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Rumusan episod pertama pertembungan Lutfi-Khir

Oleh Baharudin Mohd Noor

Kalau mahu dikira dari tarikh Ahmad Lutfi Othman membuat aduan pertama kepada BPR pada 23 Oktober lalu, kes rasuah Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo sudah berjalan lebih 70 hari.

Banyak episod menarik dalam pertembungan Lutfi-Khir ini. Saya akan tumpu bagaimana usaha untuk menghalang Lutfi daripada mendedahkan kebusukan perangai Menteri Besar termuka ini:

Pertama, Khir telah mengarahkan pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk merampas semua naskhah Memo14 dari sebuah kilang percetakan di Shah Alam. Menurut Lutfi, akibat rampasan sekumpulan lebih 20 pegawai polis pada hari minggu itu, dia rugi hampir RM100,000. Aneh sekali, akhbar berkenaan belum satu pun sempat dijual di pasaran dan tuduhan yang dikenakan oleh pihak polis dipinda tidak sampai pun empat jam selepas Lutfi ditangkap. Selalunya rampasan hanya dibuat selepas akhbar berkenaan dipasarkan di tempat terbuka.

Kedua, Khir menaja laman-laman web Umno untuk memburuk-burukkan Lutfi bagi menekan secara psikologi bekas pemimpin pelajar ini daripada terus menyelongkar amalan rasuahnya. Lutfi juga dituduh dengan macam-macam tuduhan termasuk mendapat duit berjuta-juta ringgit sebagai upah bagi “memfitnah” Khir. Lebih melucukan bila dituduh ada dua Exco Kerajaan Selangor yang menjanjikan sebanyak RM2 juta kepada Lutfi kalau beliau dapat menumbangkan Khir sebelum raya.

Agak pelik juga bagaimana Exco-exco berkenaan meletakkan tarikh akhir untuk Lutfi menjatuhkan Khir menjelang raya lalu. Soalnya, apa untung mereka jika Khir jatuh sebelum raya dan apa rugi mereka kalau Khir merudum selepas Aidilfitri? Dan jika mereka berpakat mahu menjatuhkan Khir, apakah mereka pasti akan dilantik menjadi menteri besar selepas ini sedangkan hak melantik MB sepenuhnya di tangan PM?

Sementara halangan ketiga yang terpaksa ditempuh Lutfi adalah penyebaran akhbar Memo15 palsu, yang menohmahkan Lutfi dan pemimpin pembangkang di Selangor, antaranya Dr Hassan Ali, ADUN Sungai Burung yang juga Naib Presiden PAS dan Azmin Ali, ADUN Hulu Kelang, yang juga Naib Presiden KeADILan. Dipercayai pihak yang rapat dengan Khir menaja akhbar palsu yang mencedok bulat-bulat bahan yang disiarkan oleh sebuah laman Umno. Akhbar palsu ini disebarkan secara meluas di seluruh Selangor, dan kebanyakannya diedarkan percuma di masjid-masjid ketika umat Islam khusyuk menunaikan ibadat solat Tarawikh.

Manakala risiko yang bakal diharungi Lutfi adalah tindakan undang-undang ekoran pendedahan aduan yang disampaikannya kepada BPR. Akta Pencegahan Rasuah (pindaan 1997) memperuntukkan bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang pengadu menyebarkan bahan aduannya kepada umum. Lutfi tiada pilihan lain daripada memaklumkan dakwaan rasuah yang siap dengan segala bukti dan dokumen berkaitan kerana jika ia hanya didiamkan, kemungkinan pihak atasan yang menguasai BPR akan membenamkan begitu saja aduannya.

Dr Khir Toyo nampaknya lebih suka mengambil sikap berdiam diri menghadapi serangan Lutfi, kecuali menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan Lutfi, yang kemudiannya diulangi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr Hassan Ali. Khir juga memberi respons terhadap dakwaan rasuah kepadanya melalui wawancara satu setengah muka surat dengan Mingguan Malaysia. Dan semasa beliau cuti sakit akibat penyakit batu karang yang dihadapinya, Khir mendapat jemputan khas dari RTM untuk satu wawancara khusus dengannya, juga bagi menjawab “segala fitnah” yang dituju kepadanya.

Bagaimanapun hampir semua persoalan asas mengenai dakwaan rasuah kepadanya tidak dijawab, malah Khir sengaja mengelak dengan menimbulkan beberapa perkara, yang bagi Dr Hassan Ali, untuk menarik simpati kepadanya. Misalnya, isu projek jalan raya merentasi bendang di Sekinchan, sepanjang 20 km bernilai RM92.5 juta langsung tidak dijawab, sedangkan dalam projek rundingan terus ini, dua isu utama mengenainya dikatakan mengandungi unsur rasuah yang jelas sekali. Pertama, mengapa diberikan kepada Meram Holdings Sdn Bhd yang hampir disenarai-hitamkan kerana gagal menyiapkan lima projek dan kedua, nilai pembinaan jalan itu terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Difahamkan, taksiran JKR untuk projek itu, paling tinggi pun, tidak boleh melebihi RM60 juta. Dan Cabaran Wangsa, sub-kontraktor yang sebenarnya menjalankan semua kerja projek tersebut diperuntukkan oleh Meram Holdings sebanyak RM60 juta. “Itu pun sudah banyak untung,” kata seorang perunding berpengalaman dalam kerja-kerja geoteknikal. Khabar-khabar angin bertiup di Sekinchan bahawa pengarah utama Cabaran Wangsa, Pua Kim An, yang merupakan bekas tuan rumah yang disewa Khir semasa beliau belum menjadi MB, ligat mencari taukeh-taukeh yang boleh menyuntik wang panas lebih kurang RM20 juta untuk pihak yang rapat dengan MB sebelum Cabaran Wangsa mendapat projek tersebut.

Hubungan Khir dengan Pua seharusnya dikorek secara lebih terperinci oleh BPR. Ini kerana Pua (yang dipanggil di Sekinchan sebagai An) juga mendapat tanah seluas 100 ekar di kawasan Shah Alam, dan abangnya, menurut surat-surat layang yang disebarkan di sekitar Shah Alam dan Kelang, turut mendapat kawasan balak, lebih 1,200 ekar di kawasan hutan simpan Hulu Langat.

Begitu juga tentang kelulusan permohonan tanah kepada empat pengarah yang hanya berusia 20 tahun dan baru saja menjadi pengarah syarikat tidak sampai pun 40 hari sebelum tanah seluas 50 ekar di Kuala Langat diluluskan kepada mereka.

Jawapan Khir terhadap persoalan bagaimana empat syarikat berbeza yang mempunyai seorang pengarah yang sama, yang mendapat 400 ekar bernilai tinggi di Bukit Cherakah, Shah Alam jelas tidak memuaskan. Memang benar tanah tersebut telahpun diluluskan pada 1994, di bawah Menteri Besar waktu itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, tetapi sepatutnya apabila empat syarikat itu tidak dapat melunasi bayaran premium, tanah-tanah itu sewajarnya dipulangkan balik kepada kerajaan negeri, dan bukannya dengan membiarkan syarikat berkenaan diambil alih syarikat lain, yang selama ini, membolot begitu banyak tanah di Bukit Cherakah.

Khir tidak sepatutnya meluluskan rayuan empat syarikat berkenaan kerana syarikat-syarikat tersebut telahpun diambil alih oleh sebuah syarikat tersenarai di BSKL, yang mempunyai hubungan rapat dengan Muhammad Muhd Taib. Sepatutnya pembeli baru yang lebih layak dicari dan sememangnya begitu ramai mereka yang berminat dengan tanah di Bukit Cherakah kerana ia menjanjikan pulangan yang cukup lumayan. Dan yang terakhir, yang dikira kena batang tubuh Khir sendiri ialah apabila Lutfi membuat aduan baru kepada BPR memaklumkan PKNS menawarkan sebidang tanah tapak banglo di Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi. Lutfi syak Khir tidak melalui prosedur yang sepatutnya apabila beliau ditawarkan tanah berkenaan oleh Dato’ Harun Salim, Pengurus Besar PKNS.

Perihal harga tanah yang dikurangkan sehingga 50% merupakan sesuatu yang mengejutkan, dan ia disifatkan sebagai layanan istimewa buat seorang MB yang baru dilantik. “Kalau adapun potongan harga ke atas tanah PKNS, hatta bagi kakitangan PKNS yang berkhidmat lebih 20 tahun, ia tidak melebihi 10%, walhal apa yang Khir terima adalah potongan 50%. Itu pun, khabarnya, selepas Khir sendiri dikatakan tidak berpuas hati dengan tawaran harga pertama, iaitu RM20.00 sekaki persegi, sedangkan harga pasaran di sana, sekurang-kurangnya RM25.00 sekaki persegi,” kata seorang konsultan hartanah.

Soalnya, apakah segala dakwaan rasuah kepadanya akan menjadi kudis yang bertukar menjadi barah berbahaya buatnya? Apakah dengan sikapnya yang lebih senang berdiam diri menyebabkan rakyat khususnya di Selangor, akhirnya akan lupa isu tersebut, apatah ia ditimbulkan semasa Ramadhan dan menjelang Aidilfitri?

Dari mana Khir mendapat sumber kewangan untuk membeli tanah yang berharga lebih RM230,000 itu? Orang masih belum lupa bagaimana Khir memberitahu sidang DUN Selangor pada 31 Oktober lalu, bahawa beliau membayar semua baki pinjaman perumahannya dengan BBMB di Kajang adalah melalui hasil jualan kliniknya, juga di Kajang, iaitu sebanyak RM150,000. Khir mendakwa beliau telah mengusahakan klinik giginya itu selama 11 tahun, satu tempoh yang jelas merupakan pembohongan besar Khir, sepertimana beliau juga berbohong apabila memberitahu DUN Selangor bahawa beliau tidak pernah menerima tawaran tanah murah dari PKNS.

Seperti lagaknya di DUN Selangor tempoh hari, khususnya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr Hassan Ali, Khir cuba menenangkan dirinya meskipun apa yang dihadapinya ini boleh menggugat kedudukannya. Beliau ternyata cuba mengawal dirinya, apatah lagi memikirkan bahawa maklumat yang diperolehi Lutfi mungkin didedahkan oleh teman-temannya dalam barisan Exco Kerajaan Negeri. Dalam masa sama, Khir membuat serangan kepada Dr Hassan Ali, terutama tentang kem motivasinya di Sungai Lui, Hulu Langat. Di antara enam anggota ADUN pembangkang Selangor, dikatakan hanya Dr Hassan yang begitu berminat dengan isu Khir ini. Beliau menjadikan topik sensasi ini sebagai fokus utama ceramahnya. Khir mengharapkan Hassan Ali akan lebih disibukkan untuk menjawab serangan terhadapnya dan isu rasuahnya akan reda.

Soalnya, bagaimana pula cara untuk menjinakkan Lutfi, sumber utama yang dipercayai akan terus membongkar penyelewengan Khir yang belum berkesudahan ini, selepas cara atau pendekatan kasar yang digunakan jelas tidak berjaya? Ikuti penjelasan lanjut mengenai isu sensasi ini dalam siri akan datang.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com