UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Petugas KeADILan diculik, ditumbuk, ditendang!

KANGAR, 14 Jan (Hrkh) - Parti KeADILan Nasional melahirkan rasa kesal kerana serangan propaganda bersifat ugutan dan samseng jalanan telah digunakan oleh petugas-petugas BN dalam usaha menakut-nakutkan petugas-petugas BA serta pengundi terutamanya di kalangan kaum Tionghua di Indera Kayangan.

Menurut Timbalan Ketua Pemudanya, Saiffuddin Nasution Ismail, kejadian memukul, menculik, mengugut, membelasah dan menyerang beberapa orang petugas parti KeADILan pada awal pagi semalam (Ahad) adalah kemuncak dari siri-siri keganasan yang dilakukan oleh petugas-petugas BN sepanjang kempen pilihanraya kecil Indera Kayangan.

"Dalam kejadian awal pagi ini, Saudara SD Mohamad Johari Yasin, Exco Pemuda KeADILan Pusat dan Ketua Pemuda Bahagian Shah Alam serta beberapa orang petugas parti KeADILan telah diserang oleh kira-kira 100 orang samseng di kalangan petugas parti BN, di hadapan beberapa anggota polis yang hanya melihat dan memerhatikan kejadian tersebut," kata Saiffudin.

Kejadian bermula apabila beberapa petugas parti KeADILan berjaya menjejaki kira-kira empat orang pekerja berpakaian seragam BN sedang mengoyak poster-poster parti KeADILan yang baru ditampal di sekitar Jalan Medan Baru.

"Beberapa anggota polis yang berada di tempat kejadian bukan sahaja gagal bertindak pantas, malahan gagal menghalang penyokong dan petugas BN yang sedang memukul dan menendang kereta Johari di hadapan mereka, walaupun petugas-petugas BA telah beberapa kali meminta mereka untuk membawa individu-individu yang terlibat ke balai polis."

Tambah Saifuddin lagi, dalam keadaan tertekan, setelah melihat pihak polis gagal untuk melindungi mereka, petugas-petugas KeADILan telah cuba untuk menyelamatkan diri.

"Johari telah dikejar dan terus dipukul berhampiran dengan tempat kejadian oleh beberapa puluh orang petugas BN. Beliau seterusnya diculik dan dibawa ke bilik gerakan UMNO Wilayah Persekutuan berdekatan dan terus dibelasah, ditumbuk, ditendang di kepala serta disepak oleh mereka selama kira-kira setengah jam sebelum diambil oleh pihak polis dari bilik gerakan tersebut dan dibawa ke balai polis.

"Beliau mengalami kecederaan yang teruk di seluruh badan dan kepala. Kereta beliau juga mengalami kerosakan yang teruk dengan kemek di seluruh badan kereta dan cermin kereta dipecahkan oleh samseng-samseng tersebut," cerita beliau.

Kejadian ini adalah lanjutan dari siri ugutan terhadap petugas-petugas di bilik gerakan parti KeADILan di Pengkalan Asam pada 11 Jan 2002 dan serangan memecahkan cermin kereta pimpinan parti KeADILan, Dr Xavier Jayakumar.

Begitu juga dengan serangan terhadap beberapa orang petugas perayu undi KeADILan di kawasan Taman Kemajuan pada 12 Jan 2002 dan provokasi oleh kumpulan bermotosikal terhadap ceramah-ceramah BA, yang bertujuan tidak lain dari cubaan untuk menakut-nakutkan pengundi di DUN Indera Kayangan.

Saifuddin menambah, KeADILan kesal dengan sikap tidak acuh dan tidak professional pihak polis dalam menangani kejadian ini telah menyebabkan beberapa anggota petugas KeADILan mengalami kecederaan yang teruk.

Oleh itu, KeADILan mendesak, agar pihak polis mengambil tindakan segera, cepat dan betul dengan menangkap dan mendakwa petugas-petugas BN yang telah bukan sahaja melanggar Akta Pilihanraya setelah mereka mengoyakkan poster-poster calon dan yang bertindak ganas itu.

KeADILan juga, katanya, menuntut pihak polis bertindak pantas dan lebih bersikap professional tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam mengawal keadaan, dan tidak hanya menumpukan usaha untuk menggagalkan ceramah-ceramah umum anjuran Barisan Alternatif.

"Kami khuatir sekiranya kejadian-kejadian seperti ini dibiarkan berlanjutan tanpa sebarang tindakan tegas, keadaan akan menjadi lebih tidak terkawal, dan mungkin akan mencetuskan suasana huru-hara sebagaimana yang sering dicetuskan oleh BN dalam pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini," kata beliau.

Saifuddin juga menyeru penyokong-penyokong BA dari seluruh Malaysia agar hadir membantu petugas-petugas dan perayu undi BA di Indera Kayangan.

UMNO berlagak seperti gangster

Sementara itu, laman Web Pemuda KeADILan melaporkan, dalam satu kejadian yang berasingan, jentera kempen Umno juga menggunakan bentuk kempen yang sama apabila mereka menggunakan taktik ganas dalam kempen mereka.

EXCO Pemuda keADILan Saudara Liau Kok Fah menceritakan peristiwa yang dialami beliau sendiri bersama-sama petugas yang lain, apabila beliau diganggu dan cuba dipukul oleh petugas-petugas UMNO yang berlagak seperti gangster.

Lebih malang lagi, menurut sumber Pemuda, kejadian yang berlaku di hadapan sekumpulan Wanita UMNO itu turut memperlihatkan 'wajah' sebenar UMNO apabila mana mereka (Wanita UMNO) turut bertempik dan bersorak menyuruh petugas UMNO membelasah petugas BA.

Menceritakan kejadian tersebut, Saudara Liau berkata beliau bersama-sama Saudara Ahmad Hamdi Datuk Mokhtar, yang bertugas sebagai petugas keADILan di atas kapasiti peribadi beliau, sedang mengedarkan risalah-risalah kempen BA apabila sekumpulan petugas UMNO datang untuk membuat kacau.

Mereka (Liau dan Hamdi) turut disertai oleh seorang lagi petugas keADILan. Selepas itu, sekumpulan pemuda yang memakai jaket BN datang membuat kacau dengan menolak-nolak mereka sambil merampas risalah yang sedang diedarkan.

Petugas BN selepas itu menyepah-nyepahkan risalah BA sambil memijak-mijaknya. Dalam keadaan kelam kabut itu, seorang petugas BN mengambil kabel besi dan memukul Saudara Ahmad Hamdi, sehingga beliau luka di tangan dan kepala.

Petugas-petugas itu kemudian melarikan diri ke Bilik Gerakan BN Pahang yang terletak berdekatan. Ketika petugas-petugas BN itu cuba menyembunyikan diri di dalam Bilik Gerakan BN Pahang, sekumpulan Wanita UMNO Pahang menjerit-jerit menyuruh mereka terus 'membelasah' petugas-petugas BA tadi.

Tindakan untuk cuba mengenalpasti petugas BN yang memukul Saudara Ahmad Hamdi gagal apabila petugas-petugas BA dihalang masuk ke Bilik Gerakan BN itu oleh petugas Wanita UMNO tadi yang terus membuat bising dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Walau bagaimanapun, indentiti samseng yang memukul Saudara Ahmad Hamdi telahpun diketahui melalui maklumat yang diberi oleh anak kepada seorang petugas BN sendiri.

Saudara Hamdi sudahpun mendapat rawatan di Hospital Kangar, dan rekod kecederaan beliau akibat tindakan samseng petugas UMNO itu sudahpun dicatat. Saudara Hamdi dengan dibantu peguam-peguam BA telahpun membuat laporan polis mengenai perkara ini.

Kepimpinan Pemuda keADILan melahirkan harapan agar rakyat terbanyak membuka mata dan melihat sendiri kelakuan petugas BN yang merasakan tindakan mereka tidak tertakluk kepada lunas undang-undang.

Mereka juga melahirkan rasa tidak percaya dengan sikap Wanita UMNO yang kasar dan tidak melambangkan ciri-ciri Wanita timur.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com