UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Jangan ugut saya dengan OSA - Azmin Ali

Oleh Nur Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) - Naib Presiden Parti KeADILan, Azmin Ali memberi amaran keras kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya tidak mengugut beliau dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika beliau ingin mengetahui isi kandungan dokumen sulit yang akan didedahkannya tidak lama lagi.

Justeru, katanya, jika pemimpin BN mahu mengetahui apakah yang akan didedahkan oleh beliau, khususnya maklumat yang membabitkan isu penyelewengan dan rasuah kerajaan negeri Perlis, maka OSA tidak harus dijadikan sebagai ugutan untuk menghalang beliau berbuat demikian.

"Saya akan terus mendedahkan maklumat-maklumat ini sepajang tempoh kempen pilihan raya kecil Indera Kayangan," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pemimpin Umno dan BN tidak perlu gentar atau takut dengan pendedahan penyelewengan itu jika mereka tidak terlibat dengan perkara tersebut.

"Kalau mereka berasa tidak bersalah dan tidak terbabit dalam rasuah atau penyelewengan, maka apakah yang perlu ditakutkan. Mereka tidak harus mudah melatah, sebaliknya mereka perlu tunggu pendedahan saya," katanya lagi.

Menurut beliau lagi, sebelum ini, Pemuda KeADILan telah banyak mendedahkan isi kandungan dokumen sulit berkenaan yang membabitkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan Umno dan BN.

Antaranya, katanya yang juga merupakan ADUN Hulu Kelang, ialah isu penyalahgunaan kuasa oleh DatinSeri Rafidah Aziz, pemberian kontrak pembekalan makanan untuk Angkatan Tentera Malaysia selama 15 tahun kepada anggota keluarga TPM, pendedahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Dato' Shafie Yahya, di mahkamah yang membabitkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohammad.

Abdullah dalam kenyataannya Ahad lepas memberi amaran kepada Azmin supaya tidak mendedahkan apa-apa dokumen rahsia kerajaan jika tidak mahu dikenakan tindakan di bawah OSA.

Amaran itu dibuat apabila Naib Presiden KeADILan itu, dalam ceramah beliau di Indera Kayangan, berjanji akan mendedahkan salah satu daripada enam kotak dokumen rahsia kerajaan yang dikatakan disimpan oleh Ketua Pemuda parti tersebut, Ezam Mohd Noor.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin juga menempelak sesetengah pihak yang mendakwa janji beliau untuk mendedahkan dokumen sulit tersebut sebagai gimik politik semata-mata.

"Kalau orang Umno kata dokumen sulit itu gimik politik, dah banyak yang telah kita dedahkan, tapi mereka sengaja buat tak nampak dan berselindung di sebalik kuasa mereka," kata beliau lagi.

"Banyak kes telah kita dedah. Kalau mereka masih tidak melihatnya sebagai pendedahan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, tak tahulah apa lagi nak dikata," tambah beliau.

Semalam, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Taib, dipetik sebagai berkata, telah tiba masanya pemimpin pembangkang menunaikan janji mereka untuk mendedahkan segala maklumat yang dimiliki.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Dato' Seri Shahidan Kasim pula dilaporkan sebagai berkata, KeADILan tidak perlu menangguhkan untuk mendedahkan kandungan kotak rahsia itu jika mereka benar-benar memilikinya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com