UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




SPR perlu siasat peratus undi yang aneh di Indera Kayangan

Oleh B H Ng

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menyiasat sama ada peratusan pengundian di Seberang Bakau yang terlalu "tinggi" dalam pilihan raya kecil Indera Kayangan baru lalu adalah berkaitan dengan fenomena 'pengundi hantu' atau sebaliknya.

Menurut Naib Ketua Pemuda KeADILan, Low Chee Chong, peti undi pertama di Seberang Bakau mencapai peratusan pengundian setinggi 87% dan dipercayai merupakan rekod dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Sementara itu, katanya, peti undi kedua Seberang Bakau pula mencapai peratusan undi setinggi 79.15%, yang jauh mengatasi peratusan undi di peti-peti undi lain yang hanya mencecah angka 68% hingga 70%.

"Keadaan sebegini terlalu aneh, SPR perlu siasat sebetul-betulnya, apakah kejadian itu berkaitan dengan pengundi hantu yang dihantar dengan bas-bas khas ke Indera Kayangan?" kata Low dalam ceramah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sosial dan Ekonomi, Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor, baru-baru ini.

Menurut Low, tinjauan petugas KeADILan di Seberang Bakau pada pukul 3 petang pada hari pengundian mendapati hanya setakat 55% pengundi yang keluar mengundi, justeru perasaan sangsi terhadap angka peratusan yang tinggi itu tidak dapat dielakkan.

Dalam pilihanraya Indera Kayangan yang diadakan pada Sabtu lepas, calon BN-MCA, Oui Ah Lan, 59, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri itu dengan majoriti undi sebanyak 2,592 undi dengan mengalahkan calon KeADILan, Khoo Yang Chong. Beliau mendapat 4,279 undi berbanding Khoo yang memperoleh 1,687 undi.

Menurut Low, pada hari pengundian, petugas BA mengesan sekumpulan orang yang turun dari bas-bas di pinggir Kangar yang kemudian berbasikal masuk ke pusat bandar.

"Walau bagaimanapun, kami tidak dapat pasti sama ada golongan itu telah membuang undi atau tidak," katanya lagi.

Beliau berkata, pendirian tidak berkecuali SPR dalam pilihan raya itu amat diragui berdasarkan hal-keadaan yang berlaku ketika dan selepas proses pengundian dijalankan.

"Sebelum penamaan calon, BN telah memulakan kempen mereka dalam rancangan TV, poster-poster dipaparkan di semua tempat di Kangar, malangnya SPR tidak mengambil sebarang tindakan mahupun mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu," katanya lagi.

"Ini jelas bertentangan dengan peraturan SPR yang tidak membenarkan pihak-pihak yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya memulakan kempen sebelum hari penamaan calon," tambahnya lagi.

Selain itu, Low juga mengecam cara SPR mencatatkan nombor siri daftar pengundi di atas kertas undi kerana amalan itu menafikan semangat bahawa undi itu rahsia.

"Walaupun Ketua Pusat Pengundian berkata bahawa hanya mahkamah sahaja berhak menyemak undi, namun ia tidak dapat mengatasi perasaan takut pengundi bahawa undi mereka boleh diketahui," jelas Low.

Menurut beliau, rasa takut ini semakin terserlah kerana sehari sebelum hari pengundian, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa undi seseorang boleh dikesan melalui nombor siri yang dicatatkan di atas kertas undi.

Selain itu, Low juga berkata, perbelanjaan kempen BN jternyata jauh melebihi had maksimum RM30,000 yang ditetapkan dalam Akta Pilihanraya.

"Jumlah belanja yang tiada had adalah satu tamparan kepada semangat persaingan yang adil," katanya.

Menurutnya, walaupun beliau tidak mempunyai angka tepat, namun jumlah perbelanjaan pilihan raya BN dalam kempen kali ini dianggarkan mencapai angka RM1.14 juta.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, walaupun ramai pihak yang mengatakan kejadian Sept 11 di Amerika Syarikat merupakan unsur yang mengakibatkan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini, tetapi analisis beliau menunjukkan faktor itu bukanlah faktor kritikal yang mempengaruhi kecenderungan pengundi.

"Kami mendapati bahawa pengundi-pengundi tidak berminat terhadap isu tersebut, malah MCA juga tidak banyak menggunakan isu negara Islam ekoran pengumuman Dr. Mahathir bahawa negara ini adalah sebuah 'negara Islam'," kata Low.

Beliau percaya bahawa kemenangan BN kali ini diperolehi berdasarkan kekuatan organisasi dan hubungan peribadi yang terbentuk di kawasan itu selama ini.

"KeADILan belum membentuk organisasi dan asas keahlian yang kuat di situ, maka kita tidak dapat mengatasi jaringan kepentingan yang telah lama dikuasai oleh BN," katanya.

Di samping itu, katanya, kejatuhan jumlah undi orang Melayu yang diperolehi oleh BA adalah mesej yang penting kepada parti itu supaya menguatkan lagi kerja-kerja di peringkat tempatan.

"Tetapi pada masa yang sama, undi yang diperolehi oleh calon KeADILan di kawasan majoriti pengundi Cina telah bertambah dan ini menunjukkan bahawa rakyat berketurunan Cina mula menerima konsep pluralisme parti itu," katanya lagi.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com