KHUTBAH MASJID RUSILA
Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Marilah kita mengetahui kisah-kisah yang telah berlaku, disebut oleh
al-Quran al-Karim supaya menjadi pengajaran khususnya kepada umat Islam
sehingga hari qiamat. Di antara kisah-kisah itu ialah firman Allah Taala
yang bermaksud:
Dan ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya, wahai kaumku, mengapakah kamu
menyakiti aku sedangkan kamu tahu sesungguhnya aku adalah Rasul yang
diutuskan kepada kamu? Apabila mereka berpaling, maka Allah memalingkan
hati-hati mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik. (Surah ash-Shaf ayat 5).
Allah Taala mengutuskan Nabi Musa kepada Bani Israel untuk meminpin mereka
dengan hukum-hukum Allah Taala dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman
Firaun yang memerintah, kuasa besar pada masa itu.
Allah Taala mengutuskan kepada Nabi Musa daripada kalangan Bani Israel
dengan cara yang menakjubkan yang memang diketahui oleh Bani Israel. Ini
kerana Nabi Musa berjaya menembusi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh
Firaun untuk menghalang lahirnya seorang Rasul iaitu Nabi Musa dengan
menyembelih anak-anak lelaki daripada kalangan Bani Israel yang baru
dilahirkan dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup. Firaun tahu
bahawa Nabi tersebut akan menyelamatkan Bani Isrel daripada kekejamannya dan
akan menjatuhkan kerajaan.
Perancangan Firaun tidak berjaya melawan kekuasaan Allah Taala. Tipu daya
Firaun terlalu lemah untuk mengatasi kehendak Allah Taala untuk tetap
melahirkan Nabi Musa daripada ibu dan ayahnya, bahkan menentukan Nabi Musa
dipelihara dan dibesarkan di bawah mahligai dan di istana Firaun sendiri.
Kemudian Nabi Musa hidup di kalangan Bani Israel dengan akhlak yang mulia,
benar, amanah dan gagah berani.
Allah Taala memperlihatkan tanda-tanda kerasulan Nabi Musa kepada Bani
Israel melalui mukjizat seperti tongkat, cahaya yang keluar dari tangan dan
lain-lain lagi. Nabi Musa akhirnya membawa keluar Bani Israel daripada bumi
Mesir dengan mukjizat apabila Laut Merah menjadi lorong-lorong untuk dilalui
oleh Bani Israel dan ianya juga menenggelamkan Firaun dan
tentera-tenteranya.
Seterusnya Nabi Musa memimpin Bani Israel dengan Kitab Taurat yang
dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Musa di Gunung Thur Sina untuk diajar
kepada Bani Israel ketika berada dalam musafir. Kemudian Bani Israel
diperintah supaya berjihad membebaskan bumi Palestin daripada kaum Jabbarin
untuk dijadikan negara yang mendaulatkan syariat Allah Taala. Namun begitu
Bani Israel tidak mahu.....dan tidak bersedia untuk membebaskan bumi
Palestin dengan pengorbanan.
Dari khasiat ini menunjukkan perjuangan para Nabi dan Rasul a.s. yang
diakhiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. mencapai kemuncaknya dengan didirikan
negara yang akan mendaulatkan syariat Allah Taala. Mereka tidak dapat
mengalahkan kezaliman dan menghapuskannya dari bumi ini bahkan umat Islam
akan sentiasa menjadi mangsa kezaliman sekiranya mereka tidak dapat
menegakkan negara Islam.
Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda tidak terus menerus
berada di bumi Makkah dan tidak bersama-sama negara Jahiliyyah Makkah dan
tidak menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang sampingan. Apabila ada
peluang dengan adanya penduduk Madinah yang memeluk Islam dan mereka sanggup
berkorban diri, harta dan sanggup menyerahkan tanahair untuk didirikan
negara Islam maka Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah untuk tujuan
mendirikan negara Islam yang di dalamnya ditegakkan syariat Allah Taala di
dalam diri, keluarga, masyarakat, ekonomi dan bernegara.
Itulah satu-satunya cara untuk menegakkan keadilan Allah Taala bila tidak
ada lagi pemimpin yang menganggap dirinya berkuasa, boleh bertindak sesuka
hati, merasa sombong dan tidak lagi dapat mengadakan peraturan dan
undang-undang mengikut hawa nafsu dan sesuka hati mereka. Bagi mencapai ini
semua mestilah dengan melalui negara Islam yang menegakkan syariat Allah
Taala.
Tidak mungkin umat Islam berjaya menegakkan negara Islam tanpa melalui acuan
yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasulullah s.a.w. dengan melalui
Hizbullah, golongan Allah sebagaimana terkandung di dalam al-Quran yang
bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di kalangan kamu daripada
agama-Nya, nescaya Allah akan melahirkan satu gologan, Allah mengasihi
mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka berjihad pada jalan Allah dan
tidak takut celaan orang-orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang
diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki, dan Allah Maha luas kurniaannya
lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Maidah ayat 54).
Ini bermakna wajib ada puak yang mempunyai cita-cita Islam dan berjalan di
atas dasar dan acuan Allah Taala dan RasulNya sebagaimana Sabda Nabi s.a.w.
yang bermaksud:
Akan tetap ada di kalangan umatku satu golongan yang tetap menegakkan
kebenaran, mereka tidak dapat dihalang oleh sesiapa yang menentang mereka
sehingga datang ketentuan Allah Taala.
Di dalam Hadis lain, sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:
Hendaklah kamu bersama-sama kumpulan Islam dan pemimpin mereka.
Apabila ada para sahabat bertanya, jika tidak ada jamaah Islam dan pemimpin
mereka, jawab Rasulullah s.a.w:
Kamu hendaklah memisahkan diri kamu daripada puak-puak itu semua walaupun
terpaksa kamu memamah akar-akar kayu, sehingga kamu mati dan kamu tetap
berada di dalam keadaan tersebut.
Hendaklah ada satu golongan umat Islam, Hizbullah yang bangun memperjuangkan
Islam. Tidak mungkin seorang itu bangun memperjuangkan Islam secara seorang
diri dan berjaya di dalam perjuangannya. Dan tidak mungkin seorang itu
berjuang Islam tetapi melalui kumpulan yang menentang Islam. Jika ada pun
yang sedemikian itu hanya akan merosakkan peribadinya dan menjahanamkan
dirinya sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang yamg beriman, jadilah kamu penolong-penolong agama Allah,
sebagaimana berkata Isa bin Maryam kepada hawariyyun (pengikut setianya)
siapakah yang akan menolong aku menegakkan agama Allah? Berkata hawariyyun
"Kami adalah penolong-penolong agama Allah". Maka sebahagian daripada Bani
Israel beriman dan sebahagian yang lain kufur. Maka kami membantu
orang-orang yang beriman menghadapi musuh-musuh mereka. Maka jadilah mereka
golongan yang mencapai kemenangan. (Surah ash-Shaf ayat 14).