UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Syarat mencapai kemenangan

DARI MASJID RUSILA
Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

KETIKA umat Islam memperingati peristiwa Israk dan Mi'raj, satu peristiwa bersejarah kepada umat Islam di mana Rasulullah s.a.w. menjadi tetamu Allah SWT untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah, marilah kita mengetahui pengajaran-pengajaran yang boleh dijadikan teladan daripada peristiwa yang besar ini. Di dalam menceritakan peristiwa ini Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) daripada al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan Kami (Allah), sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat. (Surah al-Isra ayat 1),

Janganlah kita hanya sekadar mendengar jalan cerita Israk dan Mi'raj semasa memperingati peristiwa ini tetapi wajib ke atas setiap orang beriman mengambil pengajaran daripada apa yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah s.a.w. Apa yang ditunjukkan oleh Allah SWT semasa peristiwa Israk dan Mi'raj ini bukan hanya untuk diri Rasulullah s.a.w. sahaja tetapi wajib diceritakan kepada umatnya dan menjadi pengajaran hingga hari kiamat.

Israk dan Mi'raj satu peristiwa yang menunjukkan betapa besarnya makna Islam yang dibawa oleh Rasullulah s.a.w. Islam adalah agama Allah SWT yang wajib dilaksanakan oleh manusia di atas muka bumi sebagai menandakan ketundukan kepada Allah sebagaimana dilakukan oleh seluruh makhluk di alam ini, di mana semua mereka tunduk kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w., walaupun pada mulanya dianggap kecil, adalah satu perjuangan besar yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul a.s. sehingga Rasulullah s.a.w. yang berakhir dengan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:

Dan Kami mahu mengurniakan (kemenangan) kepada orang-orang yang ditindas di muka bumi, dan menjadikan mereka sebagai pemimpin-pemimpin dan menjadikan mereka orang yang mewarisi (pemerintahan di atas muka bumi ini).
(Surah al-Qashash ayat 5).

Kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT ini hendaklah dengan syarat-syarat yang mesti diikuti dengan bersifat keimanan yang mendalam kepada Allah SWT dan bertaqwa kepadaNya. Sekiranya umat Islam mengikut syarat-syarat itu maka Allah pasti akan memberi kemenangan kepada mereka dan membinasakan penentang-penentang Islam.

Semasa perjalanan Israk dan Mi'raj, Rasulullah s.a.w. diganggu dari kiri dan kanan baginda yang berupa seruan-seruan Yahudi, Nasrani dan seruan dunia, yang semuanya mengajar kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. supaya berwaspada dan beristiqomah berada di atas jalan Islam dan jangan sekali-kali terpesong ke kiri dan ke kanan.

Kita juga sering meminta supaya Allah SWT menetapkan kita di atas jalan yang lurus, jalan yang dilalui oleh para Nabi dan Rasul a.s. dan juga orang-orang yang mendapat hidayah dan rahmat daripada Allah SWT di dalam setiap rakaat sembahyang sama ada sembahyang-sembahyang yang wajib ataupun juga yang sunat dengan berdoa: Tunjukkan kepada kami jalan yang lurus.

Selagi kita berada di jalan yang lurus iaitu jalan Islam maka selagi itulah kita dipelihara oleh Allah SWT bermula di dunia hinggalah ke akhirat.

Sangat besar ertinya apabila Allah SWT menjemput Rasulullah s.a.w. pada malam Israk dan Mi'raj ketika baginda berada di dalam keadaan sedih dengan wafatnya dua orang yang sentiasa memberi pertolongan kepada baginda iaitu Saidatina Khadijah r.a. yang mengorbankan seluruh hidupnya kepada Islam, dan juga Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. yang walaupun tidak beriman tetapi disegani oleh musyrikin Quraisy sehingga mereka malu untuk melakukan kejahatan terhadap Rasulullah s.a.w. semasa beliau masih hidup.

Dengan kewafatan kedua-dua orang yang selalu membantu Rasulullah s.a.w., maka orang-orang musyrikin Quraisy mendapati peluang yang terbentang luas di hadapan mereka untuk melakukan apa sahaja bentuk kezaliman dan penentangan kepada Rasulullah s.a.w. dan umat Islam.

Untuk mententeramkan dan memberi semangat baru kepada Rasulullah s.a.w., Allah SWT memperjalankan baginda untuk memperlihatkan kerajaanNya yang luas dan memperlihatkan kepada baginda bala tentera yang dimiliki oleh Allah SWT terdiri daripada malaikat yang gagah perkasa, sehingga Rasulullah s.a.w. kembali ke Makkah pada waktu paginya di dalam keadaan tenang dan penuh keyakinan terhadap Allah SWT dan janjiNya untuk memberi kemenangan kepada Islam dan lebih menyedari bahawa segala usaha musuh-musuh Islam akan sia-sia.

Ditunjukkan dan dipertemukan kepada baginda pada Rasul a.s. yang telah melakukan tugas perjuangan Islam dengan gigih dan ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Di antara mereka ada yang mempunyai pengikut yang ramai, ada yang sedikit sahaja dan ada yang hanya berseorangan diri tidak mempunyai pengikut. Namun mereka tetap melaksanakan kerja-kerja Islam kerana menunaikan perintah Allah SWT.

Itulah semangat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. dan juga memberi semangat kepada umat Islam supaya tetap beristiqomah di atas jalan perjuangan Islam untuk menghadapi segala cabaran tanpa mempedulikan seruan-seruan yang cuba memesongkan perjalanan untuk menuju kepada keredhaan Allah SWT.

Itulah sikap yang perlu diikuti dan itulah pengajaran yang sangat penting daripada peristiwa Israk Mi'raj.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu dapat masuk ke syurga sedangkan belum kamu mengalami sebagaimana yang dialami oleh orang-orang (yang beriman) sebelum daripada kamu. Mereka ditimpa oleh kesusahan kekurangan harta benda dan kesusahan peperangan dan digoncang (diuji) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersama-samanya "Bila lagi pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah adalah dekat.
(Surah al-Baqarah ayat 214)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 13 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com