UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Tunggulah kiamat apabila amanah dikhianati

Saudara-saudara muslimin,

Marilah kita mendengar dan memahami soalan daripada Allah S.W.T. yang ditujukan kepada kita supaya kita masing-masing menjawabnya dengan iman dan amalan.

Firman Allah S.W.T. dari surah al-Mu’minun ayat 115 yang bermaksud: "Adakah kamu mengira bahawa kami menjadikan kamu begitu sahaja, dan kamu tidak dikembalikan kepada kami?"

Itulah soalan daripada Allah S.W.T. kepada seluruh manusia di atas muka bumi ini, sama ada orang-orang Islam atau orang-orang yang bukan Islam, sama ada orang-orang yang tahu atau orang-orang yang jahil, sama ada orang-orang yang ada pelajaran, termasuklah orang-orang jahil yang tinggal di hutan belantara. Semuanya mengaku bahawa adanya Tuhan yang menjadikan alam ini.

Benarlah firman Allah dari Surah az-Zumar ayat 38 yang bermaksud, "Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab, Allah." Jawapan ini diberi oleh semua manusia, termasuklah mereka yang lalai dan leka serta mereka yang berani bercakap seolah-olah Tuhan itu tidak ada. Apabila dalam keadaan terdesak, dia akan kembali kepada Tuhan.

Apabila seseorang itu berada di tengah laut di malam yang gelap gelita, didatangi oleh ribut dan dilanda oleh gelombang yang besar, hampirlah kapal, perahu atau botnya akan karam, tidak ada pelampung yang ada padanya, dalam keadaan yang terdesak, di masa itulah dia percaya bahawa Tuhan itu ada.

Mereka yang naik kapal terbang di atas udara, apabila enjin kapal terbang itu mati, menyebabkan ia terumbang-ambing di atas udara, di masa itu semua penumpang yang ada di dalamnya meminta pertolongan daripada Tuhan, termasuklah orang-orang kafir dan mereka yang berani bercakap seolah-olah Tuhan itu tidak ada. Semua manusia mengikut sifat semulajadinya atau mengikut fitrahnya, percaya bahawa Tuhan itu ada dan percaya bahawa dirinya dijadikan oleh Allah S.W.T. Ibu bapanya hanyalah menjadi sebab sahaja.

Yang menjadikannya ialah Allah S.W.T. Tubuh badannya, segala anggotanya, nyawanya, jantungnya yang mengalir darah ke seluruh badan, segala pancaindera, dia boleh melihat dengan mata, boleh mendengar dengan telinga, boleh bercakap dengan lidah dan mulut, boleh berfikir dengan akal fikiran yang diberi oleh Allah, boleh berjalan dengan kaki, boleh bekerja dengan tangan dan anggota yang lain yang menolongnya adalah diberi oleh Allah S.W.T. Oleh kerana itu kita hendaklah sedar bahawa kurnia Allah kepada kita terlalu banyak.

Firman Allah dari Surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud, "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menghitungnya." Rezeki yang kamu makan dan minum adalah pemberian daripada Allah S.W.T. Tidak ada manusia walau bagaimana pandai sekalipun boleh membuat sebiji padi atau sebiji gandum, boleh mengadakan dengan sendiri seekor ikan untuk dimakan. Semua makhluk yang menjadi rezeki kita dijadikan oleh Allah, diberi dan dikurniakan oleh Allah S.W.T. Pakaian yang kita pakai, segala-galanya adalah pemberian daripada Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa kehidupan kita di atas dunia ini tidak selama-lamanya, tiap-tiap orang akan dimatikan oleh Allah, tiap-tiap umat dan bangsa yang ada di atas dunia ini ditetapkan ajal oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dari surah Al-A’raf ayat 34 yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajal (yang ditetapkan oleh Allah), maka apabila datang ajalnya, mereka tidak dapat menyegerakan dan tidak dapat melambatkan." Apakah yang berlaku setelah kita dikembalikan kepada Allah atau dipanggil balik oleh Allah S.W.T.? Kita akan ditanya dan disoal, bagaimana kita menghabiskan umur kita, dari mana kita mengambil rezeki kita, ke mana kita membelanjakan rezeki yang diberi oleh Allah, makanan yang kita makan, air yang kita minum, pakaian yang kita pakai, tutur kata yang kita cakap, kerja yang kita buat, semuanya dikira di hadapan Allah S.W.T. dan akan dibawa saksi.

Oleh kerana itu kita hendaklah berhati-hati, dalam hidup ini kita mestilah mengikut perintah Allah atau perintah agama. Allah menjanjikan pahala sekurang-kurangnya 10 kali ganda kalau kita berbuat baik, dan ada yang digandakan sehingga 700 kali ganda, dan ada yang disimpan di sisi Allah S.W.T. tidak diketahui berapa kali ganda seperti di antaranya ialah puasa.

Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya (puasa) itu terserah bagiKu dan Akulah yang memberi balasan."

Termasuklah apa yang kita berikan kepada isteri kita daripada makanan dan pakaian, begitu juga kepada anak-anak kita. Semuanya akan diberi ganjaran dan dikira oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. mengira semuanya bukan bagi faedah kepada-Nya, kerana Allah S.W.T. tidak mengambil apa-apa faedah. Sesungguhnya Dia Maha Kaya dan tidak berhajat kepada faedah yang diberi oleh hamba-Nya. Faedah itu akan dapat kepada hamba-Nya yang diberi oleh Allah S.W.T.

Alangkah murahnya Allah S.W.T. dia menjadikan kita, mengurniakan rezeki kepada kita, roh dan jasad, memberi segala-galanya, dibalasnya kita dengan balasan yang berlipat kali ganda. Tidak banyak perintah-perintah Allah, ia terlalu sedikit dan tidak memberatkan. Sembahyang lima waktu yang diwajibkan, apabila dicampur semuanya tidaklah sangat panjang dan memakan masa yang lama. Berpuasa yang diwajibkan hanya sebulan dalam setahun. Makanan yang halal adalah makanan yang baik bagi diri kita, makanan yang haram adalah makanan yang merosakkan diri kita. Semua yang diwajibkan dan dihalalkan adalah baik, manakala semua yang diharamkan mendatangkan mudharat.

Tetapi sungguh jahat manusia ini. Ada di kalangan mereka yang melawan Allah dan derhaka kepadanya serta tidak menunaikan perintah Allah dan tidak menyempurnakan amanah yang diberi kepadaNya oleh Allah S.W.T. Diri kita adalah amanah daripada Allah, kaum keluarga kita adalah amanah daripada Allah, bumi yang kita pijak - negeri dan tanah air ini, adalah amanah Allah.

Bagaimana kita menunaikan amanah itu? Ialah dengan kita mengikut arahan-arahan dan perintah-perintah yang diberi oleh Allah. Jangan kita melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Kita hendaklah faham bahawa rosaknya manusia apabila melawan Allah S.W.T. Apabila ia memakan makanan yang haram dan meminum yang memabukkan jasadnya akan mendatangkan penyakit. Apabila ia melakukan maksiat di atas muka bumi, akan berlakulah kemusnahan dan kerosakan yang merosakkan dan memusnahkan diri mereka sendiri.

Apabila tidak mengikut hukum Allah S.W.T. tidak menjalankan hukum qisos dan hudud yang diwajibkan oleh Allah, maka banyaklah jenayah, banyaklah berlaku keruntuhan akhlak dan bermacam-macam perkara.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. ketika Rasulullah S.A.W. menyampaikan khutbah, tiba-tiba masuk seorang badwi dari padang pasir yang jauh, terus bertanya kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, bilakah berlakunya kiamat?" Rasulullah S.A.W. tidak menjawab soalannya. Para sahabat yang ada di dalam masjid berfikir mungkin Rasulullah S.A.W. sudah marah kerana dia bertanya ketika khutbah disampaikan. Dan ada pula sahabat yang berfikir mungkin Rasulullah S.A.W. terlalu khusyuk menyampaikan khutbah, maka tidak melayan soalan yang dikemukakan. Dan sahabat lain pula berfikir mungkin Rasulullah S.A.W. akan menjawab soalannya sebentar lagi. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W. bertanya: "Mana dia orang yang bertanya tadi?" Lalu orang itu menjawab: "Ini dia saya wahai Rasulullah." Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Apabila dipersia-siakan amanah."

Dunia akan kiamat dan dihancurkan oleh Allah, menjadi punah ranah apabila amanah dikhianati, dipersia-siakan dan dipermain-mainkan. Lalu Badwi itu bertanya: "Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah S.A.W.: "Apabila diserahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya (berlaku kiamat)."

Begitulah apabila kita mengkhianati amanah, menyalahgunakan umur, kesihatan, harta, pangkat dan segala perkara yang diberikan oleh Allah S.W.T., dengan tidak mengikut perintah Allah S.W.T. Ingat bahawa semuanya akan dikira oleh Allah S.W.T. Tiap-tiap orang dimatikan, tidak ada orang yang boleh menyelamatkan dirinya daripada mati. Mereka akan dibangkitkan semula dan dibicarakan di hadapan Allah S.W.T.

Oleh kerana itu kita hendaklah mengambil peluang dari setiap ruang yang diberikan kepada kita bagi menunaikan perintah Allah S.W.T. untuk mendapat keredhaan dan kurnia daripadanya yang tidak terhingga. Jangan kita melawan Allah, kerana kalau kita melawannya kita yang menderita dan merana. Disebut dalam hadith kudsi, Allah S.W.T. berfirman sebagaimana yang diriwayatkan dari Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Wahai hamba-hambaku, sekiranya manusia kamu yang awal dan akhir, jin kamu yang awal dan akhir berhimpun semua untuk taat kepadaku, aku beri semuanya, nescaya tidak akan kurang sedikitpun apa yang ada pada sisiku. Sekiranya semua manusia yang awal, manusia yang akhir, jin yang awal dan jin yang akhir berada di suatu tempat, semuanya melawan aku, tidak akan mengurangkan kerajaan aku sedikitpun.

"Sekiranya seluruh kamu, manusia kamu, jin kamu semuanya yang awal dan yang akhir meminta daripadaku, aku berikan kepada kamu, tidak akan mengurangkan apa yang ada padaku walaupun sedikit laksana dicelup jarum dalam lautan yang luas." Itulah kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T. Marilah kita sedar dan kita faham sungguh-sungguh.

Firman Allah dari surah Al-Asr yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal soleh, serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com