UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Perpaduan tidak boleh dipaksa

Oleh : Lee Ban Chen

Pencabulan hak perhimpunan rakyat secara damai kian menjadi-jadi. Bukan saja ceramah politik pembangkang sering dilarang, sekarang mesyuarat pendidikan juga diganggu.

Kes terbaru ialah polis yang diketuai oleh ketua polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur telah masuk ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor untuk melarang lebih kurang 300 peserta daripada memasuki dewan untuk menyertai suatu mesyuarat pendidikan yang dianjurkan oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau lebih dikenali sebagai Dong Zong.

Ketegangan yang timbul akibat tindakan polis yang tidak munasabah ini adalah sangat-sangat dikesali, kerana:

(i) Perhimpunan pendidikan tersebut diadakan dalam Dewan Perhimpunan Cina di mana pejabat Dong Zong berada;

(ii) Ratusan malah ribuan mesyuarat/perhimpunan Dong Zong telah diadakan dalam Dewan Perhimpunan Cina tanpa sebarang permit dalam puluhan tahun kebelakangan ini;

(iii) Dong Zong adalah sebuah NGO pendidikan yang bertanggungjawab dan terkenal dalam memperjuangkan pendidikan bahasa ibunda sebagai hak asasi manusia melalui saluran demokrasi secara lobi.

Penyelesaian mudah

Mengikut Dr Yap Sin Tian, timbalan pengerusi Dong Zong, dua agenda utama perhimpunan tersebut ialah taklimat mengenai pengaruh pembinaan Sekolah Wawasan di Subang Jaya, Selangor, serta keadaan pembangunan SJK(C) Chee Wen, juga di Subang Jaya.

Bangunan baru Chee Wen memakan belanja RM1.5 juta jumlahnya, mengikut dasar “satu ringgit untuk satu ringgit” bagi pembinaan bangunan sekolah bantuan modal. Kerajaan harus menanggung beban RM750,000 bukan RM500,000 saja seperti yang diperuntukkan.

Pihak sekolah dan masyarakat Subang Jaya tidak puas hati dengan peruntukan yang tidak adil itu, dan tidak mahu ia dijadikan suatu precedent yang tidak diingini.

Jika penyelewengan dari dasar “satu ringgit untuk satu ringgit” tersebut bukan merupakan perubahan dasar kerajaan, penyelesaiannya mudah saja: peruntukan RM250,000 lagi untuk mencukupi kuota yang harus ditanggung oleh kerajaan.

Pembinaan Sekolah Wawasan Subang Jaya/USJ jika tidak ditangani dengan cermat, ia mungkin mencetuskan bantahan besar-besaran daripada komuniti Subang Jaya / USJ khasnya dan masyarakat bukan-Melayu amnya, kerana Sekolah Wawasan memang merupakan suatu isu yang agak sensitif.

Dasar hegemoni

Oleh kerana dari mula-mula lagi, buku panduan Sekolah Wawasan telah secara terang-terang menyatakan tujuan konsep Sekolah Wawasan ialah untuk melaksanakan “matlamat muktamat” (ultimate objective) dasar pendidikan negara yang ingin menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua aliran sekolah.

Dengan perkataan lain, meletakkan dua atau tiga aliran sekolah dalam satu kampus hanya merupakan langkah pertama untuk mempupuskan sekolah rendah aliran bahasa Cina [SJK(C)] dan sekolah rendah aliran bahasa Tamil [SJK(T)] secara berperingkat-peringkat, sungguhpun kerajaan menafinya sekarang.

Menggunakan “perpaduan nasional” sebagai dalih untuk menindas malah memupuskan bahasa, pendidikan dan kebudayaan kaum minoriti di negara kita sebaliknya akan menghancurkan perpaduan nasional.

Memang keterlaluan dan tidak dapat diterima oleh mana-mana kaum minoriti di mana-mana negara sekalipun, andainya kaum majoriti yang memerintah melaksanakan dasar hegemoni bahasa, pendidikan dan kebudayaan untuk mengasimilasi dan memupuskan bahasa, pendidikan dan kebudayaan kaum-kaum minoriti.

Padahal keikhlasan dan kepercayaan kementerian pendidikan tentang perpaduan nasional melalui pergaulan pelajar pelbagai kaum dalam kampus yang sama juga boleh dipertikaikan memandangkan kontroversi perpisahan pelajar berasaskan kaum yang berlaku secara meluas di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan walaupun mereka telah belajar di bawah satu bumbung.

Prinsip muafakat

‘Teori Campur-gaul’ (the Contact Theory) pada hakikatnya bukan dapat menjaminkan perpaduan. Kenyataan hakikat di kampus negara kita malah membuktikan kegagalan teori tersebut, sehingga ada cadangan supaya siswa berlainan kaum berkongsi bilik untuk memperbaiki hubungan kaum.

Dalam masyarakat majmuk seumpama negara kita, prinsip hormat-menghormati dan muafakat hendaklah diamalkan oleh semua pihak yang terbabit.

Semua manusia yang rasional dan bersemangat demokrasi tentu tidak percaya akan “perpaduan paksaan”.

Jangan paksakan Sekolah Wawasan keatas masyarakat bukan-Melayu jika mereka masih meragui tujuan konsep tersebut. Melaksanakan Sekolah Wawasan secara paksaan, walau bagaimana kecil sekalipun bilangannya, akan menjejaskan keikhlasan kerajaan. Ia juga akan mungkin mencetus bantahan masyarakat bukan-Melayu secara besar-besaran,dan dengan itu menjejas pula perpaduan nasional - ini tentu bukan tujuan melaksanakan Sekolah Wawasan, bukan?

..............................
Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com