UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kerana prinsip DAP turut menjadi mangsa

Oleh : Lunasian

Tulisan ini adalah sebagai maklumbalas terhadap tulisan Waja 2004 yang bertajuk Sedarlah DAP dan balik ke pangkal jalan pada 17 Jan.

Secara amnya, tulisan tersebut menggambarkan sikap tidak bertolak-ansur DAP dan juga kesilapan DAP apabila bertindak keluar daripada pakatan Barisan Alternatif.

Hujah Waja 2004 adalah berat sebelah dan tidak berdasarkan fakta dan hakikat sebenar terutamanya ketika berbicara tentang hubungan antara PAS dengan DAP, isu negara Islam dan seterusnya tindakan DAP keluar daripada BA.

Pertama, barisan kepimpinan DAP bukanlah terdiri daripada mereka yang degil, tetapi berprinsip dan sanggup berjuang dengan seribu satu kepayahan. Suatu ketika dahulu, DAP mungkin mempunyai pemimpin degil, namun mereka sudah meninggalkan DAP sebaliknya telah menyelinap ke dalam Keadilan.

Kedua, soal bahawa DAP memaksa PAS mengubah dasarnya daripada untuk membentuk negara Islam adalah tidak benar sama sekali, malah ia terjumlah kepada fitnah kepada pemimpin DAP. Jika diteliti kenyataan DAP selama ini, DAP tidak pernah memaksa PAS mengubah dasar negara Islamnya; ini adalah hak mutlak PAS!

Begitu juga tiada sesiapapun layak memaksa DAP meninggalkan dasarnya. Apa yang menjadi persoalan dan perkara pokok kepada percanggahan pendapat antara PAS dengan DAP adalah kelantangan PAS untuk membentuk negara Islam yang tidak terkandung langsung dalam Manifesto Bersama BA.

DAP dikira telah mengambil kira hakikat sebenar apabila tidak menyetujui konsep negara Islam PAS, kerana dasar pembentukan negara Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan Islam menjadi agama persekutuan menurut Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan penghakiman telah menyerlahkan lagi hakikat ini.

Walaupun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan pengisytiharan yang sebaliknya, tetapi hakikat bahawa formasi dan kontrak sosial pada ketika kemerdekaan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun.

Kita pernah mengakui hakikat bahawa walaupun umat Islam merupakan majoriti di negara kita, namun lebih 40 peratus rakyat kita adalah bukan beragama Islam. Mereka juga berhak dan wajar menikmati apa yang dinikmati oleh umat Islam!

Penentangan DAP terhadap negara Islam haruslah dibezakan dengan penentangan terhadap Islam. DAP telah mengakui bahawa Islam adalah agama persekutuan. DAP bukan sahaja menentang negara Islam, malah turut menentang pembentukan negara Buddha, Kristian atau Hindu di bumi Malaysia.

Jika PAS berpegang kepada persefahaman umum BA pada 1999, tentunya DAP tidak akan keluar daripada pakatan BA. Persefahaman umum tersebut langsung tidak menyebut tentang negara Islam ataupun konsep 'Malaysian Malaysia' yang menjadi pegangan DAP.

Manifesto BA adalah untuk semua rakyat Malaysia yang dahagakan demokrasi dan keadilan. Sebenarnya, PAS yang sepatutnya kembali ke pangkal jalan dengan tidak lagi bertegas mahu membentuk negara Islam. Selepas itu percayalah bahawa DAP akan menyertai semula BA.

DAP haruslah dibezakan dengan MCA, MIC ataupun Gerakan yang suka menjadi talam dua muka! DAP menentang konsep negara Islam bukan kerana ia dianjurkan oleh PAS, malah negara Islam ala-Umno turut ditentang!

Namun, MCA, MIC dan Gerakan yang begitu giat menggunakan isu negara Islam untuk menghentam DAP ketika pilihanraya 1999, kini sudah terperangkap dan menyetujui negara Islam ala-Umno. Itu bezanya antara perjuangan yang tulen dengn perjuangan yang berkepentingan diri.

Memanglah dikesali tindakan DAP keluar dari BA, namun DAP sebenarnya turut menjadi mangsa dalam hal ini. PAS perlulah memikirkan semula akan ketegasannya mahu membentuk negara Islam di Malaysia.

PAS dan DAP masih perlu bekerjasama untuk berdepan dengan BN dalam pilihanraya umum akan datang.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com