UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Dari 911 ke 119

Oleh : Lee Ban Chen

911 dan 119 - dua angka yang mempunyai seribu satu makna ini akan terus disebut oleh orang politik dan penganalisa hal-ehwal semasa, sehinggalah pilihanraya umum akan datang.

Angka 911 merujuk kepada peristiwa serangan maut 11 Sep di Amerika Syarikat, manakala 119 pula merujuk kepada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan di Perlis, yang diadakan pada 19 Januari lalu. Ia dianggap dua peristiwa berasingan yang berkaitan rapat.

Sudah diakui umum bahawa peristiwa 911 bukan saja mengubah senario politik dunia, tetapi ia juga mempengaruhi perkembangan politik negara kita. Malah tidak sedikit penganalisa politik menganggap 911 sebagai factor utama kemenangan BN di Indera Kayangan.

BN menang dengan majoriti 2,592 undi, bertambah 618 undi daripada pilihanraya umum 1999. Calon MCA, Oui Ah Lan memperolehi 4,279 undi manakala calon Keadilan memperolehi 1,687 undi.

Walaupun pertandingan itu membabitkan calon MCA dan Keadilan, tetapi penganalisa politik berpendapat isu sebenarnya dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan ialah mengenai negara Islam ala Taliban anjuran PAS berlawan dengan negara Islam sederhana anjuran Umno.

Tetapi menganggap Keadilan sebagai proksi PAS dalam pilihanraya kecil berkenaan, samalah dengan menuduh parti itu telah diperalatkan oleh PAS, padahal Keadilan tidak bersetuju PAS mengemukakan konsep Negara Islamnya dalam konteks BA.

Maka jelaslah, ianya tidak berasas sama sekali untuk menganggap Keadilan sebagai proksi PAS di Indera Kayangan, dalam memperjuangkan Negara Islam ala Taliban.

Isu Negara Islam

Bagi MCA pula, sungguhpun parti itu tidak berani hendak menentang Negara Islam acuan Dr Mahathir Mohamad, ia juga tidak begitu jahil sehingga menjadikan isu tersebut sebagai isu utama dalam kempen pilihanraya kecil kali ini.

Ini kerana telah diketahui umum bahawa MCA, yang selama ini berlagak sebagai wira anti-Negara Islam, telahpun bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa Malaysia merupakan sebuah Negara Islam!

Kempen PAS yang tidak begitu menonjol di Indera Kayangan juga menyebabkan media arus perdana menuduh (ini telah dinafikan PAS) parti komponen BA itu tidak bersungguh-sungguh membantu Keadilan. Apa yang nyata, PAS nampaknya lebih berhati-hati kali ini supaya isu sensitif, seperti Negara Islam, tidak ditimbulkan dan digunapakai untuk menakutkan pengundi Cina.

Dalam keadaan sedemikian, tentulah tidak adil jika pertandingan di antara calon Keadilan dan MCA dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan dipandang sebagai perlawanan proksi antara Negara Islam ala-Taliban PAS dengan Negara Islam acuan Dr Mahathir. Ini kerana mereka yang "turun ke padang" telah membayangkan bahawa isu Negara Islam jarang ditimbulkan oleh kedua-dua pihak.

Walaupun isu Negara Islam merupakan satu isu penting yang perlu ditangani BA dan BN pada masa yang akan datang, tetapi tentulah tidak logik jika ada mana-mana pihak yang menyifatkan kekalahan calon Keadilan kali ini sebagai penolakan pengundi terhadap Negara Islam ala-Taliban PAS, atau mereka telah menerima Negara Islam acuan Dr Mahathir.

Undi Melayu susut

Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh BA di kalangan orang Melayu telah susut. Umpamanya di Seberang Bakau, di mana 96.63 peratus pengundinya adalah Melayu, undi Keadilan telah merosot daripada 487 pada tahun1999 kepada 363 undi dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan yang lalu.

Manakala 700 pengundi pos bagi Indera Kayangan kali ini memilih BN dan hanya 22 orang mengundi Keadilan, berbanding dengan 115 pada pilihanraya umum 1999.

Jumlah undi yang diperolehi Keadilan kali ini ialah 1,687, atau 28 peratus daripada jumlah keseluruhan undi, berbanding 1,851, atau 33 peratus pada tahun 1999. Ini bermakna jumlah undi yang diperolehi Keadilan kali ini susut 5 peratus.

Undi Melayu pula susut hampir 20 peratus, tetapi jumlah undi semua kaum hanya susut 5 peratus. Ini bermakna undi Cina dan India telah tambah. Rasanya munasabah juga jika undi Cina dan India dianggarkan telah bertambah lebih kurang 15 peratus.

Kritikan Kit Siang mengenai kelemahan Keadilan dalam memberi angka yang berbeza-beza dan tidak munasabah adalah objektif. Tetapi nampaknya beliau juga keberatan untuk menerima hakikat bahawa undi Cina yang diperolehi Keadilan telah tambah.

Ini mudah difahami, kerana beliau beranggapan bahawa secara lojiknya, undi bukan Melayu yang diperolehi Keadilan akan merosot lebih teruk, berbanding undi Melayu berikutan peristiwa 911 dan isu Negara Islam.

Kit Siang beranggapan pengundi bukan Melayu lebih takut atau lebih mudah ditakuti oleh propaganda BN mengenai isu Negara Islam dan keganasan militan Islam.

Diiring FRU

Tidak dapat dinafikan bahawa selepas peristiwa 911, imej PAS telah terjejas akibat pendiriannya yang pro-Taliban dan penarikan diri DAP daripada pakatan BA atas isu Negara Islam. Tambahan pula, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat ke atas ahli-ahli Al-Maunah baru-baru ini, media arus utama telah memainkan isu itu secara besar-besaran.

Media arus perdana juga turut memperbesarkan isu pendirian PAS yang menganggap kejadian Sauk sebagai sebuah sandiwara dan mendesak parti itu meminta maaf kepada kerajaan. PAS enggan berbuat demikian atas alasan politik, dan kerana itu parti itu telah digambarkan sebagai manusia yang bersalah tetapi tidak pernah meminta maaf.

Organisasi yang lebih lengkap dan tenaga manusia yang mencukupi juga, merupakan suatu kelebihan BN. Mengikut laporan akhbar, pada setiap masa, sekurang-kurangnya 300 ahli Puteri Umno berkempen di Indera Kayangan , termasuk 100 ahlinya yang tinggal bersama "keluarga angkat" mereka.

Mengikut Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim, pemuda juga telah memberi sumbangan besar dari segi keselamatan, gerak-gempur, menampal poster dan lain-lain.

Bagaimanapula dengan isu pengintipan pelajar, kerosakan kenderaan dan kecederaan pekerja BA seperti yang dilaporkan? Cuba bayangkan bagaimanakah suasana ketegangannya, sehingga sepasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diarah untuk mengiringi calon Keadilan itu dan presiden Keadilan Dr Wan Azizah semasa berkempen dua hari sebelum hari mengundi?

Selain peristiwa 911 dan isu Negara Islam, bukankah kejadian-kejadian tersebut juga memerlukan perhatian?

.............................
Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com