UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Respon terhadap kenyataan Menteri Besar Johor

Kenyataan Media

RESPON TERHADAP KENYATAAN MENTERI BESAR JOHOR TERHADAP TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK ISLAM (TASKI)

PASTI Negeri Johor ingin membuat maklumbalas terhadap berita yang telah disiarkan di dalam akhbar harian pada hari ini mengenai kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Bin Othman mengenai tindakan kerajaan negeri Johor mewujudkan Taman Asuhan Islam Johor (TAJ) iaitu bagi membendong kegiatan yang berlaku di Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) yang dikesan mempengaruhi pemikiran kanak- kanak dengan menyemai semangat membenci pemimpin dan kerajaan. Kenyataan ini dibuat semasa majlis perjumpaan Hari Raya anjuran UMNO Bahagian Ledang, Zon Kesang.

Di dalam kenyataan tersebut beliau juga menyebut bahawa TASKI ditubuhkan oleh golongan pelampau dan kalangan berfahaman sempit dalam bidang agama bertujuan menghasut kanak-kanak supaya jangan menghormati pemimpin dan mereka yang berjasa membangunkan negara ini. Sedangkan menurut beliau TAJ menyemai semangat cintakan negara kepada anak-anak.

PASTI Negeri Johor mengalu-alukan segala usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri Johor termasuklah mewujudkan lagi 200 buah TAJ diseluruh negeri Johor disamping memastikan anak-anak yang berumur di antara lima hingga enam tahun dapat mengikuti pendidikan asas agama Islam.

PASTI sendiri ditubuhkan khususnya di negeri Johor ini dengan matlamat yang hampir serupa iaitu :

i. menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.,

ii. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.,

iii. Memberi galakkan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fikrah kelahiran manusia dan memperhamba dan mengabdikan diri hanya kepada Allah dan kehidupannya bermatlamatkan keredhaan Allah dan

iv. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian merintis kearah pendidikan asas penguasaan bahasa terutamanya bahasa Al-Quran

Kerana matlamat inilah maka PASTI Negeri Johor dengan inisiatif serta penuh tanggung jawab telah hampir lima belas tahun dahulu mewujudkan PASTI diseluruh Johor. Bervisikan "Membentuk Insan Soleh di Malaysia melalui Pendidikan Pra Sekolah Sebagai Elemen Terpenting" maka PASTI Negeri Johor terus melangkah dan akhirnya sejumlah lebih daripada seratus buah PASTI telah berjaya dibina diseluruh daerah di negeri ini.

Walaupun PASTI ini telah ditubuh, dikendali dan diselia oleh PAS khususnya Dewan Pemuda PAS tetapi masyarakat masih lagi memberi kepercayaan kepada PASTI setelah melihat kepada keberkesanan dan kesyumulan pendidikan pra sekolah Islam yang diamalkan oleh PASTI. Anak-anak yang lahir daripada acuan PASTI memperlihatkan kecekapan menghafaz ayat-ayat lazim, mengamalkan doa di dalam setiap perbuatan seperti makan, minum dan tidur serta mampu menguasai asas Matematik dan Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Arab dengan baik.

Keyakinan masyarakat terhadap kepada PASTI timbul apabila mereka menyedari bahawa cabaran yang terbesar yang dihadapi pada saat ini ialah bagaimanakah kita dapat melahirkan peribadi-peribadi yang berupaya meningkatkan martabat ummah dalam segala bidang kehidupan dengan menguasai bidang ekonomi, ilmu, sains dan teknologi, pada waktu yang sama mewakili saksiah dan akhlak yang terpuji. Inilah pada hemat saya yang harus menjadi asas dan landasan untuk mencapai kegemilangan yang hakiki. Umumnya tidak menginginkan kegemilangan palsu sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat barat.

Ini ditambah lagi dengan gelombang keinginan masyarakat terhadap pendidikan Islam menyemarakkan lagi institusi pendidikan pra sekolah islam berkembang tidak kira samada di kota atau di desa. Lantaran itu, keyakinan yang mendalam masyarakat terhadap PASTI terbit sendiri bukannya dipaksa atau terpaksa tetapi melihat bahawa PASTI adalah wadah yang terbaik untuk anak mereka dan merekalah yang layak menilai sejauh manakah tuduhan yang dilonggokkan kepada PASTI selama ini sebagai Pusat Mengasuh Membenci Kerajaan atau sebaliknya.

Dengan kewujudan TAJ sebenarnya telah menyemarakkan institusi pra sekolah Islam di Johor tetapi jangan disebabkan keinginan memperlihatkan kebaikan pra sekolah yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Johor maka timbul sikap ingin memburuk-burukkan pra sekolah yang lain dengan pelbagai tohmahan tanpa dapat membuktikan dahwaan tersebut. Tuduhan yang dikenakan terhadap TASKI yang menyeleweng perlu diperbetulkan agar masyarakat umum tidak terkeliru walaupun tuduhan ini tidak mengaitkan PASTI tetapi ia tetap tempias kepada pra sekolah Islam yang lain. Sekiranya terdapat TASKI-TASKI ini telah menyimpang dari peranan mendidik anak-anak maka kerajaan negeri perlu memperbetulkannya.

Perlu diperingatkan kepada semua bahawa PASTI adalah aktiviti parti dan kita tidak akan mendaftarkan PASTI sama ada di bawah Jabatan Agama Negeri Johor (JANJ) ataupun Kementerian Pendidikan kerana berteraskan bahawa institusi PASTI adalah salah satu daripada aktiviti PAS seperti yang telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan. Apatah lagi menyedari realiti di dalam Perlembaaan PAS telah disebutkan bahawa pendidikan adalah sebahagian daripada aktiviti PAS sebagai sebuah badan politik yang sah di negara ini seperti mana yang telah dijelaskan oleh Ketua DPP Pusat YB Haji Mahfuz Bin Omar dalam sidang media yang telah dibuat pada 30 Oktober 2001 yang lalu. PASTI Negeri Johor menyeru semua jawatankuasa PASTI di peringkat negeri, kawasan dan cawangan terus istiqamah dengan keputusan dan pendirian kepimpinan PASTI Pusat dan parti, agar fitnah ini dapat dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Mudah- mudahan Allah swt akan membantu kita dan menggagalkan perancangan mereka.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Pengarah
PASTI Negeri Johor

1 Januari 2002, 3.32 petang




        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com