UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




MAKMAL KOMPUTER TIDAK SIAP : MENTERI KEWANGAN DAN MENTERI PENDIDIKAN MESTI BERTANGGUNGJAWAB

SIDANG MEDIA (1 JANUARI 2002)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kegagalan menyiapkan 85 peratus projek makmal komputer sekolah yang sepatutnya disiapkan pada 14 Mei 2001. Sikap cuai para kontraktor dan kementerian terbabit telah memberikan gambaran yang buruk terhadap proses pendidikan di sekolah ekoran daripada gagalnya projek tersebut disiapkan. DPP Pusat dalam isu ini menyalahkan sepenuhnya kegagalan ini ke atas bahu Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap projek ini.

Projek komputer untuk sekolah di seluruh negara yang dimulakan pada 15 November 2000 telah diberikan kepada kontraktor yang tidak berkelayakan bahkan mungkin mempunyai unsur kronisme atau nepotisme. DPP pusat mempersoalkan mengapakah daripada lima kontraktor utama projek ini, hanya satu sahaja kontraktor binaan sedangkan yang lain hanya pembekal komputer. Ini menggambarkan kemungkinan Kementerian Kewangan tidak telus ketika mengagihkan projek kepada kontraktor tersebut. Akibatnya, pada Mei 2001, projek ini tidak dapat disiapkan.

Sangat memalukan bagi sebuah kementerian yang penting seperti Kementerian Kewangan apabila tidak dapat mempastikan ketelusan dalam projek yang begini penting dan melibatkan sejumlah besar rakyat. Inikah sikap sebuah kerajaan yang didakwa cekap atau `kerajaan Islam BN'? Perdana Menteri sering melaungkan slogan Malaysia Boleh, tetapi kementeriannya sendiri tidak boleh menyiapkan projek yang penting ini. Projek komputer sekolah yang berlabel `Projek Kerajaan BN' menerima nasib yang sama dengan sebuah lagi projek BN iaitu PPRT. DPP Pusat melihat tidak cukup jika Perdana Menteri hanya mahu kementerian kewangan mengkaji semula proses pengagihan projek kepada kontraktor, sedangkan ketelusan di peringkat pemimpin tertinggi tidak wujud. Kenyataan Perdana Menteri untuk mengkaji semula itupun sudah cukup untuk menggambarkan penyelewengan yang wujud.

DPP Pusat juga sangat kesal dengan sikap berlembut yang diamalkan oleh Kementerian Pendidikan terhadap para kontraktor ini sehingga melanjutkan tempoh projek sebanyak tiga kali semenjak Mei 2001. Sikap menunda projek ini memberi muka kepada para kontraktor untuk terus berlengah daripada menyiapkan projek ini. Mungkin para kontraktor yang mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin tertentu tidak bimbang terhadap kegagalan projek, sebaliknya masih mampu untuk mengugut pegawai kementerian agar projek ini diteruskan walaupun kegagalan mereka terbukti.

Kenyataan Utusan Malaysia bahawa syarikat-syarikat terbabit kurang memahami polisi dan peraturan kerajaan serta tidak berpengalaman telah menjadi punca mereka gagal menyiapkan projek makmal komputer ini termasuk tidak mematuhi arahan kerajaan. Yang anehnya, mengapakah kerajaan terus berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap kontraktor tersebut walaupun hanya 48 buah sahaja makmal yang siap daripada 2,240 makmal dalam fasa 1 projek ini. Lebih malang lagi apabila projek yang melibatkan kawasan luar bandar seperti zon Timur dan Selatan hanya dua buah projek sahaja dapat disiapkan.

Ekoran kegagalan projek yang melibatkan kepentingan rakyat yang begini ramai, DPP Pusat berpandangan bahawa kedua-dua menteri dan kementeriannya mesti bertanggungjawab. Perdana Menteri mesti menghentikan sandiwaranya dengan meletakkan jawatan dan melantik seorang menteri kewangan yang berwibawa bukannya seorang penyangak yang mengutamakan kroni atau melakukan penyelewengan harta negara. Menteri Pendidikan juga mesti meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab setelah kegagalan projek ini. Sebelum ini menteri pendidikan terlalu sibuk membangkitkan isu penglibatan politik pelajar dan isu perkauman di sekolah, tetapi tidak mengendahkan isu yang lebih penting dan melibatkan rakyat teramai.

DPP Pusat juga mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya membuat siasatan terperinci mengapakan sebuah rancangan pendidikan yang begitu penting boleh jatuh ke tangan mereka yang tidak berkelayakan. Kontraktor yang terdiri daripada pembekal komputer tetapi mendapat projek membina makmal komputer adalah suatu yang aneh dalam sebuah pentadbiran yang telus. Kerana itu, DPP Pusat berpandangan bahawa Kerajaan BN tidak ada pilihan lain melainkan BPR mengadakan siasatan segera ke atas semua yang terbabit terutama pemimpin tertinggi BN yang mengetuai kementerian berkenaan. Jika perlu sebuah siasatan awam hendaklah dibentuk kerana kes ini melibatkan kepentingan sejumlah besar rakyat.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com