UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




KOS MAHLIGAI DI PUTRA JAYA : DR M BERBOHONG

KENYATAAN MEDIA (14 JANUARI 2002)

KOS MAHLIGAI DI PUTRA JAYA : DR M BERBOHONG

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa yang sangat kesal di atas sikap tidak bertanggungjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad yang berbohong kepada rakyat tentang kos sebenar untuk membina kediaman rasminya di Putra Jaya semenjak 1998 lagi. Dr Mahathir dan pemimpin BN sebelum ini telah memberitahu rakyat termasuk di Parlimen bahawa harga mahligai tersebut adalah sekitar RM 16 atau 17 juta sahaja. Pembohongan Perdana Menteri ini akhirnya terbongkar apabila sebuah perunding arkitek, Arca 3 telah membuat pengakuan di mahkamah bahawa mahligai tersebut berharga sekitar RM 110 juta tidak termasuk aksesori dan landskap.

DPP Pusat sebelum ini mendakwa tindakan rakus Kerajaan BN membina mahligai air mata itu sebagai satu penganiayaan kepada rakyat yang sedang dilanda kegawatan ekonomi yang berlaku semenjak 1997. Walau bagaimanapun dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri bahawa mahligai itu berharga sekitar RM 200 juta dinafikan oleh kerajaan rakus BN. Bahkan mereka sanggup berbohong di Parlimen semata-mata kerana mempertahankan kerakusan dan penyelewengan mereka.

Berikutan pendedahan olEh Arca 3 di mahkamah tentang harga sebenar mahligai tersebut, seluruh rakyat merasa kesal dengan pembohongan besar yang dilakukan oleh Dr Mahathir dan pemimpin BN. Dengan pendedahan ini, terbukti sekarang siapakah pembohong, perompak dan penyeleweng wang rakyat di negara ini. DPP Pusat hairan bagaimana Perdana Menteri boleh mendakwa harga mahligai tersebut hanya RM 16 juta, sedangkan harga sebenarnya mungkin melebihi RM 200 juta jika diambil kira aksesori dan landskap mahligai tersebut. Adakah kerana bimbang dengan kebangkitan rakyat terutama kelas bawahan, maka Dr Mahathir dengan tanpa maruah dan harga diri sanggup berbohong kepada rakyat.

DPP Pusat menuntut Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negara ini kerana melakukan pembohongan termasuk di Parlimen. Perdana Menteri juga mesti memohon maaf kepada Parlimen di atas sikap unparliamentary penyokong BN yang berbohong kepada dewan yang mulia. Adakah Dr Mahathir telah terpengaruh dengan Presiden Amerika Syarikat yang berbohong dalam skandal seksnya, lalu beliau turut berbohong dalam skandal mahligai ini. Jika Dr Mahathir seorang yang bermaruah, beliau mesti meletakkan jawatan dan Pejabat Peguam Negara mesti mempertimbangkan tindakan undang-undang yang sewajarnya atas sifat beliau sebagai penjawat awam yang berbohong tentang perbelanjaan negara. Jika tidak rakyat mesti menolak Kerajaan BN seperti mana rakyat AS menolak Bill Clinton.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com