UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Terima Kasih P Ramlee

Kegemilangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee di bidang lakonan dan muzik memang sudah diakui ramai. Semua lapisan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu cukup tertarik dengan keistimewaan beliau. Tidak hairanlah lakonannya masih diminati hingga kini di mana filem-filem bintang lagenda itu tetap diputar saban tahun melalui media elektronik di negara ini. Lagu-lagu beliau juga cukup mencuit hati kita dan antaranya ialah Dendang Perantau, Madu Tiga juga Getaran Jiwa.

Justeru kita tanpa jemu-jemu ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau di persada seni tanahair. Malah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di akhir tahun lalu yang mensabitkan 19 orang ahli kumpulan al Maunah merupakan satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak ternilai harganya. Kehebatan lagu beliau, Getaran Jiwa rupanya terserlah bila alunan irama dan lagu itu yang diputarkan di kaki Bukit Jenalek mampu menewaskan sekumpulan pengganas yang cukup merbahaya kepada negara kita.

Bayangkan tanpa lagu Getaran Jiwa itu apa yang bakal berlaku di seluruh negara bila dua buah kem tentera dapat dibolosi oleh tentera al Maunah. Hanya dengan menggunakan tiga buah kenderaan pacuan empat roda second hand mereka berjaya melarikan ratusan senjata canggih termasuk MPG dalam masa beberapa jam sahaja. Bayangkan tanpa lagu Getaran Jiwa berapa banyak lagi mereka yang berjambang boleh menyamar sebagai tentera Malaysia ?

Namun alhamdulillah perancangan al Maunah dapat dipatahkan oleh kerajaan Malaysia yang terkenal cukup cekap mengawal suasana. Perisikan tentera dan polis rupa-rupanya dapat mengesan kelemahan anggota al Maunah yang sentiasa berwirid itu dengan lagu Getaran Jiwa. Lantas bila lagu itu diputarkan mereka semua meletak senjata masing-masing sambil menangis tersedu-sedu. Tiada lagi dentuman letupan tetapi semuanya bertafakur menghayati bait demi bait senikata lagu yang berentak perlahan dendangan allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Kejayaan lagu itu seolah-olah mengesahkan segala anugerah yang pernah disampaikan kepada allahyarham. Memang Tan Sri P Ramlee layak dinobatkan sebagai Raja Lagu Malaysia mengalahkan Raihan, Siti Nurhaliza, Rabbani, M Nasir malah sesiapa sahaja di bumi Malaysia ini. Mungkin lagu Getaran Jiwa boleh menggantikan lagu NegaraKu sebagai lagu kebangsaan kita. Saranan ini bukanlah keterlaluan kerana kita difahamkan lagu Negaraku itu pun asalnya dari sebuah lagu biasa berjodol Terang Bulan ciptaan seorang ahli muzik Indonesia.

Bayangkan berjuta-juta anak murid Malaysia akan menyanyikan lagu Getaran Jiwa dalam perhimpunan sekolah masing-masing. Bayangkan seluruh dunia mendengar lagu itu dimainkan oleh pasukan pancaragam Tentera DiRaja Malaysia ketika menyambut pembesar-pembesar luar negara. Bayangkan lagu Getaran Jiwa dimainkan setiap kali peserta sukan Malaysia memenangi apa-apa pingat emas dalam kejohanan antarabangsa.

Mungkin juga kita perlu menyampaikan pesanan kepada Presiden Amerika supaya membeli pita lagu Getaran Jiwa untuk dimainkan di kaki Bukit Tora Bora, Afghanistan. Kita percaya pemburuan hampir tiga bulan oleh ribuan tentera marin Amerika terhadap Osama bin Laden akan berakhir. Kita yakin Osama akan menangis tersedu-sedu bila mendengar suara merdu allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Lantas sekali lagi P Ramlee akan dapat mengalahkan Michael Jackson, Jennifer Lopez, Madonna dan sesiapa sahaja penyanyi di atas muka bumi ini. Untuk itu izinkan kita mengucapkan sekali lagi kata-kata, "Terima Kasih P Ramlee" kerana suara latar anda telah digunakan dalam sebuah sandiwara di Sauk.

Oleh :Pastulin






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com