UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Indera Kayangan : Mari menyuluh diri sendiri

Oleh : pastulin

Sudah agak banyak komen yang dibuat mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil Indera Kayangan. Boleh dikatakan semua pemimpin, penggiat, penganalisa malah pecacai politik di kaki lima turut memberikan pandangan masing-masing. Terpulanglah kepada kita untuk menerima atau menolak pendapat mereka berdasarkan kefahaman dan arah tuju masing-masing.

Dari sekian banyak ulasan, kita tertarik kepada perenggan terakhir analisa Dr Syed Hussin Ali yang kira-kira bermaksud, "yang paling penting ialah memperkemas jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang."

Ayat di atas cukup menarik untuk diulas walaupun ianya bukanlah kali pertama diucapkan. Malah mungkin ratusan kali kita disuapkan dengan seruan sedemikian. Malangnya seruan sebegitu akan hanya tinggal seruan sebaik sahaja isu-isu baru melanda senario politik negara kita. Kita turut hanyut dalam isu-isu semasa - bukannya salah - sehingga sedikit demi sedikit seruan itu akan mula kita abaikan. Lalu bila kita dikejutkan dengan kekalahan lain kita pun akan membuka mulut menyatakan betapa jentera parti kita di tahap yang lemah berbanding musuh.

Apakah sekadar itu sahaja yang mampu kita lakukan ? Marilah kita menyuluh diri sendiri sambil melihat betapa kita hanya pandai bercakap atau melepaskan geram kepada musuh tanpa kita mahu secara ikhlas membetulkan diri sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan jentera parti seperti yang disarankan oleh Dr Syed Hussin? Jawapannya mungkin mudah iaitu jentera terdiri dari manusia, logistik (kenderaan, markas dll) serta wang. Itulah tiga tonggak sesebuah jentera parti kerana asas atau chasis bagi sebuah kenderaan ialah ideologi parti masing-masing. Kita pun tidak bermaksud membicarakan ideologi kerana bukan itu masalah utama.

Keputusan IK sama seperti mana-mana keputusan sebelum ini di mana akan sentiasa ada golongan 'hardcore' di kedua-dua belah pihak. Di IK sahaja, 'hardcore' pembangkang ada sekitar 1,000 undi. Letaklah sesiapa sahaja mewakili pembangkang - samada PAS, KeADILan, PRM, DAP atau Bebas dari apa bangsa sekali pun - nescaya kita tidak akan hilang wang pertaruhan. Begitu juga samada bangsa Melayu, Cina atau India yang menjadi calon, golongan 'hardcore' ini akan tetap memangkah pembangkang dengan syarat berlaku pertandingan satu lawan satu.

Persoalannya ialah bagaimana merebut undi atas pagar kerana di sebelah BN pun mereka ada golongan 'hardcore' sekitar 3,000 pengundi. Jadi jentera parti lah yang bertanggungjawab menentukan siapa yang bakal diundi oleh golongan atas pagar yang kira-kira berjumlah 4,000 orang.

Masalah yang sekian lama dihadapi oleh parti-parti pembangkang ialah bagaimana mahu menggerakkan jentera parti di luar musim pilihan raya. Manusia (ahli dan penyokong) kelihatan begitu menjauhkan diri apabila diadakan sebarang aktiviti kepartian. Sebutlah apa saja jenis aktiviti - usrah, mesyuarat, seminar, demontrasi, qiamulail, kuliah dan serba serbi yang lain - tentu kedatangannya amat menyedihkan. Pelbagai justifikasi yang diberi untuk menghalalkan ketidak hadiran mereka. Kalau pun ada aktiviti yang agak menarik ialah Majlis Sambutan Hari Raya dan Ceramah Umum !

Lantas bagaimana kita mahu menggerakkan jentera jika salah satu komponen utama iaitu manusia telah kondem ? Jawapannya cukup sukar kerana ideologi lah yang memainkan peranan penting.

Mari kita menyuluh kepada unsur kedua dalam sebuah jentera parti iaitu logistik. Kita perlu akur bahawa tidak sampai 30 peratus cawangan mana-mana parti pembangkang yang mempunyai markaz atau pejabat sendiri. Yang ada pejabat pun hidupnya segan mati tak mahu. Jangan ditanya lagi berapa ramai petugas tetap yang diberikan gaji sederhana untuk melaksanakan tugas sepenuh masa. Oleh itu cawangan yang agak maju dan mahu mengadakan aktiviti terpaksa mengemis surau, kedai kopi dan sebagainya untuk menumpang berteduh. Akhirnya unsur ketiga ialah kewangan.

Marilah kita menyuluh penyata kewangan parti di semua peringkat. Sesudah itu kita akan tersenyum kerana wang yang diterima dan dibelanjakan oleh sesebuah cawangan dalam masa setahun hanyalah sekadar belanja anak sekolah di tahun satu. Kita ingin terus tertawa tetapi hati kecil akan tetap menangis mengenangkan begitu ramai ahli dan penyokong parti yang gajinya ribuan. Merekalah yang sibuk menganalisa setiap kalimah ucapan pemimpin tetapi hampir tidak ada yang menghulurkan walaupun 1 peratus pendapatan bulanan mereka untuk jentera parti. Kita hanya dapat menarik nafas yang tersekat-sekat bila melihat ahli berkereta mewah, berumah besar namun mempunyai hati yang amat kecil.

Marilah sempena dengan kekalahan kita di Indera Kayangan kita memulakan azam baru. Kita berikrar akan menyumbang 1 peratus dari pendapatan kita setiap bulan kepada mana-mana cawangan parti. Samada kita ahli atau penyokong PAS, KeADILan, PRM atau DAP marilah kita berganding mahu ke arah mengkuburkan Barisan Nasional.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com