UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




IK 2002: Ramuan Kemenangan Belum Mencukupi Bagi BA

* Semangat Saja Belum Cukup
* Demokrasi dikontrol penguasa
* Pemikiran dan kebebasan rakyat dikongkong
* Ruang Parti Pembangkang dipersempitkan
* Tekanan, kepungan dan kekangan terhadap BA terlalu keras
* Sikap bertahan pembangkang
* Pembangkang terlalu berserah pada keadaan
* BA tidak proaktif
* Fitnah jahat BN tidak disanggah dengan lebih tegas
* Amalan rasuah, ugutan dan putarbelit BN tidak disanggah sungguh-sungguh
* Penggunaan jentera kerajaan oleh BN secara berleluasa tidak diserang dengan lebih bertenaga
* Rakyat atau pengundi tidak mampu menilai antara intan dengan kaca
* Sikap polis yang tidak profesional membantu BN menang
* Para pemimpin BN menggunakan pengaruh jawatan mereka untuk menekan individu, agensi kerajaan seperti polis, RTM dll untuk menang

Pilihanraya kecil DUN Indera Kayangan, Perlis sudahpun berakhir. Dan semua orang sudah tahu bahawa BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Indera Kayangan melalui calon dalam gabungan BN iaitu daripada MCA, Puan Oui Ah Lan bekas seorang guru yang juga menjadi setpol kepada MB Perlis sekarang dengan majoriti sedikit bertambah dari 1,974 undi pada pilihanraya umum 1999 kepada 2,592 undi kali ini IK 2002. Sementara parti pembangkang BA melalui calonnya dari KeADILan, Cikgu Khoo Yang Chong mendapat 1,687 undi berbanding calon KeADILan pada pilihanraya umum 1999, Encik Ko Choo Liang yang mendapat 1,851 undi. Ini bermakna undi pembangkang merosot sebanyak 164 undi, sedang BN pula bertambah sebanyak 454 undi.

Memang jangkaan kita adalah teramat sukar bagi parti pembangkang untuk mencipta kemenangan dalam mana-mana pilihanraya kecil dalam sebuah negara bernama negara yang mengamal 'demokrasi', tetapi segala ciri-ciri dan amalan demokrasi itu sendiri dikontrol dan dikekang sebegitu hebat oleh penguasa rakus lagi mengila...dengan cara cukup tidak demokratik secara menyempitkan makna dan pengertian sebenar demokrasi semata-mata untuk menjaga kepentingan penguasa dan organisasi yang mereka pegang atau kuasai. Ertinya demokrasi itu hanya untuk mereka boleh bermaharajalela berbuat sesuka hati, untuk kumpulan lain atau parti lain yang tidak sekelompok dengan mereka mesti disekat, disempitkan dan hatta kalau ada undang-undang dalam sistem 'demokrasi' perlu diaktakan bahawa terhadap mereka yang dianggap lawan itu wajar ditutup terus peluang untuk bersuara, kerana boleh menyusahkan penguasa yang sedang berpeluk dengan kuasa di singgahsana. Itu hati, jiwa, otak dan kepala hotak para pemimpin UMNO/BN, khususnya pemuda-puteri UMNO yang hilang jatidiri bangsa dan bangsa yang bertamadun di IK 2002.

Kita Tidak Kalah, Tapi Belum Menang

Sungguhpun, dari segi semangat dan moral BA berada ditahap teratas berbanding kem BN. Dengan disiplin tinggi, menghormati peraturan, undang-undang, berbudaya dan sebagainya kita sebenarnya telah mengatasi BN dari aspek moral dan disiplin ini. Malah para petugas BA tidak termakan umpan provokasi kem BN dan kita juga tidak terikut rentak buruk, biadap lagi tidak bertamadun kem BN, khususnya pemuda dan puteri UMNO di IK. Hakikatnya, calon kita Cikgu Khoo Yang Chong bukan kalah, tapi kita belum menang. Kepada calon BN kita ucapkan tahniah! moga-moga akan dapat memberi khidmat kepada seluruh rakyat Indera Kayangan secara adil dan saksama tanpa mengira apa jua kaum, agama dan anutan politik. Sebab amalan ketidakadilan selama ini yang mendasari perjuangan BN yang dikemudi oleh UMNO cukup ketara di mana-mana negeri yang mereka kuasai, mereka hanya melihat rakyat itu sebagai rakyat apabila ada cop dacing atau keris tak bersarung itulah rakyat yang patut mendapat perkhidmatan, projek dan habuan seperti balairaya, jalanraya, sekolah dan kemudahan-kemudahan asas yang lain. Kita tidak mahu YB baru Indera Kayangan mencontohi dan mengamalkan budaya songsang UMNO/BN selama ini.

Ketahuilah, bahawa pilihanraya hanya sebahagian dari alat dan wadah dalam perjuangan ini. Perjuangan menegakkan keadilan, membela nasib rakyat dan menegak kerajaan yang lebih baik dan demokratik. Apakah kita akan undur setapak lantaran gagalnya kita atau belum berjaya mendapatkan sebuah kerusi DUN di Indera Kayangan, Perlis kali ini? Harus diingat IK adalah ibarat sebuah kubu terakhir BN, seandainya kubu mereka di IK roboh atau terlepas ke tangan musuh pasti bahaya lebih besar bakal menimpa parti UMNO/BN di seluruh negara. Sebab itu, kita dapat lihat bagaimana mereka berusaha keras untuk mempertahankan kubu mereka di Indera Kayangan. Mereka kerahkan seluruh jentera BN dari seluruh negara termasuk jabatan kerajaan sekali diperguna dan diperkudakan seperti RTM, TV 1 hingga 7, polis dan lain-lain agensi kerajaan sama ada secara langsung atau tersembunyi. Ibarat orang main wayang kulit. Di TV para pemimpin UMNO/BN dari Pak Lah hingga Shahidannya menafikan tindakan jahat, samseng, ganas dan provokasi para barua mereka dari pemuda-puteri UMNO berkempen di IK. Tapi semua itu ditutup-tutupi sebagaimana liciknya para pemimpin besar dan sombong UMNO/BN menutup-nutupi amalan rasuah, salahlaku, skandal, penyelewengan dan tipu helah mereka selama ini.

Akan Kecewakah Kita Dengan Indera Kayangan

Sebagai pejuang sejati, berhati suci, mulia dan ikhlas terhadap perjuangan suci lagi mulia ini demi menegakkan keadilan, membela rakyat terbanyak yang majmuk dan menegakkan kerajaan yang lebih demokratik dan baik. Tidak ada dalam kamus perjuangan ini erti putus asa dan juga kekecewaan. Perjuangan ini pengakhirnya bukan dihujung kekecewaan atau putus asa. Perjuangan ini adalah perjuangan yang berterusan sehingga kiamat sampai menang keadilan tertegak di bumi Malaysia, nasib rakyat benar-benar terbela dan sebuah kerajaan yang lebih baik dapat diwujudkan tidak tahun ini, insya-Allah pada tahun 2004 atau mungkin lebih awal lagi pada 2003.

Apa yang penting dan teramat penting adalah semangat perjuangan kita jangan sekerat jalan sahaja. Kita bukan sekadar memburu kemenangan dalam pilihanraya. Apa ertinya sebuah kemenangan tetapi hakikatnya keadilan masih dipasungkan, kezaliman pula bermaharajalela. Apa ertinya kita menang namun nasib rakyat terbanyak terus ditindas, diperbodohkan dan diabai-abaikan. Apa ertinya kita menang tetapi segala penyelewengan, rasuah, salahlaku pemimpin, kronisme, salahguna kuasa dan putarbelit kebenaran terus-menerus melanda negara dan kehidupan rakyat negara ini.

Insya-Allah, BA Boleh Menerajui Kerajaan Malaysia

Syaratnya, persiapan ke arah itu mesti berjalan terus. Leburkan dan pecahkan segala macam bentuk khurafat yang masih mengongkong pemikiran, jiwa dan hati budi rakyat majmuk Malaysia. Kuatkan lagi jentera organisasi BA. Kukuhkan persefahaman. Jangan berhenti menyerang bagi melemahkan strategi UMNO/BN yang semakin angkuh dan takbur dengan mengekal kemenangan mereka di IK.

Kemudian, para pemimpin, penyokong dan pemikir parti-parti BA termasuk kepimpinan DAP dan parti pembangkang lain yang mempunyai matlamat perjuangan sama. Hendaklah dari sekarang kembali kepada asas gabungan pembangkang seperti tahun 1999 dulu. Tinggalkan segala karenah remeh-temeh yang tidak membawa sebarang manfaat. Persetujuan, persefahaman dan keintiman matlamat perjuangan pembangkang yang sudah bermula dengan benih subur dan baik tahun 1999 itu patut dibajai dan dijaga semula. Adalah tidak mustahil pembangkang akan lebih kuat lagi pada pilihanraya umum ke 11 nanti.

Asakan, tekanan, halangan, fitnah dan tuduhan yang sengaja diperguna dan direka-reka oleh parti pemerintah dengan maksud untuk melemahkan gabungan pembangkang di Malaysia. Serba sedikit sudah mengena dan mereka (UMNO/BN) sudah berasa selesa, walaupun masih gelisah akan kekuatan pembangkang BA. Mereka sudah berjaya mengeluarkan DAP dari gabungan BA melalui isu bikinan 'negara Islam'. Mereka juga sudah berjaya mempengaruhi PBS di Sabah agar masuk semula ke dalam lubang tong najis UMNO/BN. Mereka juga telah berjaya mengendurkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu terhadap kezaliman Mahathir dan UMNO/BN kepada DS Anwar Ibrahim dan keluarga serta rakan-rakan Anwar. Dan UMNO/BN sudah menyedari akan mood dan kemahuan rakyat. Dan mereka sudah sebati dengan amalan-amalan tidak demokratik untuk terus berkuasa hatta menyogok rakyat, polis, SPR dan seluruh agensi kerajaan yang boleh mereka perkudakan sama ada melalui individu, jabatan, agensi atau pelbagai lagi taktik yang sudah diketahui umum.

BA mesti jangan mati akal, jangan lemah semangat dan jangan sekali-kali hilang strategi untuk mencipta sebuah kemenangan besar, kemenangan rakyat Malaysia yang majmuk dan kejayaan tidak datang dengan mudah, tanpa cabaran, usaha, pengorbanan dan strategi yang mendepani situasi semasa. Semangat belum memadai untuk kita mencipta kejayaan. Yang penting teruskan asas-asas perjuangan yang sedia ada ini dan gembeling seluruh kepakaran yang dimiliki oleh rakyat yang mendokong pejuangan ini. Kebatilan akhirnya akan tumbang ditangan pejuang kebenaran yang ikhlas.

Perjuangan Kita Bukan Semata-mata Untuk 'Menang' Pilihanraya

Perjuangan ini bukan perjuangan sekadar untuk 'menang' pilihanraya atau cuma sekadar mengejar dan memburu pangkat, kedudukan, kebendaan dan pengaruh semata-mata. Tetapi perjuangan ini adalah wasilah dan wadah untuk kita meletakkan sebuah perjuangan rakyat yang merindukan nilai-nilai keadilan, pembelaan nasib rakyat terbanyak secara adil dan menegakkan sebuah kerajaan yang adil, baik dan demokratik. Dan perjuangan ini terpaksa merempuh perancangan kebatilan dengan sistem yang sangat rapi, mereka selamanya tidak kenal apa itu kebaikan, keadilan dan kerajaan baik. Mereka hanya menilai kuasa itu patut aku pegang sekalipun terpaksa melanggar dan merobohkan seluruh sistem, peraturan dan undang-undang yang mengawal sesebuah negara. Inilah akibat apabila negara diperintah oleh pemimpin dan penguasa yang rakus, rosak, tamak dan gila kuasa. Hati mereka karam dan tenggelam dalam keasyikan menimbun pangkat, kedudukan, kuasa, kebendaan dan segala macam kemewahan serta keseronokan semata-mata.

Kemenangan dalam setiap pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah sebahagian matlamat perjuangan ini. Tetapi kerana 'tidak' memperolehi kemenangan apakah perjuangan ini mesti dihentikan, dibekukan atau dimatikan?. Sebagai rakyat berjiwa pejuang kita mesti hidup terus dengan perjuangan ini. Gagal tidak mematikan akal, jiwa, hati budi dan juga semangat juang kita selama-lamanya. Perjuangan kita adalah bagi memastikan penguasa zalim mesti diberambuskan dari puncak kekuasaan untuk digantikan oleh pemimpin yang lebih baik, adil, berwibawa, telus dan beramanah.

Akhirnya, mohonlah bersama-sama ke hadrat Allah SWT, agar negara dan rakyat Malaysia seluruhnya terselamat dari petaka lebih dahsyat lagi. Akibat kemungkaran penguasa zalim dan rakus di singgahsana Putrajaya di Perlis hingga ke KL.

Ibn Sabah,
21.1.2002M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com