UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Selamat tinggal tahun 2001!

Oleh : Lee Ban Chen

Rencana pertama saya dalam kolum Bumi Dipijak ini mula disiarkan pada 6 Disember 2000. Setakat ini, saya telah menulis lebih 50 komentar. Tidak dapat dinafikan bahawa negara kita memerlukan lebih banyak penganalisis bebas mengenai hal-ehwal semasa, untuk memecah monopoli media arus perdana mengenai segala kontroversi dan polemik dalam arena politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sosial tanahair.

Dalam bidang politik, umpamanya, 2001 merupakan tahun yang penuh cabaran besar kepada parti-parti pembangkang amnya dan pakatan Barisan Alternatif (BA) khususnya. Antara lain, peristiwa-peristiwa berikut telah membawa implikasi besar kepada perkembangan politik tanahair:

1. Kontroversi negara Islam berikutan pengakuan pemimpin PAS bahawa parti itu akan melaksanakan konsep negara Islam sekiranya ia memerintah negara ini dan pengisytiharan Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam de facto ;

2. Persaingan gerakan Islamisasi di antara PAS dan Umno, dan tanda-tanda perkembangan gerakan Islamisme yang lebih militan dan ganas, seperti yang didakwa oleh kerajaan mengenai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM);

3. Penangkapan pemimpin parti pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mematahkan gerakan reformasi dan sokongan kepada Anwar Ibrahim, serta menjadikan antipengganasan sebagai justifikasi baru untuk lebih kerap menggunakan ISA selepas kejadian serangan 11 September 2001;

4. Penarikan diri DAP daripada pakatan BA dan disusuli ura-ura Pengerusi DAP Lim Kit Siang untuk menubuhkan pakatan pembangkang sekular tanpa PAS;

5. Cadangan percantuman di antara Parti Keadilan dan Parti Rakyat;

6. Permohonan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai semula Barisan Nasional;

7. Pergelutan kuasa dan perpecahan di antara kumpulan A dan kumpulan B dalam MCA.

Senarai di atas mencerminkan bahawa pergolakan dan ketidakstabilan menjadi ciri utama senario politik negara kita sekarang. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga pilihanraya umum sebelum tahun 2004.

Pendidikan

Satu lagi bidang yang terus menerus dilanda kontroversi adalah pendidikan, antaranya, isu sekolah wawasan (vision school), isu meritrokrasi dan sistem kuota, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), ISA, skandal Sijil Kelayakan Amalan Guaman (CLP), campurtangan Bahagian Ehwal Pelajar (HEP) Universiti dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pembersihan apa yang dinamakan aktiviti militan dalam kampus (termasuk pelajar dan pensyarah), dan terbaru sekali dakwaan berlakunya pengasingan pelajar mengikut bangsa di sekolah kebangsaan rendah dan menengah.

Kebanyakan kontroversi dan polemik tersebut berpunca daripada dasar pendidikan negara kita yang tidak jelas dan konsisten mengenai pendidikan bahasa ibunda semua kaum sebagai hak asasi dan hak setiap kaum yang harus dihormati .

Di samping itu , matlamat muktamad dasar pendidikan kebangsaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua aliran pendidikan di negara kita juga turut menjejaskan perkembangan bahasa dan pendidikan kaum minoriti di negara kita.

Pengasingan mengikut bangsa

Selain itu, dakwaan berlakunya pengasingan pelajar mengikut bangsa di sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekiranya benar, akan turut memberi implikasi negatif kepada perpaduan nasional. Sekiranya ini bukan dasar pendidikan negara kita, maka sebarang pendedahkan mengenai amalan negatif ini perlu disiasat.

Buat apa melenting sebelum siasatan dilakukan (ini memang tanggungjawab Kementerian Pendidikan), lalu mencabar orang lain memberi bukti? Setelah diberikan bukti, dipertikai pula tentang bilangan dan peratus sekolah yang terlibat?

Ada pula yang mendakwa kononnya pihak terlibat ada agenda tersembunyi - mencari publisiti dan sebagainya. Ada juga yang melibatkannya dengan masalah yang tidak berkaitan sama sekali, umpamanya mendakwa kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan SRJK Tamil sebagai unsur negatif demi perpaduan nasional negara kita. Malah kewajaran ibu bapa Melayu dan India menghantar anak mereka ke sekolah Cina juga dipersoalkan.

Cuba fikirkan, andainya sekolah Cina enggan menerima pelajar Melayu dan India, entah apa pula tuduhan yang akan dilemparkan terhadap mereka? Sebaliknya kira-kira 60 ribu pelajar Melayu menuntut di sekolah Cina. Seandainya kita mengambil purata 600 pelajar bagi setiap sekolah, bermakna pelajar Melayu menuntut di 100 sekolah Cina! Dan jangan pula lupa bahawa dasar pendidikan negara sekarang tidak membenarkan pembinaan sekolah Cina baru sungguhpun Akta Pendidikan kita memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk berbuat demikian.

Ekonomi dunia

Selepas kejadian serangan 11 Septembar lalu, ekonomi dunia telah mengalami pukulan baru, dan ekonomi negara kita yang belum pulih, menjadi bertambah teruk . Puluhan ribu pekerja telah diberhentikan. Barangan tani juga tidak berharga. Umpamanya, durian musim ini sukar sangat dijual. Di Jerantut, Pahang, harga borong sekilo durian kampung hanya 20 sen! Dalam keadaan ini, pekebun kecil di Jerantut mengambil keputusan untuk membiarkan durian-durian mereka reput dalam kebun!

Masalah sosial juga membimbangkan. Insiden di Kampung Medan hingga sekarang masih belum diselesaikan dengan memuaskan. Kes jenayah seperti merompak dan merogol sudah menjadi jenayah harian. Satu kes yang menonjol ialah kegagalan polis memberi perlindungan kepada seorang balu dan anak-anaknya, menyebabkan mereka terus diganggu dan keselamatan mereka terancam, setelah anak perempuannya dirogol dan suaminya dibunuh oleh penjenayah.

Penggunaan ISA dan Auku, penanganan kes Anwar Ibrahim, pelantikan Peguam Negara, pencerobohan hak asasi dan kebebasan untuk berkesatuan, bersuara dan mengadakan berhimpunan secara aman, merupakan antara perkara yang menyebabkan amalan sistem demokrasi di negara kita amat mengecewakan!

Semasa menyambut tahun baru, biarlah kita membarui tekad dan semangat untuk memperjuangkan masyarkat yang lebih adil, demokratik, bebas dan bersatupadu!

Selamat tahun baru!

...........................
Malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com