UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




ASIA tidak digeruni

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

KERAJAAN Negeri komited dengan saranan untuk mewujudkan suasana damai di mana-mana saja termasuklah menginginkan supaya dihentikan perang di Afghanistan. Adalah malang bagi bangsa Asia sudah dua kali menyertai sidang antarabangsa sejak Afghanistan diserang tetapi tidak mengambil kesempatan menggesa supaya Amerika menghentikan pencerobohannya di Afghanistan kerana tindakannya itu adalah sama sifatnya dengan serangan ke atas New York dan Washington pada 11 September lalu.

Dua sidang itu ialah pertama kemuncak APEC di Shanghai, China dan kedua kemuncak ASEAN di Brunei Darussalam. Jika orang lain tidak ke depan untuk meminta Amerika menghentikan perang dalam sidang di Shanghai, Malaysia, Indonesia dan Brunei sepatutnya ke depan menyuarakan perkara itu kerana tiga negara ini adalah mewakili penganut agama Islam jika faktor keadilan lain-lain tamaddun tidak mahu digunakan.

Tetapi dalam kemuncak ASEAN di Brunei tiga negara tadi hadir lagi dan tentunya menjadi tempat yang terbaik bagi mereka untuk menggesa dihentikan perang itu kerana bangsa rantau Asia Tenggara adalah pihak yang pernah mengalami kesengsaraan serangan Amerika lebih dari dua puluh tahun. Tidaklah wajar bagi negara Asia Tenggara yang pernah mengalami susah payahnya membiarkan pula saudara seAsianya mengalami apa yang mereka pernah deritai dulu. Sayugialah mereka tampil menggesa atas nama ASEAN supaya perang tadi ditamatkan serta merta.

Afghanistan adalah sebuah negara Asia yang wajar dibela oleh orang Asia dan Asia jangan harap negara di luar Asia akan mengambil berat masalah orang Asia jika orang Asia sendiri tidak merasa sensitif sesama sendiri. Jika orang Islam dari luar Eropah cuba membela masalah orang Islam Bosnia Herzegovina, Albania, Kosova dihalang oleh orang Eropah kerana ia berlaku di rantau Eropah, mengapa orang Asia tidak sensitif apabila orang luar Asia datang mengeruhkan suasana di Asia?

Vietnam, Laos dan Kemboja adalah mangsa serangan Amerika sejak selepas perang dunia kedua hinggalah pertengahan tahun 70-an. Penderitaannya termasuk pembunuhan, kecederaan, kudung, jadi janda, anak yatim, berbagai wabak penyakit, telah banyak mengajar bangsa di rantau ini untuk bangun memperjuangkan supaya kekejaman itu tidak dilakukan lagi oleh Amerika atas alasan apa jua.

Anggota ASEAN yang lain ikut menerima kesan yang pahit baik semasa perang mahu pun selepas perang. Ketika perang, rantau tidak selamat, kerja membangunkan negara tidak lancar kerana pelabur memilih tempat yang lebih selamat. Selepas perang rantau ini terpaksa pula menghadapi masalah orang hanyut dari Vietnam, Laos dan Kemboja yang melarikan diri untuk mencari tempat yang selamat.

Bukan masalah pelarian dari Indochina itu hanya baru setahun dua ini saja reda, malah lebih dari 20 tahun perang itu tamat barulah isu orang hanyut itu selesai. Tetapi Vietnam, Laos dan Kemboja mengambil masa lebih 20 tahun juga untuk menyusun program memulihkan keamanan dan membangunkan ekonomi.

Kemboja lebih banyak pengalaman ngeri dibandingkan dengan yang lain. Campur tangan Amerika membentuk kerajaan satelitnya dengan menggulingkan Norodom Sihanouk digantikan oleh Jeneral Lon Nol. Boneka Lon Nol inilah yang membawa Amerika yang akhirnya memberi lebih banyak kecelakaan kepada rantau itu. Perkelahian sesama sendiri rakyat akibat kedatangan Amerika membuka jalan kepada penyembelihan dua juta lebih umat Islam Kemboja apabila Khmer Rouge membalas dendam kerana orang Islam yang menentang komunis itu dituduh bersubahat dengan Amerika.

Walaupun Amerika menjadi ketua kempen membenci Pol Pot, ketua regim Kampuchea yang melakukan penyembelihan itu, tetapi kejadian itu adalah hasil peninggalan campur tangan Amerika di situ. Ketika Laos dan Vietnam agak lama reda setelah Amerika pergi, Kemboja terus terkial-kial menghadapi saki baki pengikut Pol Pot dan masalahnya hingga hari ini belum selesai. Amerika bukan sekadar meninggalkan kehancuran semenanjung Indochina, tetapi Amerika juga tidak mengambil langkah segera untuk membantu negara-negara ASEAN yang didatangi oleh orang hanyut dari semenanjung itu.

Campurtangan Amerika

Orang-orang hanyut itu mahu ke Amerika, tetapi Amerika hanya mengambil yang banyak emas dan yang ada kemahiran. Yang bangsat dan tidak ada kemahiran tinggallah menjadi beban kepada orang tempatan. Terengganu mempunyai banyak pengalaman – gangguan sosial dan gangguan pekerjaan – apabila ia dibanjiri oleh pendatang Vietnam dan Kemboja. Sebuah Pulau Bidong terpaksa Terengganu serahkan untuk menempatkan mereka. Syukur kerana Pulau Bidong tidak mengulangi Pulau Singapura yang diserahkan Johor kepada Tuan Raffles.

Dengan pengalaman itu Vietnam, Laos dan Kemboja patut tampil ke depan untuk menyuarakan supaya Amerika menghentikan perang. Sepatutnya mereka bersuara lebih awal, sebelum perang itu berlaku, tetapi setelah perang tidak sempat dicegah, mereka patut mengambil kesempatan menyuarakan perkara itu.

Myanmar, walaupun anggota baru dalam ASEAN tentunya tidak merasa kecil kerana juniornya itu, kerana semua anggota sama hak dan sama berdaulat dengan yang lain. Ia juga adalah negara yang begitu lama diancam oleh Amerika. Hanya ancaman itu agak reda apabila ia menjadi anggota ASEAN. Malah ASEAN diancam dan diganggu oleh Amerika kerana memperjuangkan penyertaan Myanmar dalam ASEAN.

Myanmar patut memberi dan memahami bahawa nasib yang dialami oleh Afghanistan itu adalah nasib yang hampir dipaksakan kepadanya oleh Amerika. Adalah wajar baginya menyatakan pandangannya supaya ancaman luar ke atas Afghanistan itu di tamatkan segara.

ASEAN sepatutnya menggunakan forumnya untuk mengenakan tekanannya kepada Amerika dan sekutunya supaya menghentikan perang, tetapi malangnya ia hanya memberikan perhatian kepada isu keganasan yang menjadi agenda Amerika tetapi tidak membincangkan perkara itu lebih lanjut. Perang Afghanistan bukan sekadar menjadi masalah bagi orang Afghanistan saja, ia mengancam ketenteraman Asia seluruhnya. Benua ini didatangi oleh angkatan perang tentera bersekutu, yang alasan asalnya adalah untuk mengepung Afghanistan, tetapi kehadiran itu adalah dengan sendirinya memanaskan suasana Asia seluruhnya.

Jika perang di Afghanistan itu berpanjangan dan mengorbankan banyak nyawa, apakah rantau ASEAN boleh hidup senang dan pembangunannya boleh berjalan lancar? Melibatkan diri dalam peperangan adalah lebih senang daripada keluar dari peperangan itu. ASEAN adalah terlalu lambat untuk menyuarakan supaya perang mesti dielakkan, tetapi kerana perang sudah berlangsung, maka ia jangan lambat pula untuk menyuarakan supaya ia dihentikan.

Dunia akan tetap berhadapan dengan banyak masalah jika perang itu dihentikan sekarang disebabkan kesannya begitu besar. Tetapi jika dibiarkan ia berterusan, ia akan bertambah parah dan bertambah lama lagi masa diperlukan untuk memulihkan keadaan. Adakah ASEAN ditubuhkan untuk menjadi kelab mengangguk kepada kemahuan Amerika saja?

ASEAN ditubuhkan untuk kesejahteraan dunia khususnya bagi rantau ini. Setengah dari anggota ASEAN sekarang adalah orang yang terlalu siksa dengan dasar luar Amerika. Semasa ASEAN dianggotai oleh lima negara dulu, ASEAN dikira oleh negara-negara Asia Tenggara yang tidak menjadi anggota ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang didalangi Amerika dan kepentingan Barat. Mereka enggan menyertainya walaupun ASEAN dicita-citakan supaya cukup 10. Mereka tidak mahu dijadikan oleh ASEAN sebagai pak turut kepada Amerika.

Akhirnya perubahan dunia memberi jalan kepada negara-negara semenanjung Indochina menyertainya. Myanmar masih enggan. Tetapi ASEAN memang bertujuan untuk membebaskan diri dari semua blok dan hanya untuk kesentosaan dan kesejahteraan Asia Tenggara dan Asia. Tetapi setelah semua negara yang waspada terhadap Amerika menyertai ASEAN, yang pernah diazab oleh Amerika seperti Myanmar, Vietnam, Laos dan Kemboja pun ikut sunyi sepi apabila Amerika menghantar peluru berpandunya ke tengah Asia yang habanya dirasa sama oleh rantau ASEAN.

Macam betul apa yang dibimbangkan mereka dulu kononnya ASEAN menjadi pelemah Amerika. Habis membisu dan tidak bertaji mengganggu agenda Amerika. Sebagai balasan Amerika mungkin tidak menghalang pembentukan EAEC yang kini dijadikan EAEG.

...........................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com