UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Islam sebagai perancang pembangunan sejati

Oleh MOHD ZAIDI ABDULLAH
mzaid_saf@hotmail.com

Dalam konteks dunia moden, kita tidak akan lepas daripada pentakrifan negara. Sesebuah negara sudah tentu mempunyai kecenderungan tertentu dalam setiap bidang seperti ekonomi, politik, pendidikan, sains dan teknologi termasuk perhubungan antarabangsa.

Kita terpaksa akur untuk memperkatakan tentang konsep khilafah lagi. Kalau konsep khilafah ingin ditegakkan secara kasar sudah pasti pertempuran dan peperangan akan terjadi akibat masing-masing negara mempunyai prinsip-prinsip tertentu. Konsep kenegaraan kadang-kala mengundang masalah apabila masalah persempadanan masih tidak selesai yang kalau di Asia Tenggara isu kepulauan Spratly umpamanya. Ini semua akan mencetuskan ketegangan kalau tidak diuruskan secara bijaksana. Oleh itu, persefahaman amat penting dalam konteks hubungan antara negara.

Saya tidak mahu mencampuri urusan kenegaraan dalam artikel ini, tetapi akan disentuh tentang Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (2001-2010). Diharap sentuhan ini masih tidak terlambat kerana ia ‘laku’ dalam tempoh sepuluh tahun. ‘Meningkatkan Keutuhan Dan Daya Saing Negara’, begitulah temanya.

Tema ini sepatutnya dipikul dalam erti kata sebenar bukan sekadar melepas batuk ditangga sahaja. Teras Dasar Wawasan Negara menuju kepada:

1. pembinaan bangsa yang berdaya tahan.

2. penggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama.

3. pengekalan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

4. peningkatan daya saing antarabangsa.

5. pengukuhan pembangunan sumber manusia.

6. penerusan pembangunan alam sekitar yang mampan.

Selain itu, rancangan ini turut menyentuh dimensi baru untuk:

1. membangunkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai masyarakat berasaskan pengetahuan.

2. menjana pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri.

3. menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik.

4. membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil yang miskin.

5. mencapai penyertaan bumiputra dalam sektor utama ekonomi.

6. mengorientasikan semula pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan pengetahuan.

Kalau ditinjau daripada kata-kata di atas maka tiada nampak percanggahannya dengan pentafsiran Islam. Namun yang mendasari dan yang akan melahirkan apa yang tertulis di atas itu semuanya bermula dengan pendidikan dan pentarbiyahan. Tanpanya apa yang dilakukan tidak akan bertahan lama.

Pengkajian yang teliti dalam bidang pendidikan juga mesti dilakukan. Kalau ingin jadikan Malaysia sebuah negara yang kendiri maka perlulah tiada konsep peniruan dilakukan. Penyelidikan ini perlu memasuki semua aspek seperti pensejarahan, pemikiran bangsa dan agama tanpa wujud pemalsuan fakta-fakta.

Pendidikan

Persediaan ini semakin perlu apabila peristiwa 11 September 2001 berlaku dan telah merubahkan sedikit-sebanyak kecenderungan-kecenderungan. Dalam sistem pendidikan, perlu wujud konsep kehierarkian dan kesepaduan. Ini penting untuk menggalakkan pengajian dan mengelakkan pertembungan pemikiran.

Saya cuba mendekati konsep ini berdasarkan teori hikmah Isyraqi. Seorang pemimpin agung dunia, Sultan Muhammad al-Fateh, dengan kesaksian kelebihannya oleh sabda Nabi Muhammad s.a.w., "pasti akan dibuka Kostantinopel, pemimpinnya adalah yang terbaik dan tenteranya adalah yang terbaik" (Riwayat Ahmad). Baginda telah mengarahkan suatu penyelidikan berteraskan hireraki ilmu dan bersifat jangka panjang yang menjangkau beberapa abad selepasnya.

Teks penyelidikan ilmiah kefalsafahan masing-masing bertajuk sama yang ditulis oleh dua orang tokoh terkenal iaitu Khwajah Zadah dan ‘Ala"uddin al-Tusi. Namun baginda sendiri telah mengiktirafkan keutamaan karya Khwajah Zadah serta menganugerahkannya sagu hati. Dalam teksnya, dinyatakan pada awalnya tentang hirerki ilmu di mana matematik dan kejuruteraan dikenali sebagai hikmah-falsafah pertengahan (al-wustha).

Hikmah falsafah

Sebenarnya pengkelasan sebegini amat dan masih relevan dengan era dunia moden kerana matematik meresap dalam pelbagai bidang seperti perkomputeran, ekonomi, teknologi angkasa lepas dan sebagainya. Apabila ia berada ditengah-tengah maka kita akan menyematkan dalam fikiran kita bahawa ia memang boleh dipelbagaigunakan. Inilah kesan psikologi daripada penghirerkian. Dengan cara tidak langsung ia akan meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan.

Elok rasanya dipetik kata-kata Prof. Dr. Baharudin Ahmad (ISTAC) dalam Falsafah Sains Daripada Perspektif Islam menyatakan bahawa "apa yang ingin kami tunjukkan di sini adalah masyarakat umum perlu sedar bahawa khayalan mengenai sains dan teknologi yang mereka lihat di sekeliling mereka sebagai mutlak dan hakiki adalah salah dan mengelirukan."

"Dalam apahal sekalipun negara-negara Islam perlu mencari semula falsafah sainsnya sendiri, kalaupun tidak sains dan teknologinya sendiri. Sains dan teknologi ini akan ada apabila falsafah sains yang jelas dapat dikemukakan oleh sama ada dunia Islam, Dunia Ketiga ataupun rumpun masyarakat keagamaan umumnya. Falsafah ini adalah satu alternatif baru yang dapat mencabar ‘kemutlakan’ sains kini...Kebanyakan mereka lebih mementingkan program tindakan yang aktif walaupun isi kandungan konsep sains dan teknologi yang ingin diketengahkan belum ada."

Sains dan teknologi

Kalau kejuruteraan dan matematik berada ditengah-tengah pelbagai ilmu maka ilmu ketuhanan dan metafizik atau ma ba’da al-thabi’ah berada di peringkat tertinggi. Bidang ini mengkaji tentang realiti kewujudan. Kewujudan yang tertinggi ialah Allah S.W.T. Ini masih dipelajari sebagai teks-teks sifat dua puluh masih mengikuti pendekatan falsafah-hikmah Isyraqi.

Ini sebagaimana pentakrifan Syaikhul Azhar al-Marhum Hasan al-Attar (w.1835M), hikmah ialah ilmu yang membahaskan tentang perihal mata objek-objek maujudat menurut realiti keadaannya dengan kadar kemampuan manusia dan bentuk ilmu yang tinggi itu ialah yang kembali kepada bahasan tentang Zat Wajib al-Wujub iaitu Allah...".

Pembaca boleh memahami apa itu falsafah atau hikmah Isyraqi dalam buku saya terbaru berjudul "Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi" Manakala peringkat terkebawah atau ilmu tabii atau hikmah sufla yang juga asas-asas hikmah (ushul al-hikmah) merangkumi pelbagai bidang kajian ilmiah seperti pengukuran tanah, ilmu perairan, ilmu optik, ilmu sukatan, astronomi.

Hikmah Isyraqi

Di peringkat inilah bahasan sebab dan akibat, qadim atau baharu alam dan sebagainya diperdebatkan. Ia merangkumi major dan minor dan ini membuktikan secara jitu kesyumulan Islam bukan sekadar tasawwur yang bersifat umum sahaja. Dalam konteks Sunni, kajian usuluddin sebagai pemiawai telah ditetapkan dengan dua mazhab utama iaitu pendekatan Abu l-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi seterusnya diperkukuhkan dalam falsafah atau hikmah Isyraqi dalam konteks keglobalan paradigmanya terhadap kosmologi.

Apabila umat Islam maju dalam sains dan teknologinya mula timbul kesedaran oleh orang Barat dan mula mengkaji bahan-bahan timur akhirnya muncul Newtonian, Francis Bacon, hingga ke zaman Kerelatifan Albert Einstein dan Quantum-Planckian. Namun demikian hikmah Isyarqi tetap dipelihara oleh pembela-pembelanya dan semakin minat dikaji oleh barat non-muslim pula.

Sehinggakan Dr. Mohammed Arkoun, seorang pengkaji Perancis terkenal, pun menggalakkannya dalam bukunya berjudul Rethinking Islam. Saya yakin suara harapan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga boleh diselesaikan juga melalui paradigma Isyraqi dan perlu dikreatifkan mengikut kesesuaian.

Bukan setakat itu sahaja, hikmah Isyraqi menawarkan pakej pengkelasan berhubungan dengan urusan antara manusia. Pada konteks ini, ia menyentuh tiga jenis tindakan manusia:

1. perbuatan individual.

2. perbuatan kolektif pada peringkat keluarga.

3. perbuatan kolektif pada peringkat kota dan negara.

Ketiga-tiga jenis tindakan itu merangkumi:

1. pendidikan moral (tahdzib al-akhlaq), Buku dalam kategori ini boleh didapati, antaranya Ilm al-Akhlaq susunan Imam Fakhruddin al-Razi, terjemahan ke bahasa Inggeris oleh M.S.H. Ma’sumi manakala terjemahan Indonesianya dengan judul Ruh Dan Jiwa: Tinjauan Filosofis Dalam Perspektif Islam terbitan Risalah Gusti, bila dibaca ia benar-benar bersifat bersepadu dan amat berbeza dengan aspek etika menurut pandangan moden.

2. pentadbiran (tadbir al-manzil) dan,

3. politik (al-siyasah al-muduniyyah).

Pengklasifikasian ini turut diterimapakai oleh pakar falsafah-hikmah Kerajaan Uthmaniyyah, Turki, al-Syaikh al-Muhaqqiq Khwajah Zadah (wafat 893H/1487M) dalam kitabnya. Begitu juga dalam Al-Maqulat al-Wadhihat oleh Yusuf Ali Yusuf dan Sulaiman Abdul Fattah, cetakan pertama, 1959/1378. Kitab kecil ini digunakan untuk tahun pertama Kuliyyah Syariah, al-Azhar. Tidak tahu sama ada ia masih diterima pakai di al-Azhar kini atau tidak. Juga, dalam Classification Of Knowledge In Islam oleh Prof. Dr. Osman Bakar.

Klasifikasi

Kesimpulannya, segala perancangan sama ada yang melibatkan kepercayaan, keetikaan, kemajuan ekonomi, kemajuan sains dan teknologi boleh dimantapkan dengan paradigma Isyraqi. Universiti Penyelidikan yang diidam-idamkan mungkin boleh direalisasikan tanpa kemarahan kepada aliran-aliran lain di pelbagai institusi pendidikan. Secara tidak langsung akan memantapkan keharmonian pelbagai kaum di Malaysia dan mugkin akan menjadi contoh kepada negara-negara lain pula. Selamat Maju Jaya dengan Islam Syumul.

..................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com