UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




UMNO anjur skim pecahbelah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Hasutan pembangkang kepada rakyat supaya tidak memberi kerjasama terhadap pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri disifatkan sebagai suatu tindakan tidak beradab. Dengan nada tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Haji Abu Bakar Chik ketika menggulung perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini berkata, pembangkang menjalankan kempen kotor menghasut peneroka Felda Neram Satu supaya tidak turun menerima Suratan Hak Milik Tanah dari pemimpin kerajaan negeri.

"Saya mahu mengesahkan bahawa saya ada mendapat laporan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Haji Awang Jusoh yang mengatakan baru-baru ini ADUN Ajil, Encik Rosol Wahid turun ke Felda itu bersama bekas exco kerajaan dahulu Encik Mohd. Said mengajak peneroka tidak menerima suratan hak milik itu."

"Saya nak tanya betul atau tidak dia buat demikian," soalnya. Encik Rosol bangun menjawab: "Betul Yang Berhormat Yang Dipertua." Haji Abu Bakar berkata, dia bercakap demikian kerana dia sentiasa dihalau daripada dewan tetapi Mohd. Said bercakap supaya peneroka felda itu tidak turun apabila Menteri Besar menyerahkan suratan hak milik kepada peserta Felda tersebut.

"Ini adalah satu kempen yang kotor, pengkhianat kepada pembangunan dan rakyat negeri sendiri. Bagaimanapun Menteri Besar diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Haji Wan Abdul Muttalib Embong untuk menyampaikan suratan hak milik itu."

Haji Abu Bakar mempersoalkan adakah patut Kerajaan mahu serahkan suratan hak milik kepada rakyat pemimpin pembangkang melarang rakyat supaya tidak turun menemui pemimpin kerajaan negeri untuk mendapatkan suratan itu. Beliau juga mempertikaikan sifat pemimpin sedemikian dengan berkata: "Kita nak beri surat hak milik dia pula larang supaya jangan turun untuk terima geran. Apakah pemimpin bentuk ini?"

"Sudahlah kita tidak beri geran kepada rakyat puluhan tahun, menjadikan rakyat papa dan juga hamba kepada agensi-agensi kerajaan. Apabila diberi, rakyat dilarang berbuat demikian," jelasnya. Beliau memberitahu DUN bahawa pembukaan tanah Felcra ada yang tidak dibahagikan dengan betul kepada rakyat, perjanjian tidak sempurna dan CAC tidak bayar berpuluh-puluh juta kepada Kerajaan.

Katanya, Felda sepatutnya membawa masuk peserta tetapi tidak berupaya berbuat demikian sehingga didapati, kira-kira 40,000 ekar tidak ada peserta. Beliau juga menasihatkan pemimpin sedemikian menghentikan sikap suka memperhambakan rakyat melalui skim-skim yang sedia ada. "Kita bukan marah tetapi berunding. Berunding dalam sistem demokrasi. Buat cara inilah di samping buat check and balance.

"Kalau pihak kerajaan tidak betul tak apa, kita terima tidak betul. Minta maaf tak apa lagi, bahkan serah jawatan tak apa, susah apa sebab kita percaya bahawa hari akhirat lebih dahsyat daripada apa yang ada di atas dunia ini," jelasnya.

Beliau berhasrat untuk membuat check and balance terhadap kerja-kerja yang lalu. Justeru beliau mengharapkan supaya tidak ada sekatan terhadap pembangunan yang mahu dibuat termasuk dari segi kewangan, peraturan dan moralnya. "Kemudian kempenlah pilihan raya akan datang kalau menang ambillah. Sekarang ini biar kita bekerja untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan oleh rakyat," ujarnya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Januari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com