UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




KENAIKAN TARIF TELEKOM MALAYSIA: SATU TINDAKAN YANG MEMBEBANKAN

KENYATAAN AKHBAR

KENAIKAN TARIF TELEKOM MALAYSIA: SATU TINDAKAN YANG MEMBEBANKAN RAKYAT DAN MEMBANTUTKAN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Pergerakan Pemuda keADILan menyatakan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif perkhidmatan Telekom Malaysia.

Pengumuman kenaikan tarif tersebut, yang dibuat oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Leo Moggie anak Irok merupakan satu tamparan hebat kepada semua rakyat Malaysia.

Keputusan Leo Moggie, yang akan bersara dari politik dalam tempoh beberapa bulan ini, merupakan satu tindakan yang membebankan rakyat – terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pengguna muda yang merangkumi generasi Internet dan para pengguna di luar bandar – serta menunjukkan sikap kerajaan yang tidak serius dalam membina infrastruktur komunikasi yang canggih dan berdayasaing di zaman teknologi maklumat ini.

Pemuda keADILan juga menyatakan rasa kecewa terhadap alasan yang diberikan oleh Leo Moggie iaitu kononnya kenaikan tarif itu

“akan melicinkan lagi kecekapan industri telekomunikasi dan mengurangkan jurang digital antara pengguna di bandar dan luar bandar”
(The Star, 20 Februari).

Sebenarnya kenyataan itu tidak benar, palsu dan satu penipuan semata-mata. Ianya menutup kenaikan yang memeras rakyat di setiap peringkat. Tambahan pula, menurut siaran media Bloomberg 20 Februari, kenaikan ini membolehkan Telekom Malaysia menambah keuntungan bersihnya pada tahun 2002 sebanyak lebih 2%.

Mengikut kajian Pemuda keADILan, realiti sebenar di sebalik pengumuman lunak Leo Moggie itu adalah seperti berikut::

• Bagi pengguna persendirian, kenaikan sewa telefon dari RM 20 kepada RM 32 sebulan bermakna pertambahan sebanyak 15%. Ini bermakna kenaikan hampir 14 kali ganda berbanding purata inflasi untuk tahun 2001. Sebenarnya, Leo Moggie tidak pula memasukkan kos pemansuhan rebat (sekarang sebanyak 100 unit sebulan, pada harga 9 sen setiap unit) yang menjadikan kos sebenar kepada pengguna sebanyak RM 32 sebulan atau RM 384 setiap tahun (hampir 29 kali ganda kadar inflasi negara)

• Bagi pengguna perniagaan pula, kenaikan setelah pemansuhan rebet ialah dari RM 36 sebulan kepada RM 54 sebulan (hampir 49 kali ganda kadar inflasi). Ini juga bermakna pengguna persendirian menanggung kenaikan lebih tinggi berbanding pengguna perniagaan.

• Begitu juga untuk kos panggilan, kenaikan untuk pengguna telefon awam adalah 17% lebih tinggi daripada untuk pengguna biasa. Padahal, kebanyakan pengguna telefon awam adalah mereka yang berpendapatan rendah dan pengguna di luar bandar. Sebaliknya, kerajaan telah memaksa mereka untuk membayar kos yang merupakan kenaikan 49%. Bila mana para pengguna di bandar-bandar boleh menukar kepada perkhidmatan telefon bimbit, golongan berpendapatan rendah tidak mampu berbuat demikian. Di luar bandar pula, liputan perkhidmatan telefon bimbit (“coverage”) yang buruk pula menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan telefon awam

• Kenaikan tarif untuk panggilan ke Singapura, Brunei dan Thailand juga membuktikan kerajaan tidak serius dalam membangunkan hubungan komunikasi dan perniagaan antara negara-negara ASEAN. Walhal, negara-negara jiran telah pun melakukan langkah yang sebaliknya. Bermula 12 Februari lepas, SingTel (Singapore Telecom) telah menurunkan tarif panggilan ke Malaysia daripada S$0.25 (RM 0.51) seminit kepada RM S$0.19 (RM 0.39) seminit – penurunan sebanyak 31%.

• Sebenarnya, Leo Moggie tidak menjelaskan sebab sebenar kenapa beberapa tarif panggilan antarabangsa diturunkan. Penurunan kadar ke Eropah dan Australia bukanlah kerana kerajaan bermurah hati, tetapi kerana kos panggilan antarabangsa telah turun secara mendadak dan Telekom Malaysia tidak lagi perlu membayar harga yang mahal kepada pihak di negara luar yang menyambung panggilan itu. Di Australia, contohnya, kos panggilan ke Malaysia turun 55% pada tahun 2001 berbanding tahun 2000

• Telekom Malaysia juga menghadapi saingan hebat daripada pembekal perkhidmatan telefon antarabangsa berasaskan Voice Over IP (VoIP – penghantaran data melalui protokol Internet). Mereka menawarkan khidmat panggilan antarabangsa pada kadar 30-75% lebih murah dari Telekom Malaysia. Tetapi, kerajaan bukannya meminta Telekom Malaysia bersaing secara adil, tetapi memaksa pengguna membayar kos yang tinggi itu

Pemuda keADILan merasa kesal atas tindakan kerajaan kerana ia membebankan hampir 3.5 juta pelanggan persendirian Telekom Malaysia.

Menurut Leo Moggie, kerajaan membayar subsidi sebanyak RM 150 juta setiap tahun kepada Telekom Malaysia. Kenyataan ini sungguh tidak masuk akal dan melucukan kerana Telekom Malaysia melaporkan keuntungan bersih yang cukup tinggi, seperti yang dapat dilihat dalam carta berikut:

• Sepatutnya Telekom Malaysia turut mengeluarkan jumlah subsidi yang serupa dengan kerajaan Malaysia daripada hasil Pendapatan Sebelum Cukainya. Ini akan menurunkan kadar sewa bulanan pelanggan persendirian daripada RM 20 sebulan sekarang kepada RM 16 sebulan (penurunan 25%)

• Sebenarnya, kerajaan Malaysia tidak perlu lagi memberi subsidi kepada Telekom Malaysia kerana keuntungan syarikat tersebut sudah cukup besar dan untuk tahun 2001 subsidi itu hanya 7% daripada jumlah Pendapatan Sebelum Cukai yang dianggarkan

• Telekom Malaysia sepatutnya diarahkan menggunakan tidak kurang daripada 15% Pendapatan Sebelum Cukainya setiap tahun untuk membayar balik subsidi kerajaan ataupun menurunkan harga perkhidmatannya

• Penswastaan Telekom Malaysia terbukti satu kerugian besar untuk rakyat yang masih terus membiayai subsidi sedangkan pemegang saham Telekom Malaysia mengaut keuntungan buta semata-mata

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, Pemuda keADILan dengan tegas menuntut agar:

• Kerajaan segera membatalkan pengumuman kenaikan tarif yang dibuat oleh Leo Moggie tempoh hari, demi mempertahankan hak pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, peniaga kecil, pelanggan di luar bandar dan generesi muda yang merupakan pelopor masyarakat “on-line”

• Kerajaan membatalkan subsidi sebanyak RM 150 juta kepada Telekom Malaysia bagi tahun 2001, 2002 dan untuk tahun-tahun seterusnya serta mengarahkan Telekom Malaysia menampung subsidi itu dari Untung Bersihnya untuk tahun-tahun tersebut

• Kerajaan mengarahkan Telekom Malaysia memulakan sistem mengenakan caj panggilan telefon mengikut tempoh penggunaan setiap saat dan bukannya setiap unit seperti yang dilakukan sekarang. Kesemua negara jiran telah pun menggunakan sistem yang lebih adil ini dan Telekom Malaysia sudah terlalu jauh ketinggalan

• Telekom Malaysia hendaklah mengenakan caj panggilan telefon lokal yang lama sebanyak 9 sen setiap tiga minit sahaja untuk semua panggilan kepada pembekal talian Internet (internet service provider) demi menggalakkan pertumbuhan industri multimedia negara ini

• Telekom Malaysia hendaklah mengembalikan rebat 100 unit percuma setiap bulan kepada semua pelanggan berkuatkuasa serta merta

• Telekom Malaysia hendaklah menghentikan kenaikan harga ke atas setiap panggilan telefon awam dan memberi diskaun kepada setiap pengguna telefon awam yang menggunakan kad telefon bagi membantu mengurangkan masalah salah guna telfon awam (“vandalism”)

• Kerajaan Malaysia hendaklah segera membantu penubuhan syarikat-syarikat pembekalan khidmat panggilan jarak jauh melalui protokol internet (Voice over IP – VoIP) yang lebih murah untuk memberi saingan kepada Telekom Malaysia dan mewujudkan pilihan kepada pengguna

• Kerajaan hendaklah mengumumkan pelan tindakan lima tahun untuk menurunkan bayaran panggilan jarak jauh dan mengarahkan Telekom Malaysia bertindak mengikut pelan tersebut

• Kerajaan hendaklah membuat jaminan bahawa panggilan telefon lokal di bawah radius 25km akan dijadikan khidmat percuma dalam masa tiga tahun akan datang sesuai dengan sistem yang diguna-pakai oleh syarikat-syarikat telekom ternama di seluruh dunia

Semua langkah-langkah ini harus dilakukan segera dengan menekankan tanggungjawab sosial Telekom Malaysia terhadap semua rakyat Malaysia dan bukannya hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Yang benar,

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Timbalan Ketua Pemuda keADILan

21 Februari 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com