UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kampus hanya kilang produk pasaran buruh

Oleh : Aman Rais

Langkah membersihkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada "anasir-anasir subversif" yang boleh meracuni fikiran pelajar, pengajar dan kakitangan diteruskan lagi - kali ini dengan ikatan akujanji atau dalam perkataan lain, ikrar taat setia.

Mulai April depan semua warga kampus ini diwajibkan berbuat demikian. Dalam akujanji ini mereka dikehendaki taat setia kepada Yang Dipertuan Agong, negara, kerajaan dan universiti, melaksanakan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah serta tidak membelakangkan kewajipan kepada universiti.

Akujanji ini dilihat sebagai langkah terdesak kerajaan untuk mengekang minda warga kampus supaya hanya taat setia dan menyokong kerajaan setelah para pelajar dan tenaga pengajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti menentang kerajaan.

Kerajaan berharap akujanji secara paksaan ini akan menyedarkan warga kampus tentang tanggungjawab mereka sebagai pengajar dan pelajar, mengenepikan politik kepartian serta kembali menyokong kerajaan yang sedia ada.

Kebelakangan ini pelbagai tindakan diambil untuk mengawal kebangkitan warga kampus dalam arus politik negara, antaranya termasuklah penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas beberapa orang pemimpin pelajar, mengenakan tindakan disiplin ke atas pengajar dan pelajar, mengawal pilihanraya kampus dan membubarkan persatuan-persatuan yang disyaki menjadi sarang pengaruh parti-parti pembangkang.

Tidak demokratik

Setelah mengggunakan pendekatan-pendekatan bercorak konfrantasi itu, kerajaan kini menggunakan pula pendekatan psikologi - cuba mempengaruhi minda para pelajar, terutamanya pelajar-pelajar baru, menerusi janji dan ikrar.

Namun persoalannya sekarang ialah dapatkah akujanji yang dipaksa ke atas para pelajar ini menimbulkan kesedaran, menanam sikap bertanggungjawab kepada kuliah dan rasa bersalah memungkiri janji dan ikrar? Atau mungkinkah ia akan menyemarakkan lagi kemarahan dan protes pelajar terhadap kerajaan yang dilihat cuba menjadikan mereka seperti "budak sekolah"?

Banyak pihak melihat akujanji yang dijadikan sebahagian daripada peraturan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) itu akan mendatangkan kesan buruk kepada kerajaan. Ia akan dijadikan isu oleh parti-parti pembangkang untuk menuduh kerajaan sebagai tidak demokratik.

Malahan akujanji ini dijangka menyemarakkan lagi konfrontasi antara warga kampus dengan pihak pentadbir universiti dan kerajaan kerana ia mencabar kematangan dan kewarasan mereka selain daripada bermotifkan politik.

Kerajaan mungkin berjaya memaksa warga kampus menandatangani surat akujanji berkenaan tetapi sumpah dan ikrar itu mungkin ditinggalkan sebagai kertas kosong selepas itu. Sebagaimana Auku 1971 yang gagal mengekang gerakan mahasiswa, begitu juga nasib surat akujanji baru ini kelak.

Pelajar robot

Tiada siapa menyangka gerakan mahasiswa yang telah disenyapakan sejak 25 tahun lalu tiba- tiba kembali panas bila meletus peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatannya dalam parti dan kabinet. Para pelajar daripada pelbagai pusat pengajian telah menjadi barisan depan dalam demonstrasi jalanan dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihanraya.

Jelas sekali senario ini amat menakutkan kerajaan, oleh itu kebangkitan ini perlu dibendung segera. Kini para pelajar hanya dibenarkan berpolitik jika mereka memakai jaket Pemuda Umno atau Puteri Umno.

Akujanji ini juga dilihat sebagai usaha untuk menjadi para pelajar sebagai robot. Mereka cuma dikehendaki belajar dan lulus peperiksaan dengan cemerlang. Para pelajar mahu disekat bakat kepimpinan dan kecenderungan politik mereka semata-mata kerana sikap semulajadi "anti-establishment " yang membara di dada mereka.

Nampaknya pusat pengajian tinggi hanya mahu dijadikan kilang untuk melahirkan produk untuk pasaran buruh. Kerajaan yang sedia ada juga mahu menjadikan kampus kilang melahirkan penyokong-penyokong dan kader-kader Barisan Nasional khususnya Umno.

Tanda soal besar

Akujanji ini adalah bayangan ketakutan kerajaan terhadap kebangkitan kesedaran para pelajar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

Kerajaan mungkin berpuas hati dapat memaksa warga kampus "taat setia" padanya tetapi selama mana dan setulus mana ketaatan dan kesetiaan itu adalah satu tanda soal yang sangat besar.

Ditakuti janji akan tinggal janji, ikrar sekadar di mulut dan kerajaan dimakan sumpah bila surat akujanji ditandatangani sekadar memenuhi syarat untuk memasuki universiti atau mendapatkan pekerjaan.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com