UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




RINGKASAN BERITA PEMUDA - Khamis 7 Februari 2002

************************************************************
E-mail ini dihantar oleh Sekretariat Pemuda keADILan Pusat
Untuk maklumat dan berita lanjut, sila lawat Laman Pemuda di
http://pemuda-keadilan.org
************************************************************

1) Tuduhan ke atas DSAI dibuat-buat, perbicaraan tidak adil: panel peguambela

KUALA Lumpur: Panel peguambela yang mewakili DSAI dalam rayuan kes salahguna kuasa beliau memberitahu Mahkamah Agung semalam bahawa DSAI telah dipenjarakan kerana tuduhan yang dibuat-buat.

Menurut peguam Haji Sulaiman Abdullah, yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah mendengar kes tersebut secara tidak adil.

Kata beliau, sejak awal lagi setiap bukti yang dibawa oleh peguambela tidak dibenarkan, atau disoalsiasat secara berlebihan oleh Hakim S Augustine Paul.

Sepanjang perbicaraan tersebut, hakim Augustine Paul 'mencipta' nama sendiri kerana istilah 'tidak relevannya' yang digunakan untuk menolak bukti yang dibawa pihak pembela.

Seorang lagi peguambela DSAI pula meminta Mahkamah Agung menimbang tindak tanduk pendakwaraya sepanjang perbicaraan tersebut.

Beliau memetik peristiwa di mana affidavit diserahkan ke mahkamah apabila pendakwaraya (ketika itu DPP Gani Patail dan DPP Azahar) cuba mengugut Datuk S. Nallakarupan mereka-reka bukti untuk mensabitkan DSAI.

Akibatnya, peguam kanan DSAI Zainur Zakaria dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan kerana dituduh 'menghina mahkamah' apabila beliau membawa perkara itu. Mahkamah Persekutuan walau bagaimanapun mengkritik keras tindakan Hakim A Paul itu, disamping menolak hukuman yang dijatuhkan.

Ketika Raja Aziz berhujah mengenai percubaan Gani Patail mereka-reka bukti, Ketua Hakim Negara Tan Sri Dzaiddin Abdullah meminta kedua-dua mereka (Gani dan Azahar) meninggalkan kamar.

Hari ini adalah hari terakhir perbicaraan kes rayuan itu.

2) Tidak setuju dengan sesetengah dasar kerajaan bukan bermakna mahasiswa partisan: Biro Belia dan Mahasiswa Pemuda

PULAU Pinang: Jurucakap Biro Belia dan Mahasiswa Pemuda keADILan yang ditemui di sini mengingatkan kerajaan dan Pergerakan UMNO agar menghormati hak gerakan mahasiswa mengambil pendirian mengenai dasar kerajaan.

Beliau mengulas hukuman yang dijatuhkan ke atas sekumpulan pelajar USM yang dituduh 'memalukan universiti' kerana menyertai perhimpunan aman membantah Sekolah Wawasan dan kempen mansuh ISA.

Menurut beliau, di dalam sebuah masyarakat yang matang amalan demokrasinya, gerakan pelajar diberi kebebasan untuk mengambil pendirian kerana mereka adalah pewaris tampuk kepimpinan negara.

"Malah, di negara-negara lain, gerakan mahasiswa bebas mengambil pendirian partisan sekalipun - kerana pemerintah memberi pengiktirafan kepada kematangan mereka membuat keputusan," jelas beliau lagi.

Beliau juga membidas kegilaan Biro Pendidikan Pemuda UMNO yang kini seolah-olah berfungsi hanya untuk melakukan 'witch hunt' - iaitu memburu mahasiswa dan pensyarah yang kononnya 'menentang' pelajar.

"Malang sekali apabila Dr. Adham Baba (Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO) tidak dapat membezakan di antara pendirian partisan dan perbezaan pendapat gerakan mahasiswa," kata beliau lagi.

Setakat ini, Pemuda UMNO sudah menyerahkan nama-nama pensyarah dan mahasiswa yang dituduh bertindak menentang kerajaan. Sementara itu di luar negara, Kelab-kelab UMNO diketahui umum mengumpul nama pelajar yang mereka tuduh 'anti kerajaan'.

"Pemuda keADILan percaya kepada kematangan mahasiswa, oleh itu jika kita mahu mendapat sokongan dan keyakinan mereka, wadahnya adalah diskusi intelek - bukannya peras ugut seperti Pemuda UMNO," sindir beliau.

Beberapa orang pemimpin keADILan termasuk ahli MPT Saudara Cheah Kah Peng dan Saudara Liau Kok Fah (EXCO Pemuda) turut sama memberi sokongan moral di pintu masuk USM di sini kepada sekumpulan pelajar yang dibicarakan untuk dikenakan tindakan tatatertib.

3) HAKAM, Aliran dan SUARAM gesa Jabatan HEM USM henti buli pelajar

KUALA Lumpur: Tiga NGO hak asasi manusia ulung negara mengeluarkan kenyataan bersama semalam yang mengutuk tindakan keras terhadapa beberapa orang mahasiswa USM baru-baru ini.

Jabatan Hal Ehwal Mahasiswa USM sebelum ini mengenakan pelbagai tindakan disiplin terhadap sekumpulan pelajar, kebanyakannya ahli Persatuan Bahasa Tionghua termasuk hukuman gantung pengajian.

Mereka dituduh 'memalukan universiti', sementara seorang pelajar yang lain dihukum kerana 'ditahan' bersama-sama beberapa lencana anti-ISA.

Sekumpulan daripada mereka sebelum ini terlibat di dalam satu perhimpunan aman membantah pelaksanaan Sekolah Wawasan.

Menurut kenyataan ketiga-tiga NGO itu, penyertaan mahasiswa pelbagai kaum (seorang pelajar Melayu turut dijatuhkan hukuman) di dalam perhimpunan aman itu sepatutnya dilihat sebagai perkembangan yang baik ke arah integrasi nasional.

Sebaliknya, pihak berkuasa melihatnya dari konteks mengancam 'keselamatan' mereka, jelas kenyataan itu.

Menurut presiden ketiga-tiga NGO itu, universiti adalah gedung ilmu yang perlu menggalakkan pemikiran kritikal, pertukaran pendapat, percambahan idea dan perbezaan.

Mereka juga mengingatkan pentadbiran USM bahawa sesetengah daripada mereka juga pernah menyertai pelbagai perhimpunan aman menentang ISA dan dasar-dasar kerajaan yang lain, maka mereka sepatutnya menghargai semangat idealisme mahasiswa terbabit.

Selain itu, mereka menyeru agar SUHAKAM memberi pertimbangan sewajarnya untuk membela nasib mahasiswa terbabit.

4) Zahid Hamidi kecewakan hasrat rakyat

KUALA Lumpur: Tinjauan pemuda-keadilan.org di kalangan beberapa orang aktivis muda mengenai Datuk Zahid Hamidi mendapati kebanyakan mereka kecewa dengan sikap acuh tidak acuh Datuk Zahid.

Menurut mereka, rakyat dan ahli UMNO sendiri tahu hati Datuk Zahid tetap bersama-sama dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Malah dalam beberapa pertemuan dengan Timbalan Ketua Pemuda keADILan YB Saudara Saifuddin Nasution Ismail, beliau dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan Dato' Seri Anwar yang semakin merosot.

"Tetapi sebab kepentingan peribadi, beliau tidak sanggup menurut akal dan hati beliau," jelas seorang ahli Pemuda yang ditemui di sini.

"Saya sendiri sering meilhat dia di rumah Dato' Seri Anwar semasa Anwar mula-mula dipecat dahulu - samalah juga dengan Datuk Dr. Ibrahim Saad - tetapi kedua-duanya lebih pentingkan kemewahan dari kebenaran," kata beliau lagi.

Datuk Zahid Hamidi kini berada di tengah-tengah kontroversi apabila bekas Setiausaha Pemuda UMNO yang berkhidmat di bawahnya, iaitu Timbalan Ketua Pemuda keADILan YB Saudara Saifuddin Nasution mendedahkan cubaan beliau (Zahid) mengkritik amalan rasuah berleluasa di dalam UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 1997.

Pendedahan itu dibuat sebagai tindakbalas fitnah dan momokan tidak bertanggungjawab Pergerakan Pemuda UMNO yang merendah-rendahkan Saudara Ezam dan Pergerakan Pemuda keADILan.

Semalam, pemuda-keadilan.org dimaklumkan Datuk Zahid menghantar SMS meminta agar perkara ini tidak terus dibawa.

Walau bagaimanapun, beberapa orang aktivis Pemuda yang ditemui mahu tekanan terus diberikan kepada ahli politik seperti Datuk Zahid dan Datuk Hishamuddin Tun Hussein, yang mereka sifatkan sebagai 'musang'.

"Semasa Anwar dipecat dahulu, Hishamuddinlah yang menangis di hadapan Anwar kononnya mahu melawan - senyap-senyap dia berpaling tadah," ungkit seorang bekas aktivis pelajar yang mendakwa turut sama berada di rumah Dato' Seri Anwar ketika itu.

"Biarlah Datuk Zahid tenggelam dengan kereta-keretanya," sindir mereka lagi, membuat rujukan kepada pepatah silam 'luncai dan labu-labunya.

5) Pemuda Rasah anjurkan Majlis Sembang-sembang Berdiskusi, bincang gerakan rakyat

SEREMBAN: Satu program diskusi dan forum akan dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda keADILan Bahagian Rasah pada hari Sabtu ini, jam 9 malam. Ia akan diadakan di Pejabat keADILan Rasah (di Taman Negeri, Hadapan Shell Batu 3, Mambau).

Menurut moderator Cikgu Badrul Hisham Shaharin, tema program diskusi itu berkisar sekitar pengurusan gerakan rakyat dan cabaran gerakan rakyat dalam menumbangkan sebuah rejim yang zalim.

Cikgu Badrul yang juga EXCO termuda Pemuda keADILan turut berharap rakyat akan sama-sama menyertai perbincangan untuk menghuraikan "acuan gerakan rakyat yang sesuai dengan peradaban budaya masyarakat Malaysia dan menyantuni Perlembagaan negara", terutamanya dalam konteks berhadapan dengan pemerintah seperti Barisan Nasional.

Program diskusi itu akan turut disertai oleh ahli panel tokoh-tokoh pelajar yang pernah menyertai dan melihat sendiri gerakan rakyat di negara-negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan.

Jelas Cikgu Badrul, program sebegini amat perlu dihadiri oleh rakyat untuk belajar dari gerakan-gerakan rakyat di negara lain yang pernah melalui pahit getir perjuangan seperti kita.

**********************************************************************
Untuk menerima maklumat lanjut dan berita mengenai Pemuda
keADILan, sila lawat laman Pemuda di
http://pemuda-keadilan.org
atau hantarkan e-mail kepada webmaster@pemuda-keadilan.org
***********************************************************************






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com