UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Keadilan akan terus berceramah- Timbalan Presiden

Oleh Mohd Derus

KUALA LUMPUR: Keadilan akan terus berceramah untuk menerangkan isu-isu terkini kepada ahli dan juga rakyat walaupun tidak diberikan permit.

Timbalan Presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman menegaskan pendirian Keadilan tersebut ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, tidak pernah terjadi ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh pembangkang menimbulkan kekacauan dan huru-hara.

"Yang terjadi adalah apabila orang ramai yang menghadiri ceramah diserang oleh polis menyebabkan keadaan tidak terkawal kerana mereka lari menyelamatkan diri," katanya.

Ketika ditanya mengenai kejadian penyokong PAS dituduh membakar trak polis di Baling, Kedah, beliau berkata, semua pihak seharusnya menunggu laporan siasatan kejadian tersebut dulu sebelum membuat tuduhan.

"Sesiapa sahaja boleh membakar trak tersebut, jadi kita tunggulah siasatan selesai dibuat terlebih dahulu," ujur beliau.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, Malaysia sepatutnya diisytiharkan sebagai negara milik pihak tertentu atau 'estet' kepunyaan sesiapa dan bukan lagi negara demokrasi, sekiranya larangan ceramah diteruskan.

"Usaha untuk menutup program-program ceramah adalah langkah menghalang naluri manusia daripada berkembang.

"Sudah menjadi naluri manusia untuk mengetahui sesuatu perkara yang berlaku bagi dijadikan panduan mereka untuk memilih parti yang terbaik bila sesuatu pilihan raya diadakan," katanya.

Manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini adalah satu tindakan untuk menyelamatkan Umno yang berada dalam ketakutan kerana ceramah-ceramah mereka tidak dihadiri oleh orang ramai.

"Malangnya, mereka (pemimpin Umno) memaksa polis supaya bertindak di luar daripada amalan demokrasi, akhlak demokrasi dan mereka mahu supaya penyokong-penyokong PAS bertempur dengan polis. Inilah adalah satu cara yang tidak patut dan tidak wajar," ujarnya yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.

Semasa menjawab pertanyaan mengenai jemputan berceramah, beliau berkata: "Kita menghadiri di mana sahaja tempat kita dijemput berceramah kerana urusan permohonan adalah urusan di tempat berkenaan, bukan urusan kita. Urusan kita ialah menghadiri jemputan.

"Apabila kita dijemput, kita hadir di mana sahaja di seluruh negara, sama ada dapat kebenaran ataupun tidak, itu terpulang kepada negeri masing-masing," katanya yang dipetik daripada laman web Harakahdaily.com.

Beliau juga berkata, kepemimpinan PAS tidak menghalang setiap organisasi parti untuk mengadakan ceramah kerana perjuangan PAS berlandaskan kepada perlembagaan dan demokrasi yang menjadi dasar negara.

"Kita menganggap apa yang berlaku ini (mengharamkan ceramah) adalah satu penyelewengan daripada prinsip demokrasi dan kita mahu mempertahankan demokrasi," ujarnya.

Sementara itu, akhbar arus perdana melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menarik balik larangan mengadakan ceramah umum yang dikuatkuasa sejak Julai tahun lalu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com