Oleh BAHARUDDIN MOHD NOOR
1. Isu rasuah Khir Toyo yang dikendalikan oleh pihak tuan semakin membingungkan
rakyat. Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sama ada Khir Toyo telah disiasat
ataupun belum, begitu juga dengan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor yang
lain, tidak terkecuali Pengarah JKR Selangor, Pengarah Jabatan Bekalan Air
Selangor dan nama-nama yang disebutkan dalam aduan rasmi sebanyak lima kali itu.
Sedangkan pengadunya, Ahmad Lutfi Othman berulang kali naik turun pejabat BPR di
Kompleks PKNS Shah Alam.
2. Lutfi dalam aduan terakhirnya mengenai penebangan kayu balak di Kompatmen 78
Hutan Simpan Hulu Langat seluas 1,200 ekar kepada kroni Dr Khir, iaitu Pua Kim
Seng, menegaskan bahawa beliau tidak mahu lagi membuat laporan rasmi mengenai
kes rasuah Khir Toyo kepada BPR kerana tidak lagi yakin badan itu boleh
bertindak bebas menyiasat anak emas Mahathir.
3. Justru, saya merasa perlu bagi BPR menyiasat kes terbaru yang dibongkar
Lutfi, iaitu tentang MEMBEKAL DAN MEMASANG PAIP AIR BESI KELULI BERUKURAN 1200
MM GARISPUSAT DARI KOLAM AIR SEMENYIH KE PEKAN BANTING, SEJAUH 37KM, BERNILAI
RM82,385,182.80. Menurut surat setuju terima tender yang ditandatangani Dr
Khir, No. Kontrak projek ini ialah JBA/SEL/217/2001.
4. Di bawah ini disertakan cadangan harga oleh seorang kontraktor yang
berpengalaman selama 20 tahun dalam kerja-kerja membekal dan memasang paip air
di Selangor:
5. Dalam bidang kerja membekal paip berkenaan, yang saiznya 1.2m, kadar bagi
satu meter ialah RM650.00. Ini bermakna bagi jarak sejauh 37km ataupun 37,000
meter, kosnya ialah RM24,050,000.00.
6. Manakala bagi bidang kerja mengorek dan memasang paip berkenaan, kadar kerja
ialah RM150.00 bagi satu meter. Ini bermakna bagi jarak 37 km, kosnya tidak
boleh melebihi RM5,550,000.00. Oleh itu jumlah bagi kos membekal dan memasang
paip berkenaan ialah RM29,600,000.00.
7. Anggaran kos bagi preliminari, iaitu kira-kira 5% daripadanya, yakni
RM1,480,000.00. Manakala jika dikira kadar keuntungan sebanyak 20% daripada
semua kos berkanaan, maka kontraktor sudahpun mendapat untung RM6,216,000.00.
Jumlah besar ialah RM37,296,000.00.
8. Jadi, cuba bayangkan berapa banyak untung yang diperolehi oleh LBH
Engineering, yang beralamat di No 39-A, Jalan BRP ¼, Bukit Rahman Putra, Sungai
Buloh, 47000 Selangor, apabila mereka mendapat kontrak bernilai lebih RM82 juta?
Bukankah keuntungan untuk LBH lebih RM50 juta, maka tidak hairanlah jika ada
pihak mendakwa Khir mendapat imbuhan lumayan lebih RM20 juta daripada projek
mewah ini.
9. Harap BPR dapat menjalankan siasatan dengan berani, tanpa takut dan
profesional.