UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Kumpulan orientalis cuba gugat umat Islam Singapura

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

SINGAPURA, Khamis: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) mendedahkan kewujudan kumpulan orientalis ala Singapura yang didukung pegawai kerajaan untuk melemahkan umat Islam republik ini.

Puak berhaluan kanan yang berpengetahuan luas mengenai agama Islam serta fasih berbahasa Arab itu menimbulkan kebimbangan masyarakat Melayu Islam yang menjadi golongan minoriti di negara pulau ini.

Setiausaha Agung PKMS, Mohd Rahizan Yaacob, menyifatkan kumpulan orientalis ala Singapura menyamai orientalis Barat ketika zaman penjajahan dulu yang menekan kaum minoriti.

Malah, katanya, kumpulan orientalis itu sudah mula kelihatan di republik ini, lebih-lebih lagi berkaitan dengan soal agama.

“Kumpulan (orientalis) terbabit biasanya cuba mempelajari sesuatu bidang, contohnya agama Islam dan akan mengkaji serta menganalisis ilmu yang mereka pelajari.

“Daripadanya, mereka menyusun pelbagai strategi selepas mengenal pasti kelemahan mahu pun kekuatan dalam bidang yang diceburi bagi mencengkam kumpulan sasaran itu.

“Perkara itulah yang saya khuatir, malah (kewujudan puak orientalis) sudah mula dikesan di sini (Singapura) dan strategi kumpulan boleh mencabut pemikiran orang Melayu itu.

“Inilah masalah sebenarnya dan ia bukan setakat berlaku di Singapura, tetapi cuba diserkap sehingga kawasan serantau terutama sekali Malaysia,” katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di pejabat PKMS di Changi Road, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Berita Harian hari ini, yang memetik desakan seorang rakyat Singapura supaya kerajaan republik itu menjelaskan kesahihan peraturan melarang murid perempuan memakai tudung daripada sudut perlembagaan.

Abdul Kareem Said, 47, dipetik sebagai berkata, peraturan melarang pemakaian tudung jelas bertentangan dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Singapura.

Mengulas kenyataan itu, Mohd Rahizan berkata, keadaan di republik ini sekarang mula menunjukkan perubahan mendadak atau memeranjatkan seperti isu bertudung yang asalnya dianggap perkara lama dan tidak diendahkan kerajaan.

“Apapun, sekarang ibu bapa Melayu Islam sudah mula berani mempersoalkan mengenai hak masing-masing,” katanya.

Mengenai perlembagaan negara berkaitan kebebasan beragama, beliau berkata, rakyat seharusnya memahami hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Singapura.

“Sebagai rakyat, soal itu tidak harus diperlekehkan, malah banyak perkara boleh dibangkitkan selaras artikel yang ada di dalam perlembagaan republik ini.

“Soalnya, ibu bapa sudah diberikan pilihan... maka seharusnya keputusan terhadap pilihan itu adalah wajar dan sekiranya tidak mempunyai pilihan, tindakan mahkamah adalah jalan terakhir.

“Dalam soal ini, pemerintah atau Ahli Parlimen yang mewakili sesuatu kaum perlu menjelaskan apa yang terkandung dalam perlembagaan demi menjaga intergrasi kaum seperti sentiasa diwar-warkan mereka,” katanya.

Artikel 15 Perlembagaan Singapura memberikan hak kebebasan beragama kepada setiap rakyat, manakala Artikel 152.2 menggariskan tanggungjawab kerajaan melindungi serta menggalakkan budaya dan agama orang Melayu.

Artikel 16 perlembagaan itu pula menyatakan bahawa tiada sesiapa pun yang boleh menghalang mana-mana warga negara daripada mendapatkan pelajaran atas sebab bangsa atau agama.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 9 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com