UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Time DotCom….. Oh, Time DotCom!

Time DotCom….. Oh, Time DotCom!
(Oleh Budak TDC Yang Betul-Betul Geram)

Walaupun baru di senaraikan di BSKL tidak sampai setahun lalu, Time DotCom Bhd. (TDC) kini berada dalam keadaan nazak dan sedang menunggu detik kematiannya. Inilah hakikat sebenar yang sedang berlaku ke atas salah satu syarikat gergasi milik kerajaan BN yang kelihatan begitu glamour sekali di bahagian luarannya tetapi bergelodak dengan pelbagai masalah di dalam.

Tujuan sebenar TDC disenaraikan di BSKL pada Mac 2001 dulu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membolehkan Halim Saad menggelapkan duit rakyat bagi membayar hutang-hutangnya yang menggunung akibat daripada kegagalan memenuhi cita-cita rakusnya untuk membangunkan sebuah syarikat telekomunikasi gergasi untuk bersaing dengan Telekom Malaysia.

Mungkin idea dan matlamat untuk bersaing dengan Telekom Malaysia itu baik, tetapi malangnya berbagai-bagai penyelewengan telah dibiarkan berlaku dengan begitu berleluasa sekali ketika TDC dan syarikat induknya - Time Engineering Bhd. (TEB), membelanjakan wang berbilion-bilion ringgit yang diperolehi melalui pinjaman bank untuk membina infrastruktur dan rangkaian telekomunikasi di seluruh negara bagi memenuhi impian Halim Saad.

Disebabkan ini, kos yang telah dibelanjakan ketika menanam rangkaian fiber optik di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di dasar laut persisiran pantai, dan kos yang terlibat dalam menyediakan infrastruktur bagi perkhidmatan telefon cellular 017 telah sengaja dibiarkan meletup hingga menjangkau berlipat kali ganda melebihi dari kos asalnya yang sebenar. Penyelewengan ini dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk mengisi poket masing-masing dengan cara haram.

Di samping ini, operasi perniagaan salah sebuah anak syarikatnya yang terlibat dalam perkhidmatan public payphone pula tidak habis-habis menangggung kerugian besar akibat masalah pengurusan yang lemah dan tidak berwawasan. Akibatnya, staff morale di kalangan pekerja-pekerjanya yang berjumlah kira-kira 1,000 orang itu telah merudum dengan begitu teruk sekali, lebih-lebih lagi apabila ura-ura mengenai kemungkinan sebahagian besar dari mereka akan dibuang kerja semakin kuat kedengaran.

Apa yang jelas ialah sejak dari mula TDC diwujudkan hingglah ke hari ini, setiap operasi perniagaannya gagal menghasilkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan berbilion-bilion ringgit yang telah hangus dibelanjakan oleh pengurus-pengurusnya yang tidak beramanah. Di samping ini, oleh kerana sebahagian besar dari pembiayaan membina infrastuktur TDC dulu adalah bersumber dari pinjaman bank, maka jumlah hutang-hutang ini semakin meningkat setiap hari apabila dicampur dengan bunga pinjaman terutamanya bila TDC gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual yang telah ditetapkan. Disebabkan inilah maka duit rakyat terpaksa dirampok untuk menyelamatkan keadaan.

Ringkasnya, kesemua masalah yang sedang dihadapi oleh TDC pada hari ini adalah bepunca dari kegagalan pihak pengurusannnya mengurus dengan amanah, cekap dan berhemah. Sehingga ke hari ini, masalah-masalah yang wujud di TDC masih tidak terselesai. Malah lebih banyak masalah baru pula yang timbul. Akibatnya, TDC kini adalah bagaikan kapal Titanic yang sedang menunggu masa sahaja untuk tenggelam.

Untuk menyelematkan kapal yang sedang karam ini, kerajaan yang dipimpin oleh Umno itu pun terpaksalah memainkan peranannya yang tidak tahu malu untuk memaksa berbagai-bagai institusi kerajaan yang berada di bawah telunjuknya seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. dan Khazanah Nasional Bhd. membeli saham-saham TDC pada kos yang melebihi harga pasarannya yang sebenar. Tindakan ini dibuat semata-mata untuk melepaskan kroninya yang sudah tersepit. Akibatnya, yang terpaksa menanggung beban TDC sekarang ialah rakyat selaku pemegang saham TDC yang sebenar kerana duit yang telah digunakan untuk menyelamatkan TDC pada hakikatnya adalah duit rakyat.

Selepas berjaya melangsaikan hutang-hutang yang menggunung itu, TDC masih lagi mempunyai baki kira-kira RM 800 juta untuk digunakan bagi membangunkan perniagaannya. Tetapi yang menjadi kebimbangan sekarang ialah mampukah TDC benar-benar memajukan perniagaannya? Jika dalam keadaan ekonomi yang sedang kukuh sebelum ini pun ia tidak berjaya mencatat apa-apa keuntungan, bagaimana mungkin ia mampu mencapai kejayaan ini dalam suasana ekonomi yang sedang gawat dan tidak menentu sekarang?

Yang jelas ialah walaupun Halim Saad telah hilang, namun masalah yang dicipta olehnya ketika berada dalam zaman kegemilangannya sebelum ini masih tidak terselesai lagi. Beban untuk menyelesaikan hutang piutang empayar United Engineers (M) Bhd., Renong Bhd. dan Time Engineering Bhd. yang dianggarkan berjumlah sekitar RM 30 bilion itu kini berada di atas bahu Khazanah Nasional Bhd. setelah dipaksa oleh kerajaan untuk menyelamatkan keadaan dengan menggunakan duit rakyat.

Oleh kerana kesemua bekas syarikat-syarikat Halim Saad yang telah diambil alih oleh Khazanah itu adalah syarikat induk kepada TDC, maka cabaran untuk memulihkan TDC sudah pasti sangat rumit. Ini kerana bukan sahaja TDC perlu menyelesaikan masalah kroniknya sendiri, malah tempias masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat sekutunya yang lain pun terpaksa ditanggung bersama. Pendekata, kedudukan TDC sekarang adalah seperti timun yang sedang gelek oleh durian.

Apa yang paling membimbangkan sekarang ialah Khazanah pula kelihatan gagal menunjukkan kemampuannya menyelesaikan masalah TDC. Barisan pengarah-pengarah baru yang telah dilantik oleh Khazanah untuk memperkemaskan operasi dan halatuju TDC rupa-rupanya 2 X 5 sama saja seperti orang-orang Halim Saad dulu yang telah ditendang keluar oleh Khazanah sendiri. Semuanya sama-sama bengong, tidak berwawasan, dan tidak “in-touch” dengan realiti yang sedang dihadapi oleh TDC. Setakat nak tunjuk glamour saja dan tunjuk ego masing-masing memang bolehlah. Tetapi kalau nak diharapkan mereka selesaikan masalah TDC dan memimpin dengan halatuju yang berwawasan, jawapannya ialah “Jauh panggang dari api” walaupun dari segi profesyen dan kelayakkan mereka mungkin kelihatan hebat.

Salah satu bukti terhadap kenyataan ini ialah boleh dilihat dari sikap Khazanah terhadap Bob Fox - Mat Saleh yang telah dibawa masuk oleh Halim Saad untuk menggantinya sebagai CEO di TDC pada bulan Jun tahun lalu. Mat Saleh yang diimpot dari negara kangaroo itu dibayar dengan gaji sebanyak RM 200 ribu sebulan untuk kontrak perkhidmatan selama 3 tahun. Ini bermakna dalam tempoh 3 tahun Bob Fox berada di TDC, dia akan mengaut jumlah pendapatan sebanyak lebih kurang RM 6 juta, tidak kira samada TDC akan mampu dipulihkan ataupun tidak. Bagi seseorang yang sedang dibayar gaji sebanyak ini, sudah tentu Bob Fox MESTI jadi Superman kerana dia WAJIB pulihkan kedudukan TDC dengan segera. Jika tidak, perkhidmatannya harus dihentikan kerana gaji yang dibayar kepadanya tidak berbaloi dengan prestasi yang diharapkan darinya.

Sehingga kini, Mat Saleh ini masih gagal membawa apa-apa perkembangan positif ke atas TDC sejak ia menerajuinya. Unjuran (forecast) prestasi perniagaan-perniagaannya seperti yang dinyatakan dalam prospektus penjualan sahamnya ketika penyenaraaian di BSKL dahulu langsung tidak menepati sasaran. Malah, ia begitu jauh sekali tersasar. Berdasarkan kepada prestasi yang sangat mengeciwakan ini, mengapakah Khazanah masih tergamak membiarkan Mat Saleh ini terus berleluasa di TDC?

Bukankah isyarat-isyarat yang menunjukkan bahawa TDC akan lingkup dalam masa yang terdekat ini sudah terang dan jelas? Adakah Khazanah hanya akan sedar bila TDC sudah lingkup nanti? Bukankan wang rakyat berjumlah RM 800 juta yang sedang berada dalam simpanan TDC akan turut hangus jika TDC lingkup? Mengapakah Khazanah tidak prihatin kepada ini semua?

Menyedari bahawa tidak mungkin TDC akan berupaya memperolehi keuntungan seperti yang disasarkan, Bob Fox kini sedang sibuk merancang siang malam mencari jalan bagaimana untuk membuang pekerja-pekerja Bumiputra yang berjumlah beribu-ribu orang di TDC, terutamanya mereka yang berada di sektor perniagaan talipon awam (public payphone) di bawah syarikat Time Reach Sdn. Bhd. (TRSB) semata-mata kerana mahu melepaskan tengkoknya sendiri. Hal ini bukan lagi satu rahsia. Hampir semua pekerja di TDC dan TRSB sudah tahu tentang berita ini.

Dalam kepala hotak Mat Saleh ini, apa yang dia fikir ialah jika ramai pekerja dapat dibuang, maka kos operasi syarikat akan dapat dikurangkan dan keadaan ini sudah tentu akan memberi peluang yang cerah kepada TDC untuk mencatat keuntungan dalam masa yang terdekat. Tetapi apa yang dia tidak fikir ialah apakah kesan masalah jangka-panjang terhadap syarikat dan masyarakat jika beribu-ribu orang pekerja Bumiputra dibuang kerja!

Memang mudah bagi Mat Saleh seekor ini untuk membuat keputusan membuang pekerja kerana dia akan berambus dari negara ini selepas kontrak perkhidmatannya tamat 2½ tahun lagi. Pada ketika itu, dia sudah pun jadi jutawan selepas mengaut gaji lumayan dari TDC yang di bayar oleh duit rakyat sendiri. Lagipun, dia tidak akan berhadapan lagi dengan beribu-ribu pekerja Bumiputra yang dia akan buang esok. Oleh itu, mengapa dia harus peduli dengan masalah kebajikan pekerja TDC? Tetapi bagi kakitangan TDC yang akan dibuang kerja, di manakah tempat yang boleh dituju untuk menyara anak isteri?

Besar kemungkinan rancangan untuk membuang pekerja TDC sudah pun diluluskan oleh Khazanah. Jika tidak, takkan Bob Fox berani untuk mula merancang bagaimana caranya untuk melaksanakan program pembuangan pekerja sekarang. Entah apa yang Mat Saleh ini temberang kepada Khazanah dan pengarah-pengarah TDC untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju untuk membuang pekerja-pekerja TDC, hanya Tuhan saja yang tahu.

Tambah mengeciwakan lagi ialah kononnya Bob Fox juga telah mendapat persetujuan dari Khazanah untuk membawa masuk beberapa orang lagi Mat Saleh asing untuk menjawat jawatan-jawatan tinggi dan strategik di TDC dengan gaji yang sangat lumayan. Apa sudah jadi ni? Khazanah sudah buta dan pekak ke? Sudahlah beribu-ribu pekerja Melayu yang bergaji kecil mahu ditendang keluar, tergamak pula Khazanah membenarkan Mat Saleh itu ambil orang asing dengan bayaran gaji yang tinggi.

Mengapa payah sangat untuk Khazanah mengawal Mat Saleh seorang ini? Beginikah caranya Khazanah mentadbir wang dan kepentingan rakyat yang diamanahkan kepadanya? Mengapa mudah benar Khazanah mahu menghabiskan duit dan harta rakyat? Kenapa sampai jadi begini?

Dari berjuta-juta rakyat Malaysia yang ada, mengapa terlalu susah untuk Khazanah mencari beberapa Bumiputra profesional mengganti Bob Fox dan juga mengisi jawatan-jawatan strategik lain di TDC bagi menyelesaikan kemelut di TDC? Kenapa Khazanah begitu dayus sekali melindungi kepentingan nasional dan mempertahankan maruah kaum Bumiputra dalam hal-hal begini ini? Adakah Khazanah mahu membiarkan negara kita terus dijajah oleh Orang Putih sehingga kiamat? Sudah bankrap ideakah Khazanah?

Majoriti pekerja-pekerja TDC sudah naik muak dengan wayang kulit yang sedang dimainkan oleh Bob Fox dan Khazanah. Sejak Bob Fox dan Khazanah masuk ke dalam TDC, semakin hilang arah dan halatuju syarikat. Bukannya mereka nak selesaikan masalah, sebaliknya bertambah-tambah lagi masalah baru yang timbul. Cara mereka mengendalikan kemelut TDC menggambarkan seolah-olahnya mereka lebih pentingkan periuk nasi masing-masing sahaja. Nasib dan kebajikan pekerja bahawan TDC langsung tidak dihiraukan. Sudahlah Halim Saad dibiarkan mengkhianati amanah bangsa dan negara sebelum ini, rupa-rupanya Khazanah pun sama juga begini.

Pepatah Melayu yang berbunyi : “Harapkan pagar, tapi pagar yang makan padi” memang terkena sangat ke batang hidung Khazanah. Jika beginilah caranya bagaimana pegawai-pegawai tinggi di Khazanah mentadbir, lebih baik letak jawatan sahaja dan serahkan amanah ini kepada orang lain. Mereka memang tidak layak duduk di sana!

Khazanah perlu faham bahawa punca utama TDC dan semua anak-anak syarikatnya yang lain sedang menghadapi masalah yang kronik ini bukanlah disebabkan oleh pekerja bawahannya. Sebaliknya, pihak pengurusanlah yang lebih bertanggungjawab ke atas segala masalah yang wujud di TDC. Kuasa untuk membuat keputusan, menyediakan halatuju perniagaan dan mengurus operasi perjalanan syarikat berada ditangan mereka. Sebagai pekerja bawahan, kami sekadar mengikut perintah sahaja dan tidak ada kuasa untuk membantah. Oleh itu, jika TDC hendak dipulihkan, bukan kami yang patut dihentikan kerja. Sebaliknya, pengurusanlah yang perlu diganti dengan orang-orang yang lebih berkaliber dan berwawasan. Amatlah tidak adil jika kami yang tidak bersalah ini dijadikan mangsa bagi kesalahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan yang tidak cekap dan tidak amanah.

Jika masalah di TDC yang sebegini rupa pun kerajaan BN dan Umno tidak mampu hendak tangani dan selesaikan dengan baik, jangan haraplah mereka boleh selesaikan masalah rakyat yang lain. Dosa pihak pemerintah yang telah membenarkan kroni-kroninya merampok duit dan harta rakyat sehingga menjadikan ekonomi kucar-kacir dan menyebabkan masa depan berjuta-juta rakyat negara ini jadi kabur adalah terlalu besar dan tidak dapat diampunkan dengan mudah.

Jangan lupa bahawa kami semua adalah pengundi-pengundi yang berdaftar. Jika nasib dan kebajikan kami tidak dibela dan terus dibiarkan sebagai mangsa kepada kesalahan pengurusan pihak kroni yang tidak amanah, tahulah kami bagaimana hendak mengajar kerajaan yang sedang memerintah ini bila sampai masanya nanti. Hentikanlah sahaja sandiwara yang hanya tahu menipu dan membohongi rakyat untuk menyelamatkan kroni-kroni kamu wahai pemimpin-pemimpin Umno sekalian. Tanggungjawab kamu ialah untuk membela nasib rakyat, bukannya menyusahkan hidup rakyat.

-Budak TDC Yang Betul-Betul Geram-






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com