Cili Api terpegun kerana para pemimpin tertinggi BN dan media
pengampu mereka begitu cepat sekali mengikut rentak lagu sumbang yang
didendangkan oleh Shaykh Muhammed Hisham Kabbani. Beliau diagung-
agungkan sebagai pemimpin "Islamic Supreme Council of America" (atau
Majlis Tertinggi Islam di Amerika – ISCA). Siapakah Shaykh ini dan
apakah ISCA itu?
Mengikut maklumat yang diketahui, Shaykh ini lahir di Suria dan lulus
universiti dari Beirut dan Damshek. Beliau seorang tokoh dalam
Tarikah Naqshabandi, yang dipimpin oleh Shaykh Nizam, berpusat di
Cyprus. Tarikat ini terkenal mempunyai hubungan rapat dengan beberapa
orang sultan dan pembesar di Malaysia dan Brunai.
Pada tahun 1991 Shaykh Kabbani telah dihantar oleh pemimpinnya untuk
membuka pusat-pusat tarikat ini di Amerika Syarikat dan Kanada. Cili
Api dinasihatkan bahawa ISCA menggabungkan terutama sekali golongan
tarikat ini di AS, dan Shaykh ini cuma memimpin majlis ini saja.
Tidak lebih dari itu.
Cili Api dapat khabar hubungan Shaykh ini dengan kebanyakan
pertubuhan Islam lain di AS tidak begitu baik. Mengikut sebuah
risalah yang ditulis oleh bekas Duta AS, John R. Mallot, Shaykh ini
pernah membuat ucapan di Jabatan Negara pada tahun 1999, menuduh
konon banyak wang yang dikutip oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di AS
digunakan untuk membeli senjata membantu golongan militan. Beliau
juga mendakwa 80 peratus daripada 2000 buah masjid di AS adalah
diselenggara oleh pertubuhan-pertubuhan ekstremis Islam.
Beberapa buah pertubuhan Islam di AS telah membantah dan mendesak
supaya Shaykh ini membuktikan tuduhan palsu beliau. Mereka meminta
beliau menarik balik tuduhazn itu. Akan tetapi sehingga sekarang
beliau tidak menarik membuktikan tuduhan atau menarik baliknya. Cili
Api nampak, Shaykh ini suka baling batu dan sembunyi tangan. Serupa
macam Dolah Badwi juga. Ini bukan cara Islam.
Kebetulan, ISNA (Islamic Society of North America atau Persatuan
Islam Amerika Utara) menyelenggara 80 peratus daripada masjid di AS.
Nyata sekali secara berselindung Shaykh itu menuduh ISNA. Kebetulan
juga lagi, ISNA telah menarik balik undangan kepada Dr M @ Cek Det
untuk berucap dalam persidangan anjuran mereka di Chicago pada tahun
2000. Kemudian pada tahun 2001, ISNA telah mengundang Dr Wan Azizah
pula untuk berucap. Sampai ke telinga Cili Api bahawa Cek Det
sangat murka kerana merasa terhina.
Sangat pelik bin ajaib sekiranya ISNA dituduh sebagai pertubuhan
ekstremis. Bak kata Malott, bukankah pertubuhan-pertubuhan Islam yang
dituduh oleh Shaykh itu telah bertemu dengan Presiden Bush? Jikalau
mereka ekstremis dan menyokong keganasan, bolehkah mereka diterima ke
Rumah Putih? Lagi pula, bukankah Presiden ISNA salah seorang
pemimpin pelbagai agama yang telah diundang untuk membaca doa dalam
majlis memperingati mangsa-mangsa serangan ganas11 September, yang
diadakan di bawah riayah Presiden Bush?
Cili Api lihat Dolah Badwi telah digoreng saja oleh Shaykh ini.
Oleh : Cili Api