UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Akujanji tidak sejajar dengan Deklarasi Sedunia UNESCO

DAP menyeru supaya keperluan ke atas pensyarah dan pelajar universiti awam untuk memberikan akujanji “taat setia kepada kerajaan” ditangguhkan dan dikaji semula untuk mengenalpasti sama ada ianya akan mewujudkan bangsa sederhana yang terdiri daripada biri-biri dan robot lambat-laun sebalik daripada minda dan bakat kreatif dan berkebolehan mengkritik yang diperlukan bagi kejayaan sebuah K-ekonomi dan masyarakat maklumat.

Janji pertama di dalam akujanji kelakuan baik yang dikenakan ke atas semua pensyarah dan 200 ribu mahasiswa-mahasiswi di semua universiti awam berbunyi: “Saya akan pada setiap masa memberikan kesetiaan saya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.”

Janji taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara tidak menimbulkan kontroversi, tetapi pemasukan janji “taat setia kepada kerajaan” amat dipertikaikan dan dipersoalkan sama ada ianya untuk kebaikan bangsa memandangkan “kesetiaan kepada kerajaan” tidak semestinya sejajar bahkan mungkin bertentangan dengan “kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara”.

Adakah seorang pensyarah, mahasiswa atau mahasiswi yang mengkritik apa-apa dasar atau langkah kerajaan, sama ada dari segi pelaksanaan atau merit, dianggap sebagai kekurangan “kesetiaan kepada kerajaan” dan tertakluk kepada tindakan disiplin, termasuk penggantungan jawatan atau pelajaran dan pemecatan atau pembuangan dari universiti?

Adakah kita mahukan hanya pengampu di universiti-universiti awam dan adakah kita sedang cuba mewujudkan sebuah akademia dan bangsa yang menurut kata, pasif dan peserah yang mana merupakan resipi untuk bangsa biri-biri dan robot.

Status pensyarah dan pelajar universiti tidak boleh disamakan dengan taraf anggota perkhidmatan awam yang mempunyai kewajipan taat kepada kerajaan sedang memerintah tanpa mengira parti politik oleh sebab adalah suatu kemestian bahawa anggota perkhidmatan awam, walau apapun pandangan politik peribadi mereka, seharusnya mengekalkan neutraliti politik mereka di bawah sesebuah parti politik atau yang lainnya.

Akan tetapi, pendidikan tinggi adalah sesuatu usaha berlainan dengan perkhidmatan awam, dan idea janji ketaatan kepada kerajaan yang mana adalah berbeza dengan ketaatan kepada Raja dan negara, adalah sesuatu yang amat asing sekali kepada idea kebebasan, autonomi, tanggungjawab dan etika akademik yang telah diterima sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia sejagat dalam abad ke-21.

Umpamanya, Deklarasi Sedunia Mengenai Pendidikan Tinggi Bagi Abad ke-21 Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) berhubung “peranan etika, autonomi, tanggungjawab dan fungsi jangkaan” universiti-universiti, menggariskan enam peranan bagi institusi pengajian tinggi dan kakitangan serta pelajar mereka, iaitu:

1. Mengekalkan dan membangunkan peranan mustahaknya melalui pengamalan etika dan semangat saintifik dan intelektual dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan;

2. Berupaya bersuara tentang masalah etika, kebudayaan dan sosial secara bebas sepenuhnya dan dengan kesedaran penuh mengenai tanggungjawabnya – melaksanakan sejenis authoriti intelektual yang diperlukan oleh masyarakat untuk membantunya berfikir, memahami dan bertindak;

3. Meningkatkan peranan mengkritik dan berpandangan ke depannya melalui analisa berterusan trend-trend sosial, ekonomi, kebudayaan dan politik – membekalkan suatu tumpuan untuk ramalan, amaran dan pencegahan;

4. Menggunakan keupayaan intelektual dan prestij moralnya untuk mempertahankan dan menyebarkan secara aktif nilai-nilai diterima sejagat termasuk keamanan, keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan solidariti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan UNECSO;

5. Menikmati autonomi dan kebebasan akademik sepenuhnya yang dianggap sebagai satu set hak dan kewajipan sambil bertanggungjawab sepenuhnya kepada masyarakat; dan

7. Memainkan peranan dalam membantu mengenalpasti dan menangani isu-isu yang menjejaskan kesejahteraan komuniti, bangsa dan masyarakat dunia.

Oleh itu, Aku Janji “taat setia kepada kerajaan” boleh disamakan seperti Malaysia menolak Deklarasi Sedunia Mengenai Pendidikan Tinggi Bagi Abad ke-21: Visi dan Tindakan (1998) UNESCO.

Adakah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedia menggunakan kuasanya di bawah Akta Suhakam 1997 untuk menasihati kerajaan dan menjalankan suatu siasatan mengenai perihal mewajibkan pemakaian Kanun Kelakuan Baik ke atas semua pensyarah dan pelajar semua universiti awam serta memeriksanya dengan merujuk kepada Deklarasi Sedunia Mengenai Pendidikan Tinggi Bagi Abad ke-21?

Oleh : Lim Kit Siang






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com