UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




MENGAPA BA SEMAKIN MEROSOT?

Oleh Dr S. Husin Ali

Akhir-akhir ini saya sering ditanya: "Mengapakah sokongan kepada BA semakin merosot?" Sebelum menjawab soalan ini, perlu terlebih dulu kita menjawab satu soalan lain, iaitu: "Benarkah sokongan kepada BA semakin menurun?"

Secara terus terang jawapan saya kepada soalan kedua ini ialah: "Benar." Ini keadaan sebagaimana yang saya dan banyak orang lagi lihat. Berbanding dengan keadaan sebelum pilihanraya umum 1999, saya mengaku bahawa keghairahan serta sokongan kepada BA sudah berkurang sedikit. Bukan saja di kalangan bukan Melayu bahkan di kalangan Melayu juga.

Saya harap pengakuan ini tidak melemahkan semangat, bahkan saya percaya ia akan menjadi dorongan supaya kita berusaha lebih gigih lagi untuk memperbaiki keadaan. Hal ini memang perlu dilakukan dari sekarang, supaya kekuatan BA bertambah meningkat. Ada perkara yang saya kemuka nanti mungkin tidak menyenangkan sesetengah pihak. Tetapi niat saya ikhlas dan untuk kebaikan bersama.

Jikalau benar BA semakin lemah, mengapa? Faktornya banyak. Di sini saya akan membincangkan satu saja, iaitu faktor "persepsi" ataupun "anggapan". Dalam politik soal persepsi terhadap pemimpin atau parti sangat penting bagi menentukan sokongan rakyat atau pengundi kepadanya.

Dua perkara boleh membentuk persepsi. Pertama, apa yang dilakukan oleh pemimpin atau parti itu sendiri melalui segala amalannya, termasuk tindakan dan kenyataan. Sudah tentu mereka hendak dan harus melakukan perkara-perkara yang dipandang baik oleh rakyat mengikut nilai atau pemikiran yang wujud di dalam masyarakat. Ertinya, mereka perlu menimbulkan persepsi atau imej yang positif dan baik.

Kedua ialah apa yang dilakukan oleh pihak yang menganggap pemimpin atau parti itu sebagai musuh. Biasanya, mereka melakukan apa saja yang boleh memberikan gambaran keliru atau terpesong, dengan cara putar belit, sehingga pemimpin dan parti itu dipandang negatif atau buruk oleh rakyat.

Mereka boleh merosakkan imej serta membina persepsi buruk terhadap pemimpin atau parti itu melalui propaganda negatif, lalu menghakis kepercayaan serta sokongan terhadap pemimpin dan parti itu.

Media merupakan alat propaganda yang penting. Seperti kita ketahui, saluran media yang paling berkesan di zaman teknologi ini ialah televisyen.

Siarannya sampai sehingga hampir segenap rumah di segala ceruk negara, dan mudah diikuti, walaupun oleh mereka yang tidak pandai membaca. Tidak kurang juga peranan yang dimainkan oleh akhbar, walaupun ia terbatas kepada mereka yang boleh membaca saja. Siapa yang menguasai media mudah boleh membentuk persepsi mengenai dirinya dan terhadap orang lain.

Boleh dikata semua media elektronik dan cetak dalam pelbagai bahasa sekarang ini dikuasai dan mudah diperalatkan oleh parti-parti dalam pemerintahan BN.

Dengan propaganda yang disalurkan bertubi-tubi melalui media yang dimiliki atau dikuasai mereka, BN setakat ini berjaya membina persepsi negatif terhadap BA. Pada masa yang sama mereka berjaya pula membina imej serta persepsi positif mengenai para pemimpin dan anggota BN.

Ketika ini pucuk pimpinan BN menganggap bahawa PAS merupakan saingan terkuat dan cabaran terbesar kepada UMNO. Berikutan pilihanraya umum 1999, PAS menguasai dua negeri dan mendapat kerusi pembangkang paling banyak dalam Parlimen. Ini tidak dirasakan paling mengancam bagi UMNO-BN ialah parti-parti alternatif berjaya meraih lebih banyak undi Melayu daripada UMNO.

Para pemimpin PAS mengakui bahawa isu Anwar dan kehadiran keADILan telah membantu kejayaan besar PAS, bukan semata-mata di Kelantan dan Terengganu saja pada tahun 1999. Mungkin tarikan isu Anwar sekarang tidak lagi sekuat dulu. Kita semua pun menyedari bahawa kejayaan BN mempertahankan majoriti dua pertiga dalam parlimen ialah kerana ia dapat menarik sokongan majoriti pengundi bukan Melayu. Mungkin UMNO akan cuba pula menarik lebih lagi sokongan Melayu.

Melalui propaganda hitam yang diulang-ulang dalam media utama, BN berjaya menimbulkan persepsi bahawa kemenangan BA (yang kononnya dipengaruhi PAS) akan menafikan hak-hak agama bagi orang bukan Melayu atau bukan Islam, dan menimbulkan huru-hara. Meluas ketakutan di kalangan mereka ini sehingga mereka mengambil keputusan bahawa "lebih baik menyokong hantu yang sudah diketahui daripada menyokong hantu yang belum dikenali".

Kini pucuk pimpinan BN sedang berusaha untuk mengalih sebahagian sokongan yang diperolehi BA dulu kepada BN. Mereka percaya jikalau pengaruh PAS dapat dikurangkan, maka BA boleh dilemahkan. Oleh itu mereka menumpukan sasaran terhadap PAS dengan menggunakan berbagai- bagai taktik. Di samping memburuk-buruk pimpinan PAS serta menuduh parti itu membawa ajaran sesat, UMNO telah cuba memancing PAS supaya bekerjasama dengannya atas asas perpaduan Melayu.

Selain itu secara persendirian yang tidak demokratik, tanpa merujuk kepada Parlimen, Perdana Menteri mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

Harapannya untuk mematahkan hujah serta tarikan PAS tentang negara Islam.

Semua usaha pimpinan UMNO ini ternyata gagal.

Peristiwa 11 September, diikuti dengan perisytiharan Presiden Bush memerangi keganasan memberi peluang baru kepada pucuk pimpinan BN. Sebelum peristiwa ini Menteri Dalam Negeri telah menahan beberapa orang aktivis muda keADILan serta reformasi atas tuduhan palsu mereka hendak menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Setelah itu beberapa orang lagi dituduh kerana kononnya terlibat dengan KMM.

Selepas peristiwa tersebut, ramai lagi ditahan di bawah ISA kerana dituduh terlibat dengan gerakan militan Islam, berusaha hendak menumbangkan kerajaan BN dan menegakkan Dawlah Islamiah di Nusantara. Baru-baru ini majalah Newsweek mendakwa bahawa salah seorang daripada yang ditahan itu mempunyai hubungan dengan al-Qaeda. Seterusnya Malaysia menuduh Malaysia merupakan tapak bagi melancarkan serangan terhadap WTC-Pentagon. Dr Mahathir meminta mereka mengemukakan bukti. Sebaliknya beliau tidak merasakan perlu memberi bukti atas segala tangkapan yang dilakukannya di bawah ISA.

Dalam suasana "perang menentang keganasan" yang dilancarkan oleh Bush dan penggunaan ISA oleh Mahathir, pemerintah BN mengambil kesempatan untuk menimbulkan persepsi yang menakutkan terhadap PAS. PAS disamakan dengan Taliban. Sebelum Indera Kayangan, dan lebih-lebih lagi semasa pilihanraya kecil itu, televisyen menunjukkan kezaliman Taliban menembak mati seorang wanita. Secara tidak langsung ia mengaitkan sikap Taliban terhadap wanita dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin PAS.

Propaganda dusta serta fitnah ini diteruskan bertubi-tubi hingga sekarang, kononnya sebagai berita. Kami memuji DAP kerana membantah propaganda ini.

Tetapi sebaliknya, kami merasa kurang senang kerana serangan terbuka yang diulang-ulang oleh DAP terhadap PAS berhubung negara Islam hanya membantu propaganda hitam UMNO-BN melalui media itu. Itu sebab media yang dimiliki atau dikuasai parti-parti pemerintah gembira memberikan liputan yang luas kepadanya.

Sebenarnya, serangan UMNO-BN dan kritikan DAP terhadap PAS itu mempunyai asas juga. Kadangkala ada pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan yang kurang hati-hati yang ditujukan hanya untuk orang Islam. Kita mengetahui dan menghormati matlamat jangka panjang PAS untuk menegakkan negara Islam.

Tetapi kita mengetahui juga bahawa pimpinan PAS menyedari bahawa dalam keadaan sekarang, tidak realistik menjadikan pembentukan negara Islam itu sebagai agenda utama PAS.

Itu sebabnya PAS bersetuju mendukung Manifesto Bersama BA Menuju ke Malaysia Yang Adil. Malangnya manifesto ini belum menjadi panduan utama kepada parti-parti dalam BA pada peringkat perkembangan politik hari ini. Masih ada pemimpin BA, khususnya PAS, mengemukakan berbagai pandangan tentang isu-isu berkaitan dengan pembentukan negara Islam, yang bercanggah dengan manifesto tersebut. Inilah yang menimbulkan kritikan daripada DAP.

Dengan keluar dari BA dan mengkritik PAS, kelihatan DAP cuba hendak mempertahan serta meluaskan sokongan tradisional kepadanya daripada golongan Tionghua terutama sekali. Begitu juga sebaliknya ada pemimpin PAS yang cuba mempertahankan dan meluaskan sokongan tradisional daripada masyarakat Melayu/Islam kepadanya. Secara terbatas ini boleh menguntungkan kedua-dua parti berkenaan. Akan tetapi ia tidak akan membantu meningkatkan lagi prestasi parti-parti pembangkang secara keseluruhan dalam pilihanraya akan datang.

Perbezaan bahkan pertentangan ini memberikan persepsi buruk kepada kebanyakan orang Melayu/Islam terhadap DAP, dan sebaliknya persepsi negatif terhadap PAS dari majoriti orang bukan Melayu dan bukan Islam. Hal ini membantu menguatkan lagi persepsi negatif terhadap semua parti pembangkang, khususnya PAS. Oleh kerana perlu perbezaan dan pertentangan ini diselesaikan melalui perbincangan, akan tetapi bukan melalui media.

Baru-baru ini Pengerusi DAP mengesyorkan, malangnya melalui media juga, supaya parti-parti alternatif duduk berbincang. Presiden PAS meminta supaya beliau menulis surat, supaya boleh dibentangkan kepada Majlis Pimpinan BA.

Saya kira, untuk mendapatkan hasil yang berfaedah, semua pihak hendaklah berhenti serang menyerang dan menyatakan perkara-perkara yang bercanggah dengan semangat Manifesto BA.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com