UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




PEMERINTAH SINGAPURA TIDAK TOLERAN DAN TIDAK BIJAKSANA

KEPUTUSAN TERHADAP “PELAJAR BERTUDUNG” BUKTIKAN PEMERINTAH SINGAPURA TIDAK TOLERAN DAN TIDAK BIJAKSANA

Parti Rakyat Malaysia (PRM) sangat kecewa kerana pemerintah Singapura telah berkeras memegang keputusannya untuk menggantung dua orang murid kerana memakai tudung di sekolah. Keputusan ini membuktikan pemerintah Singapura sebagai paling tidak toleran dan tidak bijaksana.

Pemerintah itu jelas tidak mahu bertolak ansur terhadap murid-murid perempuan tersebut kerana memilih cara berpakaian, sejak dari kecil lagi, yang mereka (dan mungkin juga keluarga mereka) menganggap sesuai dengan ajaran agama mereka. Hujah Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, bahawa kanak-kanak sebelum akil baligh tidak perlu bertudung memang betul tetapi tidak relevan. Peraturan menyekat memakai tudung ini dikenakan ke atas semua penuntut tidak kira yang belum atau sudah akil baligh.

Tindakan ini bukan saja menunjukkan sikap tidak toleran bahkan sangat tidak adil kerana ia kelihatan ditujukan, tidak tahu dengan tujuan apa, terhadap orang Islam. Kami bersetuju bahawa oleh kerana penuntut Sikh dibenarkan memakai turban, berdasarkan kepercayaan mereka, penuntut perempuan Melayu Islam pun harus diberikan hak yang sama untuk memakai tudung. Sekatan yang dikenakan secara memilih-milih mudah saja akan dilihat sebagai mencabul hak asasi kumpulan minoriti, dan khususnya wanita, untuk berpakaian mengikut cara yang mereka anggap betul, sopan dan sesuai dengan agama.

Pemerintah Singapura juga menunjukkan mereka tidak bijaksana dengan tindakan ini. Perdana Menteri Singapura menegaskan peraturan dan undang-undang perlu dipatuhi, kerana jikalau tidak apa gunanya. Dikatakan bahawa peraturan tentang tudung itu mustahak bagi menggalakkan keharmonian kaum dan agama. Pemerintah Singapura tidak membenarkan murid-murid memakai tudung dalam sekolah, akan tetapi membenarkannya dalam perjalanan ke sekolah. Sangat ganjil bagaimana pakaian tudung ini boleh mengancam keharmonian cuma di dalam sekolah saja, tetapi tidak di luar.

Kami bimbang bahawa peraturan tentang tudung ini dan cara ia dilaksanakan dengan begitu ketat bukan menggalak harmoni bahkan boleh mengakibatkan pertentangan dan perpecahan lebih buruk lagi. Malangnya, ia mungkin mengambil bentuk konflik kaum atau agama. Sekiranya ini berlaku maka pemerintah, lebih daripada rakyat yang berkenaan, harus mengambil tanggungjawab. Kita kurang arif untuk menyenangkan hati siapakah pemerintah terdorong mengambil tindakan tidak toleran ini. Yang kita tahu, untuk membuktikan kebijaksanaan, pemerintah Singapura hendaklah mengkaji semula tindakan mereka ini.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

5th February 2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com