UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




SELAMAT TAHUN BARU CINA DARI PRM

Tahun ini masyarakat Tionghua merayakan Tahun Baru pada 12 haribulan Februari, sepuluh hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Haji. Bagi pihak Parti Rakyat Malaysia (PRM), saya dengan penuh sukacita mengucapkan kepada semua, terutama sekali kawan-kawan dari kaum Tionghua, "XIN NIAN JIN BU!" (Selamat Tahun Baru Yang Maju!) dan "XIN NIAN KUAI LE!" (Selamat Tahun Baru Yang Bahagia!).

Di negeri kita yang tercinta ini tiap-tiap perayaan, sama ada yang bercorak agama atau budaya, semakin menjadi perayaan untuk semua rakyat daripada pelbagai kaum, bukan hanya dari satu kaum saja. Ini satu perkara baik yang seharusnya berlaku dalam masyarakat majmuk Malaysia, dan sewajarnya dialu-alukan sekiranya kita ingin melihat perpaduan dan perdamaian terus berlanjutan.

Boleh dikatakan semua perayaan, sama ada disambut oleh orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, menggalakkan semangat persaudaraan dan hormat-menghormati di antara sesama manusia. Semangat ini boleh membantu menyuburkan perpaduan di antara pelbagai kaum dan menegakkan perpaduan nasional yang tulen. Malangnya ada pihak pimpinan parti-parti pemerintah sentiasa membuat fitnah bahawa parti-parti alternatif konon akan menyekat kebebasan mengadakan perayaan-perayaan ini.

Akhir-akhir ini banyak faktor yang boleh menegangkan hubungan antara pelbagai golongan di negeri ini, khusus kumpulan kaum serta agama. Banyak faktor yang menyebabkannya, antara lain: keadaan ekonomi yang masih belum pulih dan membebankan kehidupan rakyat jelata; langkah pemerintah menggunakan wang negara/rakyat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang besar-besar; korupsi yang semakin meluas serta sudah menjadi kronik sampai ke puncak pemerintahan; masalah pendidikan yang tidak selesai bahkan semakin kelam-kabut; kontroversi agama yang bertambah meruncing kerana sengaja diapi-apikan; dasar pecah serta perintah yang bertambah ketara diamalkan oleh pemerintah; sifat kuku besi pucuk pimpinan negara yang semakin zalim serta tidak demokratik; dan perang menentang keganasan yang diisytiharkan berikutan peristiwa serangan berani mati pada 11 September 2001.

Tiap-tiap faktor ini dengan sendiri merupakan masalah besar dan tiap- tiap masalah ini pula sangat sukar untuk diselesaikan. Sebagai langkah permulaan untuk menyelesaikannya masalah-masalah ini, kita memerlukan sistem dan dasar pemerintahan yang lebih baik serta bersih berasaskan keadilan, demokrasi, kebenaran dan kebajikan bagi rakyat, yang malangnya tidak wujud dalam pemerintahan sekarang. Sempena perayaan Tahun Baru yang disambut pada tahun kuda ini, kami mengharapkan dan menyeru agar semua individu, golongan dan pertubuhan dalam masyarakat yang prihatin akan berusaha dengan gigih serta ikhlas untuk menjayakan proses perubahan atau reformasi yang boleh membawa kepada pembentukan masyarakat yang benar-benar adil, demokratik, bersatu-padu dan memihak kepada kepentingan rakyat ramai.

Dr Syed Husin Ali
Presiden
PRM






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 14 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com