UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




“AKU JANJI” MEMUSNAH AUTONOMI MENUTUP MINDA DAN MENGHAKIS MUTU

Oleh Syed Husin Ali

Pucuk pimpinan pemerintah BN mahu memaksa setiap kakitangan perkhidmatan awam menandatangani “Aku Janji” untuk berikrar taat dan setia. Mereka dikehendaki berjanji taat kepada semua peraturan, perintah, pekeliling dan arahan lain “yang dikeluar dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatan”.

Ikrar ini terkandung dalam perenggan pendahuluan “Aku Janji” itu. Maksud yang tersurat dan tersirat di dalamnya ialah kakitangan awam harus taat bukan saja kepada semua perintah, peraturan dan lain-lain yang memang sudah wujud, bahkan harus taat juga kepada segala yang belum wujud lagi.

Pemerintah seolah-olah mahu kakitangan awam menggadaikan masa depan mereka dengan mengikat diri kepada apa saja yang akan ditetapkan pada masa hadapan, tidak kira apa maksud dan akibatnya.

Selain itu kakitangan perkhidmatan awam juga dikehendaki berjanji setia kepada sembilan perkara yang disenaraikan berikutan perenggan pendahuluan itu, yang berdasarkan Peraturan 4, Peraturan-peraturan Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Perkara-perkara ini menyentuh hal-hal berkenaan sikap, tingkah laku dan kelakuan seseorang pegawai perkhidmatan awam.

Perkara paling serius ialah yang pertama, iaitu seseorang pegawai awam dikehendaki “akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan”. Tidak banyak orang akan mempertikaikan taat setia kepada Agong dan Negara. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan “taat” kepada Kerajaan? Apakah bentuk dan batasan “taat” itu? Adakah bererti kakitangan awam tidak bebas memberi pandangan atau membuat kritik? Adakah mereka mesti sentiasa menyokong atau mempertahan segala tindakan kerajaan, walaupun yang tidak menguntungkan negara dan rakyat?

Kita mengetahui bahawa dalam demokrasi Kerajaan dibentuk oleh parti atau parti-parti yang memenangi pilihanraya, dan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Parlimen. Malangnya, proses ini kadang kala menimbulkan salah anggapan bahawa kerajaan itu serupa dengan parti pemerintah. Oleh itu, setia kepada kerajaan dikaitkan dengan setia kepada parti pemerintah, dan mengkritik parti pemerintah disamakan pula dengan menentang kerajaan.

Perkara yang lebih serius lagi berlaku apabila parti pemerintah dihubungkan dengan seorang pemimpin. Ini berlaku apabila pemimpin itu sudah menjadi terlalu kuat dan berkuasa, sehingga beliau boleh menakluki seluruh parti dan menguasai semua pemimpin parti yang lain. Dalam keadaan begini, seseorang yang menegur atau mengkritik pemimpin seumpama itu mudah dituduh sebagai menentang kerajaan. Inilah yang berlaku sekarang di negeri ini. PM Dr Mahathir Mohamad, semacam disamakan dengan kerajaan, dan oleh itu tidak boleh dikritik apatah lagi ditentang.

Berikutan tindakan zalim Dr Mahathir menyingkir, memalukan dan kemudian memenjarakan Anwar Ibrahim, serta mengaibkan semua anggota keluarganya bahkan seluruh masyarakat Melayu, ramai yang mengkritik serta menentang beliau secara terbuka atau tersembunyi. Sebahagian besar pegawai kerajaan turut marah kepada Mahathir. Bahkan ada di antara mereka, termasuk pegawai tentera, yang menyertai himpunan aman reformasi untuk membantah kezaliman itu.

Nyata sekali tujuan “Aku Janji” adalah seumpama hendak mengikat tangan, menutup mulut dan menumbuk muka kakitangan perkhidmatan awam, bila-bila masa, kini dan akan datang. Sebenarnya, pihak pemerintah tahu memang sudah ada berbagai-bagai peraturan tatatertib, perintah am, surat pekeliling dan arahan lain yang berkuat-kuasa dan dikenakan ke atas semua kakitangan, dari hari pertama mereka mula bekerja. Ini nampaknya tidak memadai. “Aku Janji” perlu ditandatangani oleh setiap kakitangan sebagai ikrar peribadi, dan oleh itu lebih mengikat. “Aku Janji” yang sama harus ditandatangani juga oleh semua kakitangan serta pelajar universiti awam. Para pensyarah universiti sekarang ini sudah dianggap sebagai kakitangan awam juga. Selepas kebangkitan para pelajar dan pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi, berikutan Peristiwa Baling pada penghujung tahun 1974, Akta Universiti dan Kolej-kolej Universiti (AUKU) yang baru diperkenalkan. Dengan kuat kuasa AUKU, universiti awam kehilangan autonomi dan para pensyarah serta pelajar hilang kebebasan. Universiti diletakkan di bawah kuasa Kerajaan, majoriti anggota Majlis Universiti ditentukan oleh kerajaan, Naib Canselor Universiti serta timbalan-timbalannya ditunjuk oleh dan bertanggungjawab kepada Kerajaan, dan Dekan-Dekan dilantik oleh Naib Canselor. Para pensyarah dijadikan sebagai pegawai kerajaan, tertakluk kepada segala peraturan, arahan serta surat pekeliling, seperti kakitangan perkhidmatan awam yang lain. Mereka tidak dibenarkan terlibat secara aktif dalam parti serta kegiatan parti politik ataupun dengan gerakan pekerja. Pada masa yang sama para pelajar tidak dibenarkan lagi mengurus pentadbiran dan kegiatan mereka sendiri.

Mereka dikawal ketat di bawah jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Sepanjang zaman, Universiti merupakan dan dipertahankan sebagai pusat ilmu pengetahuan berasaskan kebenaran. Kebenaran tercapai hasil usaha belajar, mengajar serta menyebar ilmu dan mengkaji serta menyelidik dalam suasana yang bebas. Tidak harus ada sekatan, apatah lagi dari pihak berkuasa, untuk pensyarah serta pelajar universiti mencari ilmu bagi menegakkan kebenaran ini. Semangat ingin berdialog dan sanggup memberi serta menerima kritikan harus digalakkan. Bahkan mesti ada kebebasan serta keberanian untuk menyatakan yang benar di hadapan siapa saja, walaupun raja paling berkuasa dan tidak menyenangi kebenaran itu. Inilah yang boleh membuka minda yang cerdas serta kritikal. Sebenarnya AUKU telah menjejaskan peribadi atau sifat pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia sebagai Universiti yang tulen. AUKU bukan saja mencabul autonomi universiti, bahkan menjadikan sebahagian daripada pensyarah serta pelajar pak turut yang sering dalam ketakutan. Untunglah ada dua tiga universiti yang masih mempunyai Naib Canselor yang berkaliber. Tetapi malangnya, akhir-akhir ini, sudah muncul beberapa individu yang tidak mempunyai pencapaian akademik yang tinggi sangat diangkat menjadi Naib Canselor. Mereka sering bertindak sebagai birokrat yang perlu selalu menunjukkan taat setia kepada pemerintah supaya dapat lama memanaskan kerusi empuk mereka.

Bahkan kadang-kadang ada di antara mereka yang bertindak tidak ubah sebagai pegawai polis rahsia, yang tidak habis-habis memantau aktiviti pensyarah serta pelajar yang dianggap sebagai anti kerajaan, dan melaporkan kepada pihak berkuasa atau mengambil tindakan keras yang mereka rasakan disenangi oleh pucuk pimpinan negara. Mereka menimbulkan suasana takut, yang boleh membantutkan fikiran dan menutup minda sebahagian para pensyarah dan pelajar universiti. Namun begitu, AUKU tidak berjaya penuh untuk menutup mulut dan mengikat tangan semua pensyarah dan pelajar. Masih ada sebilangan mereka yang masih berani mahu menegakkan kebenaran melalui pengajaran, penyelidikan, penulisan, syarahan dan juga tindakan mereka. Apabila mereka mengkritik pucuk pimpinan politik yang bersifat kuku besi, mereka dituduh atau dicap sebagai menentang kerajaan. Oleh kerana AUKU tidak berjaya penuh, maka itulah sekarang ini “Aku Janji” hendak dipaksakan ke atas pensyarah dan pelajar universiti.

Seorang Naib Canselor “universiti kampung”, yang memang lebih terkenal sebagai “pengampu pemerintah” daripada seorang pentadbir cekap atau tokoh akademik disegani, cepat-cepat telah menghimpunkan semua kakitangan di bawahnya untuk membuat ikrar taat setia beramai-ramai. Ada sebilangan pensyarah dan pelajar di universiti-universiti lain yang menolak “Aku Janji” ini sebagaimana mereka menolak AUKU. Dan ada juga sekumpulan lain yang meminta supaya perlaksanaan “Aku Janji” itu ditangguhkan. Saya sendiri bersetuju supaya “Aku Janji” itu tidak dilaksanakan. Jikalau tidak, ia hendaklah jangan dilaksanakan dengan terburu-buru. Ia harus ditangguhkan supaya dapat dikaji semula dengan fikiran tenang dan selepas berunding dengan para pensyarah dan pelajar universiti. Adakah “Aku Janji” benar-benar diperlukan manakala begitu banyak akta, peraturan, arahan dan surat pekeliling yang sudah dikenakan ke atas mereka? Atau dakah ia dikehendaki semata-mata atau kepentingan politik parti pemerintah?

Saya bimbang, “Aku Janji” ini dalam bentuk yang ada, jikalau dipaksakan tanpa rundingan akan mempunyai akibat lebih buruk lagi ke atas universiti.

Ia akan terus memusnahkan autonomi universiti, menghakis mutu pendidikan universiti dan menutup minda pensyarah serta pelajar universiti. Keadaan ini akan ditambah burukkan lagi oleh amalan pucuk pimpinan pemerintah kini senang-senang saja menaikkan institusi tertentu ke taraf universiti, dan embenarkan parti-parti politik menubuhkan universiti, semata-mata atas perkiraan politik dan bukan akademik.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 20 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com