UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Hakim Paul perlu dihadapkan ke tribunal Kehakiman?

Oleh Husam Musa Anggota Parlimen Kubang Kerian

Pada, 4 Februari yang lalu, Dato' Seri Anwar Ibrahim diberi peluang merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan selepas tiga kali penangguhan.

Kemunculan semula Anwar di mahkamah menunjukkan isu Anwar belum berakhir. Sekalipun Dr. Mahathir sehabis daya mentalqinkannya, ia masih hidup. Satu dari institusi yang tercemar di mata rakyat dan dunia luar dalam usaha melenyapkan kareir Anwar ialah mahkamah dan Jabatan Peguam Negara.

Teguran pihak berwibawa dari dalam dan luar negara datang bertubi-tubi. Bekas Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim pernah berkata "Saya sangat terkejut hakim memerentahkan pembelaan diri. (Kalau saya jadi hakim) Saya telah membuang kes ini lama dahulu." [eTime, 21 Ogos 2000.]

"Penghakiman ini adalah satu lagi tamparan kepada keadilan di Malaysia. Apa yang telah berlaku ke atas Anwar dan para penyokongnya mempamerkan kerapuhan hak asasi di sana. Jika anda kehilangan perlindungan kepimpinan politik - tidak kira setinggi mana anda pernah berada dalam kerajaan - anda akan memiliki sangat sedikit perlindungan. Ini adalah benar-benar satu langkah ke belakang bagi Malaysia." Joe Saunders, Deputy Asia Director, Human Rights Watch, 8 August 2000

Rakyat meneliti gelagat pihak terbabit dalam perbicaraan ini dengan penuh kebingungan. Isu relevansi afidavit, keterangan dan hujah menjadi jenaka umum. Tarikh pertuduhan berubah-ubah. Peguam DSAI sebaliknya, dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara kerana menghina mahkamah, dalam satu prosiding yang pelik.

Saksi-saksi dan individu tertentu telah membuat pengakuan yang berubah-ubah. Beberapa individu berkaitan mendakwa mereka telah disiksa dan mengalami proses 'turning over' yang perit dalam cubaan membawa mereka mensabitkan Anwar. Dari kehakiman kepada polis dan Jabatan Peguam Negara terletak di kandang 'keraguan' di mata rakyat.

Keraguan rakyat tadi dirakamkan semula oleh tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dalam komen mereka ketika mengadili rayuan Peguam Zainur Zakaria terhadap hukuman tiga bulan penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Augustine Paul kerana tuduhan menghina mahkamah.

Hakim Datuk Abdul Malek Ahmad menyatakan; "Isu utama ialah perlakuan dua orang pendakwaraya (Datuk Ghani Patail dan Encik Azhar Mohamed) dari pasukan pendakwaan yang telah mengajukan tawar menawar untuk mendapatkan bukti tambahan, rekaan semata-mata, terhadap anak guam perayu dengan tukaran meringankan pertuduhan yang membawa hukuman mati yang dikenakan kepada Datuk Nallakarupan waktu itu."

Dalam para lain, Hakim Datuk Malek menyatakan; "Cara beliau (Hakim Paul) mengendalikan perbicaraan, terutama cara mana perayu disoal dan dijatuhkan hukuman bersalah dengan begitu pantas tanpa sama sekali membenarkan perayu memanggil saksi-saksi, memberikan gambaran seakan beliau bertindak sebagai peguambela kepada dua pendakwaraya berkenaan." Muka surat 636, Malayan Law Journal, (2001) 3 MLJ.

Ini adalah komen rasmi Hakim Mahkamah Persekutuan. Dalam komen ini, kedua-dua pendakwa dan Hakim Paul dianggap berkelakuan pelik dan ini selari dengan anggapan umum.

Seperti kita maklumi, Peguam Zainur Zakaria telah dituduh menghina mahkamah oleh Hakim Paul ketika beliau bertindak mengusulkan satu affidavit semasa perbicaraan kes DSAI. Afidavit tersebut ialah surat Peguam Manjit kepada Peguam Negara mengenai perlakuan Dato' Ghani dan Encik Azhar cuba menawarkan pertuduhan yang lebih ringan ke atas Dato' Nalla kiranya Nalla sanggup bekerjasama dengan Pendakwa Raya untuk mensabitkan DSAI. Afidavit itu ditolak oleh Paul mentah-mentah dan sebaliknya Zainur pula terhukum.

Akhirnya, Mahkamah Persekutuan menerima rayuan Zainur dan mengenepikan penghakiman Paul dan Mahkamah Rayuan sebelumnya. Hakim Paul dalam konteks itu telah terpukul.

Mengapa Hakim Paul bertindak seakan peguam bela kepada pendakwa? Peristiwa ini dengan jelasnya menunjukkan sesuatu dan inilah asas keraguan rakyat terhadap kebebasan kehakiman.

Sepanjang kemelut ini, Anwar terhukum, tetapi kehakiman, polis dan Jabatan Peguam Negara juga 'terhutang' di mata rakyat.

Lalu dengan itu, perjuangan membebaskan Anwar, bukan perjuangan Anwariyyun lagi. Ia adalah perjuangan untuk memulihkan institusi kehakiman, kepolisian, kemanusiaan dan 'rule of law'.

Kehakiman juga kena berjuang - berjuang memulihkan integriti mereka sendiri. Perjuangan untuk menegakkan keadilan tanpa takut. Perjuangan untuk memelihara 'rule of law'.

Jika keadilan tidak ditegakkan, hari ini Anwar mangsanya. Besok mungkin kita. Kebuasan yang dibiarkan, akan menelan sesiapa sahaja sebagai mangsanya, bergilir masa bergilir ketika.

Dalam sebuah masyarakat bertamadun, kehidupan rakyat terlindung melalui undang-undang dan kesamarataan dari segi undang-undang. Termasuk kesamarataan dalam proses di depan undang-undang. Inilah konsep 'rule of law'.

Memang, dalam keadaan biasa, 'rule of law' itu kelihatan berjalan. Keluhuran 'rule of law' hanya akan teruji dalam keadaan-keadaan luar biasa. Mempertahankan kerabat, rasuah kehakiman, pergelutan bertujuan mematikan lawan politik - inilah masanya 'rule of law' tadi akan tercabar.

Jika dalam keadaan luar biasa tadi 'rule of man' mengatasi 'rule of law', cukup untuk kita katakan kita sedang menghadapi bahaya besar yang mengancam kehidupan kita semua. Bahaya ini lebih real dari Talibanisme yang jauh beribu batu dari kita.

Indonesia yang bergolak di bawah Suharto, atau Filipina yang gila di bawah Marcos, itulah saatnya 'rule of man' begitu jelas.

Dalam sejarah manusia, 'rule of man' dalam banyak keadaan lebih agung dari 'rule of God' dan gejala ini jauh lebih menakutkan dari Talibanisme yang dimomok-momokkan.

Perjuangan untuk menyekat seseorang pemimpin memiliki kuasa undang-undang dengan cara melucutkan keadilan walaupun hanya ke atas seorang musuh politiknya, tidak lagi boleh dikatakan perjuangan individu semata-mata. Ia sudah menjadi perjuangan bersama rakyat dan Anwar adalah hanya simbol di depan lawannya yang juga sudah menjadi satu simbol.

Jika mempertahankan keadilan untuk Anwar adalah perjuangan individu, maka perjuangan untuk mempertahankan Dr. Mahathir terus berkuasa adalah lebih individu lagi sifatnya.

Mereka berjuang untuk Dr. Mahathir kerana manafaat diri mereka. Beberapa orang yang disebut di mahkamah sebagai tokoh konspirasi, ternyata telah menjadi menteri dan timbalan menteri. Timbalan Perdana Menteri sendiri adalah 'lawan' DSAI yang telah mendapat manafaat dari kejatuhan DSAI.

Merekalah sepatutnya dikatakan memperjuangkan individu dan kepentingan peribadi.

Beberapa pihak terbabit telah mendapat kenaikan pangkat. Sukar untuk kita mengatakan kenaikan pangkat mereka adalah upah dari 'perjuangan' mereka, tetapi ASP Musa Hasan, Dato' Gani Patail dan Tan Sri Mohtar, telahpun menikmati promotion masing-masing.

Rakyat yang berjuang bersama Anwar tidak mendapat apa-apa faedah peribadi. Bahkan, mereka menghadapi tekanan. Namun, tuntutan keadilan itulah sepatutnya menjadi perjuangan bersama kita.

Menariknya, setahun sebelum beliau ditimpa mala petaka politik ini, DSAI telahpun menyampaikan madah mengenai keadilan kehakiman ketika merasmikan Persidangan Menteri Undang-Undang Komonwel pada 15 April 1996 seperti berikut;

"Bagaimanapun, cabaran bukan hanya untuk mempastikan semua undang-undang kita menunjukkan keadilan tetapi juga undang-undang ini ditadbir secara adil (oleh badan kehakiman) tanpa menghiraukan kekayaan dan kedudukan seseorang dalam masyarakat. Tidak ada yang lebih tragik dari undang-undang yang adil ditadbir secara yang tidak adil. "






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Februari 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com